Connect with us

Agama

Kenapa negeri lain perlu memasukkan kuasa Mahkamah Syariah di dalam Undang-Undang Tubuh Negeri?

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 25 Ogos 2024 telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah (Pindaan) 2024 yang bertujuan memasukkan penubuhan Mahkamah Syariah.

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 25 Ogos 2024 telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah (Pindaan) 2024 yang bertujuan memasukkan penubuhan Mahkamah Syariah.

RUU itu yang turut merangkumi berkenaan pewujudan Mahkamah Utama Syariah dibentangkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum dibahas dan diluluskan secara sebulat suara oleh Ahli Dewan.

Dengan itu Kedah menjadi negeri kedua selepas Terengganu melakukan demikian walaupun Terengganu tidak memasukkan pewujudan Mahkamah Utama Syariah. Terengganu kekal hanya mempunyai satu peringkat Mahkamah Rayuan sahaja.

Soalnya, ada berbaki sebelas negeri lagi masih tidak berbuat demikian, termasuk Wilayah-Wilayah Persekutuan mengikut Perkara 1 (4) Perlembagaan Persekutuan. Semua negeri sepatutnya  mengambil tindakan segera melakukan sedemikian.

Kenapa perlunya memasukkan kuasa mahkamah syariah berkaitan?

Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama bagi negara, manakala Undang-Undang Tubuh Negeri atau Perlembagaan Negeri adalah undang utama bagi negeri. Apa-apa undang-undang yang dipertikaikan akan dirujuk kepada Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh.

Mahkamah Syariah melaksanakan  undang-undang negeri, maka punca kewujudannya hendaklah dinyatakan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri.

Ramai yang masih mempersoalkan kewujudan Mahkamah Syariah  yang tidak diperuntukan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri dan  Perlembagaan.

Ini adalah bertujuan menjelaskan bahawa Mahkamah Syariah dilahirkan oleh Undang-Undang Tubuh Negeri  dan Perlembagaan Persekutuan. Kewujudannya bermula dengan apa terkandung dalam Undang-Undang Tubuh Negeri dan  Perlembagaan.

Ia untuk membuktikan bahawa Mahkamah Syariah adalah dilahirkan dengan sah, diiktiraf melalui Undang-Undang Tubuh Negeri dan Perlembagaan. Apa tertulis tersebut merupakan “Sijil Kelahiran” Mahkamah Syariah. Apa yang dipanggil sebagai “Creature Of Statute”.

Lahir tanpa “surat beranak”

Jika seseorang warganegara melahirkan anak, sudah tentu bayi itu disahkan melalui sijil pendaftaran kelahiran atau “ surat beranak”.

Kelahirannya tidak akan dipertikaikan dan haknya sebagai warganegara tidak dipertikaikan. Maka sudah tentu ia mendapat keistimewaan yang sewajarnya sebagai seorang warganegara yang diiktiraf.

Bayangkan apa akan berlaku jika seorang bayi atau kanak-kanak hingga dewasa tidak mempunyai “surat beranak”. Apakah kesusahan yang bakal berlaku dalam menghadapi kehidupannya?

Sebab itu dalam kes-kes pertikaian undang-undang sivil dan syariah banyak keputusan Mahkamah Persekutuan mengatakan kononnya mahkamah syariah adalah inferior  kedudukannya lebih rendah daripada mahkamah sivil.

Walhal, sebenarnya mahkamah syariah berbeza daripada mahkamah sivil dia adalah dua bidang mahkamah yang berasingan tetapi selari, sama taraf iaitu satu isu sivil dan satu buat isu syariah.

Jadi untuk memartabatkan mahkamah syariah dan pelaksanaan undang-undang syariah, maka perlu diberi pengiktirafan perlembagaan negeri dan persekutuan kepada mahkamah syariah.

Satu perkara lagi mengapa Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda berhubung perkara itu kerana dalam keputusan kes Indira Gandhi pada 2018 Mahkamah Persekutuan memutuskan kuasa kehakiman dalam sesuatu perkara itu adalah inherent ataupun secara semula jadi berada di Mahkamah Peringkat Persekutuan, bukan mahkamah syariah.

Perkara itu membuatkan seolah-olah mahkamah syariah tidak mempunyai kuasa dalam perkara itu, walaupun hal-hal atau subject matter berkenaan kes sebenarnya di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.

Kewujudan mahkamah awam atau sivil

Kita melihat dalam Perlembagaan Persekutuan dalam Bahagian 1X. Bahagian Kehakiman. Jelas diperuntukan kuasa penubuhan kehakiman Persekutuan, keanggotaan, perlantikan, kuasa hakim-hakim dan sebagainya. Namun, tiada disebut atau diperuntukkan dalam Perlembagaan kuasa mengenai penubuhan Mahkamah Syariah di Wilayah Persekutuan contohnya.

Kesannya ramai menganggap bahawa Mahkamah Syariah bukan “statutory body” kerana punca kuasa penubuhannya tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan begitu  juga dalam Perlembagaan Negeri atau Undang-undang Tubuh Negeri

Mengikut kamus Merriam Webster statute means “a law enacted by the legislative branch of government”. A statute, is a law that has been enacted by a legislature, which is the body that has been granted the power by constitution to enact legislation, or laws.

Kuasa berkanun adalah badan yang ditubuhkan oleh undang-undang yang diberi kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang bagi pihak negara atau negeri yang berkaitan. Ia biasanya ditemui di negara-negara yang dikuasai oleh gaya British demokrasi parlimen. Biasa kewujudannya  di United Kingdom, Australia, New Zealand dan lain-lain, tetapi juga ditemui di tempat lain.

Kuasa untuk memasukkan peruntukan Mahkamah Syariah tersebut di negeri-negeri terletak di atas tanggungjawab kuasa legislatif atau badan perundangan atau DUN yang diberi peranan kepada ADUN.

Manakala di peringkat Persekutuan Perkara 44. Keanggotaan Parlimen.

“Kuasa perundangan Persekutuan hendaklah terletak hak pada Parlimen yang hendaklah terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen yang dikenali sebagai Dewan Negara dan Dewan Rakyat”. Yang diberi tanggungjawab atau peranan kepada Ahli Parlimen.

Rakyat telah memberi kuasa kepada mereka (wakil rakyat) melalui pilihan raya atas dasar “Demokrasi Berparlimen”. Kini rakyat menunggu mereka untuk berperanan atau masih lagi mahu menunggu melihat kiri dan kanan. – The Merdeka Times

Penulis adalah bekas Ketua Hakim Syarie Negeri Perak dan Hakim Rayuan Syariah JKSM.

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *