Terkini
AGC tolak permohonan Guan Eng gugur 4 kes rasuah
Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini menolak representasi difailkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk menggugurkan empat pertuduhan rasuah dihadapinya membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai lebih RM6 bilion.
- Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini menolak representasi difailkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk menggugurkan empat pertuduhan rasuah dihadapinya membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai lebih RM6 bilion.
- Semasa prosiding di Mahkamah Sesyen di sini, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata Guan Eng telah mengemukakan representasi itu pada 28 Jun lalu kepada Pejabat Peguam Negara.
- “Dalam kes ini pembelaan ada menghantar representasi bagi menarik balik pertuduhan ke atas tertuduh namun setelah dikaji oleh pihak AGC, representasi itu ditolak,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi yang dipetik media tempatan pada Jumaat.
- Peguam Haijan Omar mewakili tertuduh mengesahkan perkara itu, sementara mahkamah menetapkan 8 Ogos nanti untuk sambung perbicaraan.
KUALA LUMPUR — Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini menolak representasi difailkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk menggugurkan empat pertuduhan rasuah dihadapinya membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai lebih RM6 bilion.
Semasa prosiding di Mahkamah Sesyen di sini, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata Guan Eng telah mengemukakan representasi itu pada 28 Jun lalu kepada Pejabat Peguam Negara.
“Dalam kes ini pembelaan ada menghantar representasi bagi menarik balik pertuduhan ke atas tertuduh namun setelah dikaji oleh pihak AGC, representasi itu ditolak,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi yang dipetik media tempatan pada Jumaat.
Peguam Haijan Omar mewakili tertuduh mengesahkan perkara itu, sementara mahkamah menetapkan 8 Ogos nanti untuk sambung perbicaraan.
Representasi itu yang diserah pada Jun lalu, mengemukakan beberapa alasan, termasuk keterangan saksi utama pendakwaan Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli kepada mahkamah adalah bercanggah keterangannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung kes penipuan ahli perniagaan, G Gnanaraja membabitkan RM19 juta berkaitan kes terowong dasar laut yang sama.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng yang juga Pengerusi DAP didakwa menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.
Beliau juga dilaporkan berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. — The Merdeka Times