Connect with us

Terkini

(VIDEO) Penjualan saham MAHB tidak untungkan negara, GIP-BlackRock bukan sekadar ‘melabur’ – Bekas MP PKR

Syarikat pro-zionis, BlackRock melalui Global Infrastructure Partners (GIP) bukan hanya melabur tetapi ia akan menguruskan semua lapangan terbang dikendalikan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), yang juga aset strategik negara.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
A.R. Khan

Published

on

Foto: Bekas Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang (Tian Chua).

KUALA LUMPUR – Syarikat pro-zionis, BlackRock melalui Global Infrastructure Partners (GIP) bukan hanya melabur tetapi ia akan menguruskan semua lapangan terbang dikendalikan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), yang juga aset strategik negara.

Melahirkan kebimbangan aset strategik negara dikuasai pengaruh asing, bekas Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang (Tian Chua) turut menyifatkan penjualan saham MAHB kepada GIP-BlackRock sebagai tidak menguntungkan negara.

Tian Chua berkata beliau juga hairan dengan keputusan Kerajaan Madani yang sanggup mengenepikan pendiriannya dalam soal kemanusiaan atas alasan kononnya penjualan saham MAHB kepada syarikat pro-zionis itu dibuat untuk kepentingan ekonomi negara.

Isu kemanusiaan disebut Tian Chua itu merujuk kepada tindakan genosid (pembunuhan beramai-ramai) dilakukan rejim zionis Israel ke atas warga Palestin di Gaza.

“Ramai fikir ini adalah untuk kebaikan ekonomi kita, ini adalah pelabur asing, kita harus ingat BlackRock bukan melabur, BlackRock akan menguruskan airport kita atau kita gunakan bahasa Inggeris; “They will be the operator”.

“Orang yang operate tu dapat bayaran, dia dapat satu bayaran yang telah ditentukan dalam perjanjian, mereka akan bertanggungjawab untuk menentukan dan menguruskan airport dan juga kononnya mereka akan dapatkan business yang akan masuk ke Malaysia.

“Tapi kita harus ingat ini adalah satu peralatan yang sangat sensitif, termasuk radar, termasuk sistem pengawalan pesawat, kita kini tidak harus diheret dalam kepentingan geo-politik AS.

“Itulah sebab saya rasa apa yang BlackRock gunakan, peralatan kita, boleh digunakan untuk mereka melanjutkan pengintipan, juga pengintaian terhadap Laut China Selatan dan juga mungkin sekiranya Amerika Syarikat berperang dengan China, kita diheret dalam peperangan ini, semua ini tidak harus kita lakukan,” katanya kepada The Merdeka Times ketika ditemui di Kempen Solidariti Tolak BlackRock di Dataran Merdeka di ibu negara pada Sabtu malam.

Tian Chua yang juga bekas Ahli Parlimen PKR, turut mempersoalkan tempoh kontrak selama 45 tahun dalam urusniaga membabitkan syarikat berkenaan.

“Dan kita juga harus ingat, kita bagi kepada BlackRock 45 tahun kontrak, sehingga 2069, ini kalau kita menyesal pun, nak tukar pun tidak boleh.

“Jadi saya harap banyak lagi pelabur-pelabur yang berwibawa, banyak pelabur yang ada keupayaan kewangan, biarlah kita pilih mereka yang sehaluan dengan ideologi negara,” kata Tian Chua.

Beliau turut mengherdik pemikiran pihak yang berpegang kepada alasan kononnya penjualan saham MAHB itu dibuat “atas dasar ekonomi” sehingga sanggup mengabaikan isu etika, pendirian terhadap kemanusiaan dan isu penguasaan kuasa besar seperti Amerika Syarikat.

“Saya rasa kita harus ingat, kita tak boleh kata “oh, ini kepentingan ekonomi,” (maka) sebab ia kepentingan ekonomi, kita boleh abaikan isu etika, isu pendirian terhadap kemanusiaan, isu penguasaan kuasa besar seperti Amerika Syarikat.

“Kita tidak boleh abaikan itu, sebab “oh, kita ada pelabur asing.. investment masuk.. kita harus letakkan kepentingan ekonomi, harus diutamakan,” saya agak ini mitos yang sangat tidak tepat dan ini mengelirukan rakyat.

“Pelaburan jenis ini saya tidak kata ia adalah investment, ia adalah pengambilalihan aset negara ini, tidak menguntungkan negara dan saya harap lebih ramai wakil-wakil kerajaan sedar tentang perkara ini,” kata Tian Chua.

Beliau berkata Kerajaan Madani seharusnya tidak melupakan asal perjuangannya untuk menjadi kerajaan melaksanakan reformasi dan bukan bertindak sebaliknya.

“Saya juga kesal kerana kerajaan ini sepatutnya adalah kerajaan reformasi, kerajaan yang lahir daripada perjuangan jalanan.

“Saya bersama dengan parti yang memerintah ini, lawan untuk menuntut keadilan, saya harap parti yang memerintah hari ini, jangan lupa kepada akar umbi mereka, jangan lupa asal usul mereka dan kembali kepada kepentingan rakyat,” kata bekas wakil rakyat itu.

Tian Chua hadir di Dataran Merdeka sebagai tanda solidariti terhadap tindakan mogok lapar seorang aktivis pro-Palestin, M Mythreyar bertujuan mendesak kerajaan menimbang semula keputusannya menjual saham MAHB kepada syarikat milik BlackRock. – The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *