Terkini
Universiti awam, swasta diminta bantu rakyat Palestin
Institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia akan dibabitkan dalam misi membantu rakyat Palestin, terutama bagi membawa lebih ramai pelajar terjejas untuk meneruskan pengajian di negara ini.
- Institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia akan dibabitkan dalam misi membantu rakyat Palestin, terutama bagi membawa lebih ramai pelajar terjejas untuk meneruskan pengajian di negara ini.
- Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata tumpuan kepada pembangunan semula pendidikan rakyat Palestin di Gaza perlu digerakkan segera selain bantuan kewangan untuk kelangsungan hidup.
- “Selain membicarakan mengenai (nasib) rakyat Palestin dengan pembunuhan berterusan di sana, perlu digerakkan inisiatif untuk membangunkan semula Gaza, dari aspek pendidikan.
- “Ini adalah perkara yang sangat asas dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan membuka lebih banyak ruang, bukan hanya untuk (bawa mereka ke Malaysia) bagi mendapatkan khidmat perubatan tetapi memberikan ruang pendidikan,” katanya dipetik Berita Harian pada Perbincangan Meja Bulat bertajuk: “From Destruction to Reconstruction: Empowering Gaza’s Education” di Bangunan Azman Hashim, Universiti Malaya (UM), di sini, pada Selasa.
- “Saya beritahu dalam perjumpaan semalam (kelmarin) dengan sebilangan Naib Canselor supaya mereka ambil langkah (membantu rakyat Gaza). Ada dalam kalangan IPTA (institusi pengajian tinggi awam) yang ada hospital sendiri. Maknanya mereka boleh bantu (misalnya) 127 penduduk Gaza yang sudah dibawa ke sini untuk dirawat,” kata Zambry.
KUALA LUMPUR — Institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia akan dibabitkan dalam misi membantu rakyat Palestin, terutama bagi membawa lebih ramai pelajar terjejas untuk meneruskan pengajian di negara ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata tumpuan kepada pembangunan semula pendidikan rakyat Palestin di Gaza perlu digerakkan segera selain bantuan kewangan untuk kelangsungan hidup.
“Selain membicarakan mengenai (nasib) rakyat Palestin dengan pembunuhan berterusan di sana, perlu digerakkan inisiatif untuk membangunkan semula Gaza, dari aspek pendidikan.
“Ini adalah perkara yang sangat asas dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan membuka lebih banyak ruang, bukan hanya untuk (bawa mereka ke Malaysia) bagi mendapatkan khidmat perubatan tetapi memberikan ruang pendidikan.
“Ini komitmen Malaysia dan kita akan teruskan usaha ini,” katanya dipetik Berita Harian pada Perbincangan Meja Bulat bertajuk: “From Destruction to Reconstruction: Empowering Gaza’s Education” di Bangunan Azman Hashim, Universiti Malaya (UM), di sini, pada Selasa.
Zambry berkata beliau sudah mengadakan pertemuan dengan sebilangan Naib Canselor universiti awam dan swasta bagi mengambil langkah wajar ke arah itu, termasuk memperluaskan penggunaan kemudahan perubatan di hospital universiti untuk merawat rakyat Palestin yang cedera.
“Saya beritahu dalam perjumpaan semalam (kelmarin) dengan sebilangan Naib Canselor supaya mereka ambil langkah (membantu rakyat Gaza). Ada dalam kalangan IPTA (institusi pengajian tinggi awam) yang ada hospital sendiri. Maknanya mereka boleh bantu (misalnya) 127 penduduk Gaza yang sudah dibawa ke sini untuk dirawat.
“Jadi tidaklah mereka ini hanya ditempatkan di hospital awam. Jadi saya menggesa universiti yang ada hospital, beri ruang kepada mereka (rakyat Gaza yang memerlukan rawatan),” katanya.
Ketika menyampaikan ucaptama, Zambry berkata penduduk di Gaza bukan hanya memerlukan pendidikan asas, namun hak mereka untuk akses pengajian di institusi pendidikan tinggi juga perlu diberi perhatian.
Beliau berkata penduduk Gaza tetap berusaha untuk mencapai kecemerlangan akademik walaupun menghadapi kesukaran yang tidak dapat dibayangkan.
“Lebih menakjubkan, kadar literasi penduduk di Gaza adalah paling tinggi di dunia iaitu pada kadar 96.8 peratus, lebih tinggi daripada purata kategori Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan dari 1993 hingga 2011, kadar enrolmen pelajar Gaza di peringkat pendidikan tinggi meningkat sebanyak 940 peratus.
“Semua ini adalah bukti komitmen mendalam rantau ini terhadap ilmu pengetahuan dan pembelajaran,” katanya.
Zambry berkata kerajaan telah memperuntukkan AS$3.87 juta (sekitar RM17 juta) untuk membayar yuran pengajian dan bantuan kewangan bulanan kepada pelajar Palestin selama setahun melalui Tabung Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).
Beliau berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan mempertimbangkan bantuan tambahan jika diperlukan.
“Di samping itu, kerajaan Malaysia akan menyerap yuran lain berkaitan universiti lain, berjumlah AS$1.13 juta.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk memastikan pelajar Palestin dapat meneruskan pendidikan mereka tanpa menanggung beban kewangan,” katanya.
Pada Jumaat lalu, pesawat membawa 127 rakyat Palestin, termasuk pesakit kronik dan kebanyakan mereka mengalami trauma dan kecederaan fizikal bagi mendapatkan rawatan di sini tiba di Pangkalan Tentera Udara Subang.
Mereka antara orang awam yang berlindung di Mesir susulan serangan rejim Israel ke atas Gaza, yang setakat ini meragut hampir puluhan ribu nyawa. — The Merdeka Times