Connect with us

Terkini

Jemaah Menteri putuskan permohonan sijil halal kekal bersifat sukarela – TPM

Mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan untuk mengekalkan dasar sedia ada berkaitan permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang perlu bersifat sukarela seperti mana ia dilaksanakan sejak 1974 dan diperkukuhkan dengan Akta Perihal Dagangan 2011.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
  • Mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan untuk mengekalkan dasar sedia ada berkaitan permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang perlu bersifat sukarela seperti mana ia dilaksanakan sejak 1974 dan diperkukuhkan dengan Akta Perihal Dagangan 2011.
  • Ia diputuskan selepas Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) membentangkan isu berkaitan pensijilan Halal Malaysia dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, semalam.
  • Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pengekalan dasar sedia ada ini bermaksud ia terbuka kepada mana-mana industri yang bersedia untuk mematuhi semua keperluan, piawaian dan standard pensijilan halal Malaysia.
  • “Justeru, JAKIM menggesa pemain industri agar memohon SPHM memandangkan ianya boleh memberi jaminan dan menarik pelanggan beragama Islam untuk makan tanpa keraguan di premis berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media di sini pada Rabu.
  • Isu pensijilan halal mulai timbul selepas Mohd Na’im pada 6 Sept 2024, dilaporkan menyatakan JAKIM sedang mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.
  • Ia mencetuskan kontroversi apabila Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dilaporkan berkata cadangan itu berpotensi menambah beban kepada perniagaan, termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.
  • Beliau berkata langkah itu juga bertentangan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

KUALA LUMPUR — Mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan untuk mengekalkan dasar sedia ada berkaitan permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang perlu bersifat sukarela seperti mana ia dilaksanakan sejak 1974 dan diperkukuhkan dengan Akta Perihal Dagangan 2011.

Ia diputuskan selepas Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) membentangkan isu berkaitan pensijilan Halal Malaysia dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pengekalan dasar sedia ada ini bermaksud ia terbuka kepada mana-mana industri yang bersedia untuk mematuhi semua keperluan, piawaian dan standard pensijilan halal Malaysia.

Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal berkata, melalui sijil diperolehi itu, ia akan memberi nilai tambah kepada pemegang SPHM atas komitmen yang tinggi untuk sentiasa mematuhi standard dan piawaian pensijilan halal.

“Justeru, JAKIM menggesa pemain industri agar memohon SPHM memandangkan ianya boleh memberi jaminan dan menarik pelanggan beragama Islam untuk makan tanpa keraguan di premis berkenaan. 

“JAKIM juga telah memperkenalkan Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia untuk mempercepatkan pengurusan pensijilan halal Malaysia dalam tempoh 30 hari dan statistik menunjukkan di antara Januari hingga Julai 2024, 96 peratus permohonan berjaya diuruskan dalam tempoh 30 hari tersebut. 

“Usaha proaktif ini berupaya menjadi salah satu tarikan kepada pihak industri untuk memohon SPHM,” katanya menerusi kenyataan media di sini pada Rabu.

Permohonan sijil halal dilaksanakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dilaporkan berkata kajian berhubung isu pensijilan halal hampir siap dan akan dibentangkan pada Rabu (semalam).

Mohd Na’im berkata pihaknya telah menyediakan draf cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi setiap premis makanan, yang akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet nanti.

Ia susulan pada minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor mengarahkan Mohd Na’im melakukan kajian dan menyediakan laporan lengkap berhubung isu pensijilan halal. 

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil pula dilaporkan berkata Perdana Menteri meminta laporan berkaitan isu pensijilan halal dan mahu ia dibentang dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Isu pensijilan halal mulai timbul selepas Mohd Na’im pada 6 Sept 2024, dilaporkan menyatakan JAKIM sedang mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.

Ia mencetuskan kontroversi apabila Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dilaporkan berkata cadangan itu berpotensi menambah beban kepada perniagaan, termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Beliau berkata langkah itu juga bertentangan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Katanya,  pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukannya dilaksanakan secara paksa yang akan menambah kesukaran operasi perniagaan. — The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *