Terkini
(VIDEO) Jalur Gemilang diturunkan diganti bendera Sabah & Sarawak, Sekumpulan individu dakwa Borneo ‘dijajah’ Malaysia
Sekumpulan individu menurunkan bendera Malaysia (Jalur Gemilang) sebelum menaikkan bendera Sabah dan Sarawak pada paras separuh tiang kononnya sebagai simbolik ‘menurunkan penjajahan’ Malaysia ke atas kedua-dua negeri itu.
KUALA LUMPUR — Sekumpulan individu menurunkan bendera Malaysia (Jalur Gemilang) sebelum menaikkan bendera Sabah dan Sarawak pada paras separuh tiang kononnya sebagai simbolik ‘menurunkan penjajahan’ Malaysia ke atas kedua-dua negeri itu.
Tindakan itu dilakukan sekumpulan individu dipercayai warga Malaysia di depan bangunan Parlimen Victoria, Australia dalam video tular berdurasi lapan minit 14 saat yang dimuat naik Facebook DemiRakyat Channel pada Jumaat.
Tindakan itu mendapat reaksi netizen dengan sebilangan besar mereka termasuk anak Borneo (Sabah dan Sarawak) menegaskan mereka tidak bersetuju dengan tindakan kumpulan itu dan menyifatkannya sebagai kumpulan yang memecah belahkan.
Netizen juga meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat dan mengambil tindakan ekoran tindakan provokasi kumpulan individu itu.
Kumpulan itu berkata mereka bertindak menurunkan bendera Malaysia sebagai simbolik kepada apa didakwa sebagai ‘penjajahan’ Malaysia atau Malaya ke atas Sabah dan Sarawak.
“Sekarang adalah upacara untuk menurunkan bendera Malaysia sebagai simbolik bahawa kita menurunkan penjajahan Malaya ataupun Malaysia di tanah bumi Sabah dan Sarawak.
“(menaikkan bendera Sabah) Separuh tiang adalah protes adalah tanda untuk menyampaikan mesej bahawa kita negara bangsa Sabah sedih akan penjajahan Malaya ke atas tanah air kita dan kita nyatakan bantahan dan kesedihan dengan kibaran separuh tiang inilah simbolik penentangan secara demokrasi ke atas kerajaan Malaysia di Sabah dan Sarawak,” kata wakil kumpulan itu, Mosses PA Ampang dalam video tular itu.
Kumpulan itu juga turut menyanyikan lagu Sabah Tanah Airku yang diubah lirik dari ‘negeri’ kepada ‘negara’.
Semakan The Merdeka Times mendapati video itu terlebih dahulu dimuat naik seorang pengguna Facebook, Mosses PA Ampang yang juga merupakan Presiden Republik Sabah North Borneo, sebuah NGO berdaftar di Victoria, Australia di laman media sosialnya pada 16 September lalu iaitu pada sambutan Hari Malaysia.
Difahamkan, video itu berasal daripada rakaman Demonstrasi Aman Membantah Penjajahan Malaya ke atas Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak pada 16 September 2024 yang diadakan 15 September lalu di luar bangunan Parlimen Victoria dan ia dianjurkan beberapa NGO, termasuk Mosses. —- The Merdeka Times
View this post on Instagram