Terkini
Malaysia akan teruskan penerokaan minyak dalam kawasan wilayahnya – PM Anwar
Malaysia akan meneruskan penerokaan minyak di dalam kawasan wilayahnya walaupun terdapat permintaan China untuk menghentikan serta-merta aktiviti di perairan Sarawak itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau pasti penerokaan minyak dilakukan Malaysia berada di dalam perairan negara, tetapi akan menjelaskan kedudukannya kepada China.
- “(Walaupun) Beijing hantar bantahan sebab dia rasa tu kawasan dia, kita terpaksa teruskan (aktiviti) sebab ini soal survival ekonomi negara kita,” kata Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia dalam sidang media di hari terakhir lawatan kerja ke Russia hari ini.
- Baru-baru ini muncul laporan berita yang menyatakan bahawa Beijing melalui nota diplomatik telah menuntut Malaysia menghentikan serta-merta semua aktiviti minyak dan gas di kawasan kaya minyak di perairan Sarawak, walaupun kawasan itu terletak dalam wilayah perairan Zon Eksklusif Ekonomi (EEZ) Malaysia.
VLADIVOSTOK (Rusia) — Malaysia akan meneruskan penerokaan minyak di dalam kawasan wilayahnya walaupun terdapat permintaan China untuk menghentikan serta-merta aktiviti di perairan Sarawak itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata beliau pasti bahawa penerokaan minyak yang dilakukan oleh Malaysia berada di dalam perairan negara, tetapi akan menjelaskan kedudukannya kepada China.
“China adalah rakan kita, tetapi kita perlu beroperasi di dalam kawasan perairan kita untuk memastikan kita mendapat manfaat, termasuk penggerudian dalam kawasan wilayah negara.
“(Walaupun) Beijing hantar bantahan sebab dia rasa tu kawasan dia, kita terpaksa teruskan (aktiviti) sebab ini soal survival ekonomi negara kita,” kata Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia dalam sidang media di hari terakhir lawatan kerja ke Russia hari ini.
Anwar kini berada di bandar Vladivostok di timur jauh Russia bagi menghadiri Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9.
Perdana Menteri berkata Malaysia dan China sentiasa dapat menyelesaikan pertikaian mereka melalui rundingan seperti dua rakan.
“Jika mereka terus mempertikaikan, kita boleh mendengar, dan mereka perlu mendengar, tetapi ia tidak boleh menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara,” katanya
Baru-baru ini muncul laporan berita yang menyatakan bahawa Beijing melalui nota diplomatik telah menuntut Malaysia menghentikan serta-merta semua aktiviti minyak dan gas di kawasan kaya minyak di perairan Sarawak, walaupun kawasan itu terletak dalam wilayah perairan Zon Eksklusif Ekonomi (EEZ) Malaysia. — BERNAMA