Connect with us

Terkini

Dipercayai kurma dari Israel, JKDM rampas 73 pek ‘Organic Jumbo Medjool Dates’

73 pek kurma ‘Organic Jumbo Medjool Dates’ dipercayai produk dari Israel berjaya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam serbuan ke atas sebuah gudang di Klang, semalam.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Dipercayai kurma dari Israel, JKDM rampas 73 pek 'Organic Jumbo Medjool Dates'
Foto: Pek kurma 'Organic Jumbo Medjool Dates' dipercayai produk dari Israel berjaya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
  •  73 pek kurma ‘Organic Jumbo Medjool Dates’ dipercayai produk dari Israel berjaya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam serbuan ke atas sebuah gudang di Klang, semalam.
  • Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad, berkata rampasan itu membabitkan pek kurma seberat 14.6 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM678.
  • Dalam serbuan ini juga, seorang lelaki warga tempatan berusia 40-an dipercayai pemilik perniagaan berkenaan turut ditahan untuk siasatan lanjut.

PELABUHAN KLANG – 73 pek kurma ‘Organic Jumbo Medjool Dates’ dipercayai produk dari Israel berjaya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam serbuan ke atas sebuah gudang di Klang, semalam.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad, berkata rampasan itu membabitkan pek kurma seberat 14.6 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM678.

Beliau berkata, serbuan jam 11.30 pagi itu dilakukan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah II Selangor susulan video tular dalam media sosial mendakwa terdapat sebuah premis menjual kurma disyaki produk dari Israel.

“Hasil pemeriksaan ke atas gudang itu menemukan 73 pek kurma dilabelkan ‘Organic Jumbo Medjool Dates’ yang disyaki produk dari Israel.

“Dalam serbuan ini juga, seorang lelaki warga tempatan berusia 40-an dipercayai pemilik perniagaan berkenaan turut ditahan untuk siasatan lanjut,” tegasnya.

Selain gudang itu, Sazali berkata, serbuan turut dilakukan di dua lokasi lain membabitkan sebuah pejabat di Klang dan sebuah kedai menjual makanan organik di Petaling Jaya.

Beliau berkata, hasil semakan JKDM mendapati kurma terbabit dibawa masuk secara pukal bersama barang makanan lain dari negara Eropah pada 2022 dan diisytiharkan sebagai ‘Food Stuff’ (bahan makanan).

“Ia kemudian dibungkus semula untuk dijual dalam pasaran tempatan pada harga sekitar RM20 hingga RM30 setiap pek,” katanya.

Sazali berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, iaitu menyimpan/memiliki barangan larangan.

Beliau menjelaskan, sebarang produk dari Israel ke negara ini perlu mendapat permit khas daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat,” katanya.

Sebelum ini, tular dakwaan dalam media sosial bahawa terdapat kurma dari Israel dijual di negara ini sempena Ramadan, dengan pelbagai pihak mengingatkan agar umat Islam tidak membelinya. – The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *