Terkini
Isu tajaan syarikat arak: Kabinet beri pertimbangan kepada sekolah vernakular
Mesyuarat Kabinet Kerajaan Madani pada Rabu bersetuju mengekalkan garis panduan sedia ada yang antara lain menggariskan aktiviti sumbangan dana kepada sekolah tidak boleh memaparkan dan mempromosikan minuman keras di dalam premis sekolah.
- “Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) pada Rabu telah bersetuju mengekalkan garis panduan sedia ada yang antara lain menggariskan aktiviti sumbangan dana kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah.
- “Pada masa sama, MJM juga mengambil pendirian untuk memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan dana melalui LPS dan yayasan seperti diamalkan sejak beberapa pentadbiran terdahulu dan tidak pernah dipertikaikan mana-mana pihak.
- “Bagaimanapun, Jemaah Menteri menegaskan bahawa penganjuran aktiviti melibatkan jenama minuman keras tidak boleh membabitkan pelajar Islam,” kata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan di sini hari ini.
- Media pada Rabu melaporkan isu berkaitan sumbangan dan tajaan syarikat minuman keras kepada sekolah Cina akan dijawab Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
- Fadhlina sebelum itu dilaporkan menolak memberikan sebarang pengecualian atau menyemak semula garis panduan yang melarang sekolah menerima dana daripada hasil penjualan produk tembakau dan minuman keras.
- Ahli Parlimen Nibong Tebal itu berkata walaupun semua sumbangan dialu-alukan, namun mesti mengikut garis panduan kementerian.
- KPM sebelum ini menjelaskan sumbangan melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani adalah dilarang berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018.
- Kontroversi itu timbul susulan sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Sepang didakwa menerima sumbangan syarikat minuman keras menerusi satu konsert amal pendidikan yang diadakan baru-baru ini.
KUALA LUMPUR — Mesyuarat Kabinet Kerajaan Madani pada Rabu bersetuju mengekalkan garis panduan sedia ada yang antara lain menggariskan aktiviti sumbangan dana kepada sekolah tidak boleh memaparkan dan mempromosikan minuman keras di dalam premis sekolah.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata MJM juga mengambil pendirian untuk memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan dana melalui Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan yayasan seperti mana diamalkan sejak beberapa pentadbiran terdahulu dan tidak pernah dipertikaikan mana-mana pihak.
“MJM pada Rabu telah bersetuju mengekalkan garis panduan sedia ada yang antara lain menggariskan aktiviti sumbangan dana kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah.
“Pada masa sama, MJM juga mengambil pendirian untuk memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan dana melalui LPS dan yayasan seperti mana yang telah diamalkan sejak beberapa pentadbiran terdahulu dan tidak pernah dipertikaikan mana-mana pihak.
“Bagaimanapun, Jemaah Menteri menegaskan bahawa penganjuran aktiviti melibatkan jenama minuman keras tidak boleh membabitkan pelajar Islam,” kata KPM dalam kenyataan di sini hari ini.
Media pada Rabu melaporkan isu berkaitan sumbangan dan tajaan syarikat minuman keras kepada sekolah Cina akan dijawab Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Jurucakap kerajaan merangkap Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata isu terbabit ada dibincangkan dalam Kabinet, namun pihaknya menyerahkan kepada menteri berkenaan untuk menjelaskan mengenai perkara itu.
Fadhlina sebelum itu dilaporkan menolak memberikan sebarang pengecualian atau menyemak semula garis panduan yang melarang sekolah menerima dana daripada hasil penjualan produk tembakau dan minuman keras.
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu berkata walaupun semua sumbangan dialu-alukan, namun mesti mengikut garis panduan kementerian.
Isu tersebut mendapat perhatian Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang menyatakan pengumpulan dana dalam konsert amal ditaja syarikat arak untuk sekolah Cina sejak beberapa dekad lalu adalah dalam jumlah besar, di mana ia hampir setanding dana pembangunan diperuntukkan kerajaan kepada institusi pendidikan itu.
Menurut laporan China Press, Guan Eng percaya kerajaan tidak mampu menampung dana diperlukan sekolah-sekolah Cina itu.
Kontroversi itu timbul susulan sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Sepang didakwa menerima sumbangan syarikat minuman keras menerusi satu konsert amal pendidikan yang diadakan baru-baru ini.
KPM menjelaskan sumbangan melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani adalah dilarang berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018.
Justeru, pentadbir di institusi pendidikan KPM diingatkan supaya mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan. — The Merdeka Times
Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/