Kolumnis
Ada apa dengan terowong bawah tanah di Gaza?
Selepas Yahya Sinwar gugur mempertahankan bumi Palestin pada Khamis lalu, antara topik menarik yang masih meniti bibir ramai adalah bagaimana pemimpin Hamas itu syahid di atas tanah di perbatasan perang, bukannya ‘menyorok’ dalam terowong bawah tanah.
Selepas Yahya Sinwar gugur mempertahankan bumi Palestin pada Khamis lalu, antara topik menarik yang masih meniti bibir ramai adalah bagaimana pemimpin Hamas itu syahid di atas tanah di perbatasan perang, bukannya ‘menyorok’ dalam terowong bawah tanah.
Israel selama ini bertungkus lumus dengan mesin media barat cuba menggambarkan Sinwar sebagai ‘pengecut’ yang berlindung dalam terowong bawah tanah bersama tebusan Israel yang ditawan Hamas sejak 7 Oktober tahun lalu, namun realiti pada Khamis lalu menyatakan sebaliknya.
Pemimpin Hamas itu bertempur hingga ke akhir hayatnya, hatta badannya cedera parah dan dengan senjata terakhirnya adalah ‘kayu’, sehinggalah bangunan di mana tempat dia berlindung dengan dua lagi pejuang Palestin dibedil tentera rejim.
Jadi ada apa dengan terowong di Gaza yang diperkatakan ramai ini?
Jika di barat terowong digunakan sebagai laluan alternatif pengangkutan seperti tren bawah tanah, terowong di Gaza memberikan makna yang lebih besar buat rakyat Palestin di wilayah terkepung itu.
Menyaksikan sendiri keadaan terowong ini di Gaza pada 2010, penulis mendapati terowong di Gaza bukan semata-mata laluan alternatif sebaliknya ia adalah talian hayat buat rakyat Palestin.
Melalui terowong bawah tanah dibina di sempadan Mesir-Gaza, segala keperluan rakyat Palestin yang dikepung dibawa masuk melaluinya, terutama di antara 2007 hingga 2013.
Dikatakan pada tempoh itu, terdapat 1,500 terowong telah dibina, demikian menurut Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perdagangan dan Pembangunan.
Dari bekalan makanan, bahan api, bekalan perubatan, ternakan, simen, baja, peralatan, benih hinggalah ke kenderaan, semuanya diseludup masuk ke Gaza melalui terowong ini.
Laporan media berkata melalui terowong “survival” ini jugalah Hamas mendapat bekalan senjata untuk mempertahankan bumi Palestin dari penjajahan rejim zionis.
Namun apa yang lebih penting, terowong ini juga memberikan kebebasan bergerak kepada penduduk yang terperangkap di Gaza dek sekatan rejim zionis Israel dan penutupan persimpangan Rafah Mesir yang tidak menentu.
Pernah satu ketika pada Oktober 2014 hingga September 2015, pintu sempadan Rafah yang dikawal Mesir hanya dibuka untuk tempoh sebulan (lebih tepat 34 hari) saja dalam tempoh hampir setahun.
Apa yang pasti, tanpa terowong ini, Gaza tidak mungkin akan dibangunkan semula pada keadaan sekarang (sebelum 7 Oktober 2023).
Misalnya, import simen (yang dikawal kemasukannya ke Gaza oleh rejim Israel) dan bahan binaan membolehkan rakyat Gaza membina semula dalam tempoh lima tahun 6,000 unit rumah yang musnah akibat perang 2008-2009 Israel ke atas Gaza.
Hakikatnya, jika rakyat Gaza terpaksa bergantung pada jumlah bahan binaan dibenarkan masuk oleh Israel, pembinaan semula di Gaza akan mengambil masa 80 tahun.
Penganalisis politik Timur Tengah, Michael Jansen, dalam artikel ulasannya mengenai terowong Gaza di Jordan Times minggu lalu, menyifatkan terowong terbabit sebagai sumber ekonomi wilayah terkepung itu
“Pembinaan, penyelenggaraan dan operasi terowong menyediakan pekerjaan untuk beribu-ribu penduduk Gaza yang sebelum ini menganggur.
“Ini, malangnya, termasuk kanak-kanak yang mempertaruhkan nyawa mereka semasa menolak ke hadapan ke ruang yang kecil dan sempit.
“Rakyat Gaza kelas menengah berkembang maju. Kira-kira 1,800 pemilik terowong menjadi jutawan. Kafe dan perpustakaan muncul di seluruh Gaza,” kata Jansen menjelaskan bahawa Hamas turut mengenakan cukai import terowong di Gaza.
Menurut Jansen, hasil cukai itu digunakan untuk membayar gaji kepada pentadbir dan melaksanakan projek infrastruktur, mengukuhkan pegangannya terhadap kuasa dan membingungkan Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Ramallah, yang meminta penamatan terowong itu walaupun menjejaskan kesejahteraan rakyat Gaza.
Berdasarkan pengalaman penulis dalam isu Gaza, kenyataan Jansen ada benarnya kerana Hamas sememangnya tidak bergantung dengan sumber kewangan dari Ramallah (Tebing Barat).
Hakikatnya, kumpulan penentangan Palestin itu menerima sokongan dan bantuan dari masyarakat sivil, individu, pertubuhan antarabangsa dan badan-badan kemanusiaan (NGO) yang menyokong perjuangan pembebasan Palestin.
Dalam hal ini, adalah tidak keterlaluan jika dikatakan Malaysia sejak dari dulu, di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad hinggalah ke zaman Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah pendokong utama dalam perjuangan rakyat Palestin.
Di peringkat kerajaan, pertubuhan atau individu, dalam atau luar negara, Malaysia tidak pernah meminggirkan perjuangan rakyat Palestin atas dasar kemanusiaan dan persaudaraan Islam.
Berbalik kepada cerita terowong, Mesir sebenarnya turut mendapat keuntungan di sebalik urusan perdagangan terowong di sempadan Rafah-Gaza.
Namun penyingkiran presiden Mohammed Morsi melalui kudeta (rampasan kuasa tentera) pada 2013, digantikan presiden Al-Sisi, menyaksikan tentera Mesir memusnahkan 1,659 terowong di sempadan Rafah.
Jika dulu penghadang bawah tanah dibina, kali ini terowong ditutup sepenuhnya dengan teknik pembanjiran selain pembinaan pagar penghadang di atas dan di bawah tanah yang lebih sofistikated.
Situasi itu telah menjerumuskan Gaza ke dalam krisis ekonomi dan kemanusiaan menekan dan ‘kebebasan’ yang pernah dibawa terowong Gaza kepada rakyat Palestin di wilayah konflik yang dikepung sejak 17 tahun lalu.
Perang genosid Israel ke atas Gaza sejak Oktober tahun lalu memburukkan keadaan dan sejauh manakah terowong ‘survival’ ini akan bertahan untuk rakyat Palestin, hanya masa akan menentukan. – The Merdeka Times
Syed Azwan Syed Ali adalah wartawan dan aktivis kemanusiaan dengan lebih 20 tahun pengalaman liputan, khususnya dalam isu antarabangsa.
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.