Terkini
Henti guna isu 3R pertahan Akta Hasutan – Lawyers for Liberty
Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) diingatkan untuk menepati janji dengan memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan tidak menggunakan isu 3R iaitu agama, kaum dan raja sebagai alasan untuk mempertahankan kelangsungan akta berkenaan.
- Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) diingatkan untuk menepati janji dengan memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan tidak menggunakan isu 3R iaitu agama, kaum dan raja sebagai alasan untuk mempertahankan kelangsungan akta berkenaan.
- “Setiap janji reformasi yang dimungkiri diletakkan atas alasan “3R”. Alasan ini adalah penipuan kepada rakyat.
- “Akta Hasutan adalah perundangan kolonial kuno dan zalim yang telah lama mengancam kebebasan peribadi dan politik di negara ini… Ia secara terang-terangan melanggar hak kebebasan bersuara di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,” kata Pengarah Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek dalam satu kenyataan di sini hari ini.
- Beliau berkata demikian susulan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata kabinet sudah memberi lampu hijau untuk memulakan proses meminda Akta Hasutan 1948 bagi mengekang provokasi terhadap isu 3R.
- “Adalah satu pengkhianatan mengerikan bagi kerajaan pimpinan PH yang kini enggan memansuhkan Akta Hasutan kerana mereka sudah berkuasa, sedangkan mereka sudah sekian lama berjanji untuk berbuat demikian semasa berada dalam pembangkang,” katanya.
KUALA LUMPUR — Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) diingatkan untuk menepati janji dengan memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan tidak menggunakan isu 3R iaitu agama, kaum dan raja sebagai alasan untuk mempertahankan kelangsungan akta berkenaan.
Pengarah Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek berkata alasan itu adalah satu penipuan terhadap rakyat.
“Bagi kerajaan ini, nampaknya “3R” menjadi alasan bagi setiap pelanggaran kebebasan awam.
“Setiap janji reformasi yang dimungkiri diletakkan atas alasan “3R”. Alasan ini adalah penipuan kepada rakyat.
“Akta Hasutan adalah perundangan kolonial kuno dan zalim yang telah lama mengancam kebebasan peribadi dan politik di negara ini… Ia secara terang-terangan melanggar hak kebebasan bersuara di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian susulan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata kabinet sudah memberi lampu hijau untuk memulakan proses meminda Akta Hasutan 1948.
Saifuddin berkata persetujuan itu diperoleh dua minggu lalu dan pindaan terbabit bukan ke arah mahu memperketatkan, sebaliknya kaedah bagi mengawal isu 3R.
Mengulas lanjut, Zaid Malek berkata Kerajaan pimpinan PH tidak boleh menjadikan institusi diraja sebagai alasan untuk mewajarkan kelangsungan Akta Hasutan.
Beliau berkata melindungi Raja-Raja Melayu bukan alasan sah untuk mengekalkan akta berkenaan kerana kerajaan sekarang atau kerajaan seterusnya masih boleh melanjutkan penggunaan akta itu kepada mana-mana pengkritik kerajaan.
Beliau menegaskan perkara sama juga berlaku kepada isu-isu berkaitan kaum dan agama yang sudah pasti memainkan peranan besar dalam wacana politik Malaysia.
“Tiada cara untuk menyelamatkan Akta Hasutan; risiko ia digunakan terhadap rakyat adalah terlalu besar.
“Adalah satu pengkhianatan mengerikan bagi kerajaan pimpinan PH yang kini enggan memansuhkan Akta Hasutan kerana mereka sudah berkuasa, sedangkan mereka sudah sekian lama berjanji untuk berbuat demikian semasa berada dalam pembangkang.
“Pendirian mereka sebelum ini mengenai Akta Hasutan tidak mengandungi sebarang keraguan tentang melindungi raja, bangsa atau agama dan tiada sebab untuk pendirian itu berubah apabila mereka berkuasa.
“Untuk mengubah pendirian itu sekarang hanyalah hipokrasi dan oportunisme,” kata Zaid Malek. — The Merdeka Times