Antarabangsa
Microsoft pecat pekerja anjur ‘vigil’ untuk rakyat Palestin
- Microsoft memecat dua pekerja yang menganjurkan acara penyalaan lilin ‘vigil’ tanpa kebenaran di ibu pejabat syarikat itu untuk rakyat Palestin terbunuh di Gaza, lapor The Independent.
- Kedua-dua pekerja itu memberitahu agensi berita AP bahawa mereka telah dipecat melalui panggilan telefon pada lewat Khamis.
- Mereka dilaporkan merupakan ahli gabungan pekerja “No Azure for Apartheid” yang menentang penjualan teknologi pengkomputeran awan Microsoft kepada kerajaan Israel.
- Penyelidik dan saintis data, Abdelrahman Mohamed dan Hossam Nasr berpendapat acara diadakan di kampus Microsoft di Redmond, Washington, Amerika Syarikat pada Khamis itu adalah sama dengan kempen ‘hadiah’ pekerja lain yang dibenarkan syarikat itu untuk orang yang memerlukan.
Microsoft memecat dua pekerja yang menganjurkan acara penyalaan lilin ‘vigil’ tanpa kebenaran di ibu pejabat syarikat itu untuk rakyat Palestin terbunuh di Gaza, lapor The Independent.
Kedua-dua pekerja itu memberitahu agensi berita AP bahawa mereka telah dipecat melalui panggilan telefon pada lewat Khamis.
Kedua-duanya dilaporkan merupakan ahli gabungan pekerja “No Azure for Apartheid” yang menentang penjualan teknologi pengkomputeran awan Microsoft kepada kerajaan Israel.
Mereka berpendapat acara diadakan di kampus Microsoft di Redmond, Washington, Amerika Syarikat pada Khamis itu adalah sama dengan kempen ‘hadiah’ pekerja lain yang dibenarkan syarikat itu untuk orang yang memerlukan.
“Kami mempunyai begitu ramai ahli komuniti dalam Microsoft yang kehilangan keluarga, kehilangan kawan atau orang tersayang,” kata penyelidik dan saintis data, Abdelrahman Mohamed yang dipecat.
Mohamed berkata Microsoft telah gagal memberi ruang kepada mereka untuk berkumpul dan “berkongsi kesedihan dan menghormati kenangan orang yang tidak lagi boleh bercakap untuk diri mereka sendiri”.
Mohamed yang berasal dari Mesir berkata, dia kini memerlukan pekerjaan baharu dalam tempoh dua bulan akan datang untuk memindahkan visa kerja dan mengelak pengusiran.
Hossam Nasr yang turut dipecat Microsoft berkata, tujuan acara “vigil” adalah “untuk menghormati mangsa pembunuhan beramai-ramai Palestin di Gaza dan untuk menarik perhatian kepada keterlibatan Microsoft dalam genosid” kerana penggunaan teknologinya oleh tentera Israel.
Microsoft pada Jumaat mengesahkan menamatkan perkhidmatan beberapa pekerja kerana melanggar dasar dalaman syarikat, namun tidak mengemukakan butiran lanjut. – The Merdeka Times