Terkini
IPT, henti ‘kekang’ kebebasan suara ahli akademik – Teresa Kok
- Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok menyeru semua institusi pengajian tinggi (IPT) berhenti mengeluarkan sebarang arahan untuk mengekang kebebasan bersuara ahli akademik dan pelajar.
- Teresa sokong pendirian Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bahawa undang-undang seperti Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605) tidak seharusnya menjadi alat untuk menekan pendapat ahli akademik.
- “Suara akademik tidak patut ditekan atau dibungkam. Kebebasan akademik memainkan peranan yang penting untuk mendorong inovasi, membentuk pemikiran kritikal, dan mempromosikan kemajuan sosial.
- “Ahli akademik Malaysia haruslah berani menyuarakan pandangan, kerana pemikiran mereka adalah kekuatan yang penting untuk kemajuan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini yang turut memuat naik gambar Zambry dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
KUALA LUMPUR — Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok menyeru semua institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini berhenti mengeluarkan sebarang arahan untuk mengekang kebebasan bersuara ahli akademik dan pelajar.
Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh berkata beliau menyokong pendirian Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bahawa undang-undang seperti Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605) tidak seharusnya menjadi alat untuk menekan pendapat ahli akademik.
“Saya ingin memuji kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Dr Zambry yang menyokong ahli akademik untuk mempunyai kebebasan mengemukakan pendapat berdasarkan penyelidikan dan fakta.
“Pendirian Menteri ini adalah amat penting untuk memastikan universiti terus menjadi tempat pertukaran fikiran dan pertembungan idea dalam pembangunan negara.
“Suara akademik tidak patut ditekan atau dibungkam. Kebebasan akademik memainkan peranan yang penting untuk mendorong inovasi, membentuk pemikiran kritikal, dan mempromosikan kemajuan sosial.
Zambry semalam dilaporkan berkata kebebasan bersuara kelompok ahli akademik tetap akan dipertahankan selagi ia berasaskan fakta yang tepat dan beliau tidak mahu melihat wujud sebarang tindakan untuk mengekang hak dan kebebasan ahli akademik dalam mana-mana universiti.
Menurut BERNAMA, Zambry berkata demikian sebagai mengulas mengenai isu surat pekeliling dikeluarkan UKM kepada seluruh warga akademik dan petugas berhubung arahan supaya pegawai awam tidak boleh mengeluarkan kenyataan awam, termasuk di media sosial.
Menerusi satu kenyataan pada 18 Oktober lalu, UKM menafikan pihaknya menghalang kebebasan mana-mana warga akademik dan petugas untuk mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada secara lisan atau bertulis, termasuk di media sosial. — The Merdeka Times