Connect with us

Agama

Asyarah Mubasyarah: 10 sahabat dijanjikan syurga

PERKATAAN al-Jannah (syurga) selalu disebut di dalam al-Quran dan ia digunakan untuk merujuk kepada tempat tinggal yang dijanjikan Allah SWT kepada mereka yang beramal soleh.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

PERKATAAN al-Jannah (syurga) selalu disebut di dalam al-Quran dan ia digunakan untuk merujuk kepada tempat tinggal yang dijanjikan Allah SWT kepada mereka yang beramal soleh.

Syurga sering kali digambarkan sebagai tempat penuh kenikmatan dan kebahagiaan yang disediakan khusus untuk orang-orang yang taat kepada perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangannya. 

“Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.” (Surah al-Baqarah 2:25)

Sudah tentu syurga merupakan destinasi akhirat diimpikan setiap Mukmin yang penuh rahmat dan ganjaran bagi mereka yang berjaya dalam ujian dunia. Dalam sejarah Islam, terdapat sepuluh orang yang telah dijanjikan masuk ke syurga oleh Baginda Rasulullah SAW.

Mereka dikenali sebagai “Asyrah Mubasyarah” yang bermaksud sepuluh orang yang diberikan berita gembira.

Berita gembira dimaksudkan di sini kepada pengakhiran mereka di dalam syurga yang telah disahkan oleh Rasulullah SAW sendiri. Bayangkan keseronokan mereka telah mendapat berita jaminan syurga Allah, suatu pengakhiran yang sempurna ketika masih di dunia. 

Di dalam satu hadis Nabi Muhammad SAW, baginda bersabda, “Abu Bakar di syurga, Umar di syurga, Uthman di syurga, Ali di syurga, Talhah di syurga, al-Zubair di syurga, Abdul Rahman bin Auf di syurga, Sa’ad bin Abu Waqqas di syurga, Sa’id bin Zaid di syurga dan Abu Ubaidah bin al-Jarrah di syurga.” (Sunan Tirmizi, Hadis No. 3747)

Inilah sepuluh nama sahabat yang dijamin syurga oleh Baginda Rasulullah SAW, sekaligus menunjukkan kedudukan tinggi mereka di sisi Allah SWT. 

Kisah mereka bukan sekadar catatan sejarah tetapi juga sumber inspirasi menunjukkan dedikasi, pengorbanan dan iman yang tidak goyah. Mereka menyediakan panduan hidup yang sangat berharga bagi umat Islam yang sentiasa mencari keredhaan Allah SWT.

Setiap daripada sepuluh sahabat ini mempunyai keistimewaan dan amalan yang boleh dijadikan teladan. Keimanan Abu Bakar begitu kuat sehingga dikenali sebagai As-Siddiq, menunjukkan keyakinannya yang teguh kepada kebenaran wahyu ilahi.  

Keberanian Umar al-Khattab mempertahankan Islam ketika umat Muslimin sedang ditindas. Sumbangan Uthman bin Affan baik dari segi kewangan mahupun dalam memperluas empayar Islam tidak dapat dilupakan. Perjuangan Ali bin Abi Talib dalam pelbagai peperangan turut menguatkan kedudukan Islam.

Thalhah Bin Ubaidillah dikenali sebagai syuhada yang berjalan di muka bumi, manakala al-Zubair bin al-Awwam dikenali sebagai hawari (pengikut setia) nabi, menonjolkan keberanian dan kesetiaan mereka yang tiada tandingan. 

Abdul Rahman bin Auf menjadi seorang usahawan yang berjaya dan dermawan, sementara Sa’ad bin Abu Waqqas mempunyai kemahiran memanah.

Sa’id bin Zaid terkenal dengan doanya mustajab dan Abu Ubaidah bin al-Jarrah orang kepercayaan umat, menunjukkan integriti dan amanahnya. 

Kisah sepuluh sahabat ini adalah sumber inspirasi yang tidak ternilai bagi umat Islam. Setiap satu dari mereka meninggalkan warisan yang kaya dengan pengajaran, teladan dan inspirasi untuk kita semua. 

Dalam artikel akan datang, penulis akan membincangkan kisah dan kemuliaan setiap sahabat ini dalam sejarah Islam dengan lebih terperinci untuk memberikan kita pemahaman mengenai kehidupan dan sumbangan bagaimana setiap satu darinya layak mendapat syurga Allah SWT.  – The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author