Connect with us

Kolumnis

Antara emosi dan rasional

“Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis.” (al-Quran 53:43)

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

“Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis.” (al-Quran 53:43)

Emosi merupakan salah satu fitrah yang telah diciptakan Allah SWT dalam diri manusia.

Ahli psikologi membahagikan emosi manusia kepada enam jenis kategori iaitu gembira, sedih, marah, takut, terkejut dan jijik.

Setiap daripada kita pasti pernah merasai emosi yang pelbagai ini.

Pada masa yang sama, manusia juga dikurniakan dengan akal untuk kita berfikir secara rasional.

Dalam al-Quran, Allah SWT sentiasa menggunakan perkaraan ‘Afala Ta’qilun’ (Tidakkah kamu menggunakan akalmu?) dan perkataan ‘Afala Tatafakkarun’ (Tidakkah kamu berfikir?)

Mencari titik seimbang antara emosi dan akal

Mungkin kita pernah dengar “apabila emosi tinggi, rasional akan jadi rendah”.

Namun prinsip ini bukanlah tepat secara mutlak. Prinsip yang lebih tepat adalah “apabila emosi melampaui batas, rasional akan jadi rendah”.

Sebenarnya, kita memerlukan emosi dalam membuat keputusan yang rasional. Tidak mungkin manusia akan terlepas daripada emosinya walaupun dalam membuat keputusan. 

Ini terbukti dalam satu kajian kes pada 1848, seorang lelaki bernama Phineas Gage telah terlibat dalam kemalangan di tempat kerjanya di mana sebatang besi tercucuk ke rahang bawah kirinya dan keluar melalui bahagian atas tengkoraknya. 

Walaupun Gage masih boleh membaca dan bercakap, dia telah kehilangan keupayaannya untuk merasakan sebarang emosi mahupun meluahkan. 

Rentetan daripada ketidakupayaan Gage untuk meluahkan emosi itu akhirnya menghilangkan juga keupayaannya untuk menaakul atau membuat sebarang keputusan. 

Personaliti beliau berubah dan menjadi alkoholik setelah insiden tersebut. Bukan itu sahaja, beliau mulai membuat pilihan yang tidak rasional berkaitan kehidupannya dan sering berkelakuan tidak menentu, malah bertentangan dengan kepentingan dirinya.

Walaupun kini, kita dimomokkan dengan kehebatan teknologi Kecerdasan Buatan ataupun AI (artificial intelligence) yang dapat membuat keputusan rasional tanpa emosi. 

Tetapi, solusi diberikan AI tidak dapat mencerminkan emosi manusia yang sebenar dan tidak bersifat empatik. 

Foto: ‘Dialog’ bersama AI

Sedangkan elemen emosi adalah salah satu komponen penting ketika kita membuat keputusan. Secara tidak sedar, keputusan rasional yang kita buat adalah juga sebenarnya hasil daripada emosi manusia.

Sebagai contoh, bagaimana kita putuskan untuk menjauhi perbuatan dosa dan maksiat adalah kerana kita mempunyai perasaan takut dengan azab Allah SWT yang jauh lebih menyeksakan dan abadi daripada ‘kenikmatan’ yang sementara.   

Selain itu, keputusan kita untuk berbuat baik kepada ahli keluarga dan orang asing tanpa balasan adalah kerana adanya sifat perikemanusiaan. Inilah fungsi dan hakikat emosi dalam membuat keputusan. 

Emosi memberi kita maklumat tentang sekeliling kita. Apabila berkomunikasi dengan orang lain, emosi dapat ditunjukkan melalui ekspresi muka dan bahasa badannya. Maka, dengan memahami emosi seseorang, kita dapat berkomunikasi dengan lebih baik dan efektif.

Kesimpulan

Walaupun pemikiran rasional melibatkan emosi, kita perlu berhati-hati untuk tidak membiarkan emosi yang mengawal akal kita kerana emosi juga merupakan antara ujian yang Allah SWT berikan kepada manusia.

Apabila emosi kita melampaui akal kita, maka seseorang itu akan melakukan tindakan di luar kawalan. Emosi itu penting tetapi ia perlu dikawal dengan akal.

Sepertimana sabda Nabi Muhammad SAW: 

“Seorang yang kuat itu bukanlah yang handal bergusti; seorang yang kuat ialah orang yang mampu mengawal dirinya sewaktu sedang marah.” (Sahih al-Bukhari, No. 6114) – The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *