Terkini
NGO perubatan buka tabung sumbangan bantu pakar bius bayar ganti rugi RM4 juta
Susulan seorang pakar bius diarah membayar ganti rugi RM4 juta atas kecuaian ketika cuba menyelamatkan pesakit, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melancarkan tabung sumbangan untuk pakar perubatan itu bermula semalam.
- Susulan seorang pakar bius diarah membayar ganti rugi RM4 juta atas kecuaian ketika cuba menyelamatkan pesakit, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melancarkan tabung sumbangan untuk pakar perubatan itu bermula semalam.
- “Dr Noor Asilah seorang senior doktor pakar bius di salah sebuah hospital swasta, beliau telah disaman dan terpaksa membayar sebanyak hampir RM4 juta hanya kerana datang dan cuba menyelamatkan seorang pesakit kecemasan yang datang ke hospital pada jam 4.00 pagi kerana pendarahan tekak yang sangat teruk akibat pembedahan dari hospital lain sebelum itu.
- “Dalam pada itu, kami ingin menegaskan, kami menerima dan menyeru semua rakan-rakan FB agar menghormati keputusan mahkamah yang telah ditetapkan. Terima kasih atas setiap sumbangan dan kata-kata sokongan anda sekalian,” kata Medical Mythbusters Malaysia (M3) di Facebook pada Khamis.
- Kes itu mendapat perhatian warga perubatan lain yang terkenal antaranya pakar perubatan keluarga, Dr Sakinah Sulong, pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr Imelda Balchin, Dr Rusyainie Ramli, Dr Arisman Wenge Abd Rahman dan beberapa individu lain.
- Ada di antara mereka berkongsikan maklumat sumbangan itu dan menyatakan sokongan buat Dr Noor Asilah.
- Perkara itu juga mendapat reaksi bercampur baur netizen di Facebook antaranya menuntut penjelasan lanjut berhubung insiden berlaku ketika itu hingga membawa kepada keputusan mahkamah baru-baru ini, ada melahirkan rasa simpati kepada beliau dan ada juga menyifatkan insiden dilalui Dr Noor Asilah bagaikan “melepaskan anjing tersepit”.
KUALA LUMPUR — Susulan seorang pakar bius diarah membayar ganti rugi RM4 juta atas kecuaian ketika cuba menyelamatkan pesakit, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melancarkan tabung sumbangan untuk pakar perubatan itu bermula semalam.
Medical Mythbusters Malaysia (M3) berkata pihaknya amat memandang berat tentang kes menimpa Dr Noor Asilah Abdul Rahman di mana Mahkamah Persekutuan mendapati beliau bersalah atas kecuaian (negligence) dan diperintahkan membayar RM4 juta yang disifatkan satu amaun sangat besar.
“Dr Noor Asilah seorang senior doktor pakar bius di salah sebuah hospital swasta, beliau telah disaman dan terpaksa membayar sebanyak hampir RM4 juta hanya kerana datang dan cuba menyelamatkan seorang pesakit kecemasan yang datang ke hospital pada jam 4.00 pagi kerana pendarahan tekak yang sangat teruk akibat pembedahan dari hospital lain sebelum itu.
“Kes berlaku pada lebih 13 tahun lepas,” kata NGO itu di Facebook pada Khamis.
M3 berkata sebagai tanda sokongan terhadap ahli keluarga warga perubatan, pihaknya membuka tabung untuk menyalurkan sumbangan kepada Dr Noor Asilah, di mana setiap sen sumbangan dikumpulkan akan disampaikan kepada beliau selepas kutipan berakhir 8 Mac nanti.
“Dalam pada itu, kami ingin menegaskan, kami menerima dan menyeru semua rakan-rakan FB agar menghormati keputusan mahkamah yang telah ditetapkan. Terima kasih atas setiap sumbangan dan kata-kata sokongan anda sekalian,” katanya.
Insiden menimpa Dr Noor Asilah turut mendapat perhatian warga perubatan lain yang terkenal antaranya Dr Sakinah Sulong, Dr Imelda Balchin, Dr Rusyainie Ramli, Dr Arisman Wenge Abd Rahman dan beberapa individu lain.
Ada antara mereka berkongsikan maklumat sumbangan itu dan menyatakan sokongan buat Dr Noor Asilah.
“Ramai orang nak membantu meringankan beban Dr Asilah. Kalau kita buat kerja jujur dan kita buat apa terbaik yang kita boleh buat untuk membantu orang lain, Insyaallah, Allah akan tolong kita juga. (Emoji love),” kata Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr Imelda Balchin di Facebooknya.
“I believe in pay it forward. Semoga Dr Nor Asilah diberi kekuatan dan dipermudahkan urusan beliau,” kata pakar perubatan keluarga, Dr Sakinah Sulong.
Perkara itu juga mendapat reaksi bercampur baur netizen di Facebook antaranya menuntut penjelasan lanjut berhubung insiden berlaku ketika itu hingga membawa kepada keputusan mahkamah baru-baru ini, ada yang melahirkan rasa simpati kepada beliau dan ada juga menyifatkan insiden dilalui Dr Noor Asilah bagaikan “melepaskan anjing tersepit”.
Pada 23 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan berpecah memutuskan Columbia Asia Sdn Bhd bertanggungjawab bersama-sama pakar bius, Dr Noor Asilah untuk membayar RM4 juta sebagai ganti rugi kepada Siow Ching Yee atas kesalahan kecuaian perubatan.
Hakim Mary Lim yang membacakan alasan penuh bagi pihak majoriti dilaporkan sebagai berkata, hospital swasta yang menyediakan perkhidmatan kecemasan perlu memastikan ketersediaan kemudahan penjagaan kesihatan dan kakitangan profesional serta sampingan untuk tujuan itu.
“Pembekal penjagaan kesihatan utama bertanggungjawab bukan sahaja menyediakan premis dan kemudahan, tetapi juga untuk rawatan dan penjagaan pesakit, tanpa mengira bagaimana dan kepada siapa tanggungjawab itu perlu diwakilkan,” katanya. — The Merdeka Times