Connect with us

Terkini

BlackRock tidak terlibat dalam penstrukturan semula kepentingan MAHB – GIP

Global Infrastructure Partners (GIP) menegaskan BlackRock Inc tidak pernah sama sekali terlibat dalam sebarang transaksi berhubung penstrukturan semula kepentingan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melalui Gateway Development Alliance (GDA).

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Ketua Bahagian Pengangkutan di Global Infrastructure Partners (GIP) dan Pengarah Gateway Development Alliance (GDA), Phil Iley berkata seperti diumumkan Januari lalu, GIP akan diambil alih BlackRock dengan transaksi tersebut dijangka dimuktamadkan pada suku ketiga 2024.
  • “Selepas transaksi ini dimuktamadkan, pihak pengurusan sedia ada GIP akan mengekalkan kawalan penuh dan tanggungjawab bagi hala tuju strategik dan operasi GIP serta syarikat-syarikat di bawah pelaburan kami,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Bernama.
  • lley berkata GIP memiliki kepakaran dalam pelaburan, pengurusan dan pengoperasian antara perniagaan infrastruktur terbesar dan paling rumit di dunia, termasuk beberapa lapangan terbang.
  • “GIP yakin dengan potensi yang ada pada MAHB dan Malaysia serta percaya bahawa GDA boleh mengembangkan lagi MAHB menerusi inisiatif yang menambah baik pengalaman penumpang, meningkatkan keterhubungan syarikat penerbangan dan menaik taraf infrastruktur lapangan terbang,” katanya.

KUALA LUMPUR — Global Infrastructure Partners (GIP) menegaskan BlackRock Inc tidak pernah sama sekali terlibat dalam sebarang transaksi berhubung penstrukturan semula kepentingan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melalui Gateway Development Alliance (GDA).

Ketua Bahagian Pengangkutan di GIP dan Pengarah GDA Phil Iley berkata seperti yang diumumkan pada Januari lepas, GIP akan diambil alih oleh BlackRock dengan transaksi tersebut dijangka akan dimuktamadkan pada suku ketiga 2024.

Beliau berkata BlackRock mengiktiraf kepakaran GIP dalam pelaburan berkaitan infrastruktur.

“Selepas transaksi ini dimuktamadkan, pihak pengurusan sedia ada GIP akan mengekalkan kawalan penuh dan tanggungjawab bagi hala tuju strategik dan operasi GIP serta syarikat-syarikat di bawah pelaburan kami,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Bernama.

GIP merupakan pelabur infrastruktur terkemuka yang menguruskan aset bernilai US$ 112 bilion (RM527.5 bilion) bagi pihak pelaburnya, yang terdiri daripada kira-kira 500 institusi pelaburan di seluruh dunia.

Pada 15 Mei lepas, GDA dan pemegang sahamnya mengumumkan tawaran sukarela prasyarat untuk mengambil alih semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki oleh Konsortium, pada harga tawaran sebanyak RM11 sesaham yang bersamaan dengan RM18.4 bilion.

Konsortium itu diterajui oleh dua Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan Malaysia – Khazanah Nasional Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

lley berkata GIP memiliki kepakaran dalam pelaburan, pengurusan dan pengoperasian antara perniagaan infrastruktur terbesar dan paling rumit di dunia, termasuklah beberapa lapangan terbang.

“GIP yakin dengan potensi yang ada pada MAHB dan Malaysia serta percaya bahawa GDA boleh mengembangkan lagi MAHB menerusi inisiatif yang menambah baik pengalaman penumpang, meningkatkan keterhubungan syarikat penerbangan dan menaik taraf infrastruktur lapangan terbang.

“GIP percaya inisiatif ini akan mewujudkan manfaat ekonomi yang berpanjangan bukan sahaja bagi MAHB dan para pemegang taruhnya tetapi juga buat ekonomi dan rakyat Malaysia,” katanya.

Pelaburan dalam MAHB

Menurut Iley, tawaran yang dikemukakan oleh GDA merupakan peluang untuk menggunakan kepakaran yang ada bagi membawa penambahbaikan di MAHB yang akan memanfaatkan semua pemegang taruh termasuklah penumpang, syarikat penerbangan, kakitangan dan perniagaan lain secara lebih meluas yang berkaitan dengan lapangan terbang MAHB, daripada pelancongan hingga kepada pembuatan.

“Menerusi pelaburan yang signifikan dalam MAHB, kami dan rakan strategik lain memiliki insentif yang sangat kuat untuk memastikan ia mencapai sasaran yang telah kami gariskan.

“Di samping itu, meskipun kami hanya merupakan pemegang saham minoriti, kami turut akan memainkan peranan selaku rakan strategik teknikal dalam GDA dan menyediakan MAHB dengan seberapa banyak sokongan dan bantuan operasi yang mereka perlukan.

“Kami bersama-sama rakan konsortium yang lain sangat optimis dan komited untuk membawa MAHB ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

lley turut menekankan bahawa GIP sentiasa berhasrat untuk melabur dalam aset infrastruktur utama di seluruh dunia yang menyediakan perkhidmatan penting dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

“MAHB memiliki peluang yang cerah untuk kembali meningkatkan kedudukan pasaran mereka dan memulihkan jaringan rangkaian penerbangan mereka yang berada di bawah paras optimum sejak beberapa tahun ini,” katanya.

lley berkata GIP merupakan pelabur jangka panjang dan secara kebiasaannya, melabur dalam lapangan terbang tertentu selama lebih 10 tahun dan ia perlu mengambii keputusan pelaburan jangka panjang dengan rakan strategik mereka untuk memastikan lapangan terbang di bawah MAHB memiliki kapasiti yang mencukupi bagi beberapa dekad yang mendatang.

“Bagi kami, apa yang lebih penting ialah merealisasikan potensi yang ada pada rangkaian lapangan terbang ini berbanding melaksanakan usaha kami berdasarkan tarikh akhir yang sudah ditentukan.

“Seandainya transformasi ini berjaya dilaksanakan, kami akan mempertimbangkan penyenaraian semula MAHB dalam pasaran saham Malaysia pada masa depan,” katanya.

— BERNAMA

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *