Kolumnis
Ada Muslim sambut Tahun Baru Cina
TAHUN Baru Cina adalah perayaan tahunan yang sememangnya disambut masyarakat Cina seluruh dunia.
TAHUN Baru Cina adalah perayaan tahunan yang sememangnya disambut masyarakat Cina seluruh dunia.
Namun sejak kebelakangan ini, kelihatan sebahagian Muslim turut menyambut perayaan itu baik Cina Muslim mahupun bukan Cina Muslim.
Ada pula yang beria-ria meraikan sehingga mengalahkan masyarakat Cina bukan Muslim dalam menyambut perayaan tersebut.
Sebagai contoh, insiden berlaku pada 2020 di mana sebuah sekolah kebangsaan bermajoriti pelajar bukan berbangsa Cina telah menghias sekolah mereka dengan pelbagai perhiasan Tahun Baru Cina secara melampau sehinggakan menjadi polemik pada waktu itu.
Sedangkan radio berbahasa Mandarin, Radio AiFM dalam segmen Ai Sembang (4-6 petang) baru-baru ini ada menyatakan statistik masyarakat Cina yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut perayaan itu telah menurun sehingga 33 peratus sahaja.
Maka, ini pasti membuahkan persoalan daripada sebahagian Muslim yang tidak menyambut khususnya, mengapakah ada sebahagian Muslim yang lain beria-ria menyambut perayaan tersebut?
Menariknya, rata-rata masyarakat Muslim menjelaskan sebab mengapa mereka meraikan perayaan itu adalah kerana ia suatu perayaan adat dan bukan perayaan agama yang terkait dengan ibadah.
Perkara itu pernah dijelaskan dalam artikel “Bayan Linnas Siri ke 48: Islam dan Tahun Baru Cina” di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, kira-kira tujuh tahun lalu.
Artikel itu menyatakan bahawa sambutan Tahun Baru Cina adalah perayaan adat kebudayaan masyarakat Cina.
Secara umumnya, ia adalah suatu perayaan bagi menyambut tahun baru mengikut kalendar lunar Cina.
Bahkan dikatakan asal usul pensejarahan sambutan Tahun Baru Cina tidak dapat ditentukan secara pasti dan mempunyai pelbagai versi penceritaan berunsur mitos.
Antara kisah pensejarahan di sebalik perayaan ini adalah berkenaan kisah penduduk kampung melawan seekor raksasa bernama Nian yang mencerobohi kampung mereka.
Dalam kisah ini, terdapat seorang lelaki tua mencadangkan agar penduduk kampung membuat bising dengan bunyi-bunyian seperti pukulan gendang, membakar mercun dan menggantung kertas berwarna merah selain menampalkannya pada tingkap rumah kerana dipercayai raksasa Nian amat takutkan warna merah dan juga bunyi bising.
Cadangan orang tua itu mendatangkan hasil dan akhirnya, raksasa Nian tersebut melarikan diri (guò nián).
Penulis juga ingin memetik ulasan Pengasas NGO Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong Wai Hung dalam satu videonya bertajuk ‘Sejarah Tahun Baru Cina: Asal Usul’ pada 2020.
Menariknya dalam video itu, Firdaus Wong yang juga pendakwah bebas itu mengulas berkait definisi ‘guò nián’ yang bukan sahaja bermaksud ‘raksasa Nian telahpun pergi’, namun maksud lain ‘guò nián’ juga adalah meraikan tahun baru.
Kemenangan itu dikatakan menjadi asbab kepada sambutan perayaan Tahun Baru Cina, malah tradisi mercun dan memakai pakaian merah masih diteruskan sehingga kini.
Namun menurut Firdaus Wong, terdapat versi kedua asal usul pensejarahan Tahun Baru Cina yang lebih tepat dan logik berkait dengan masyarakat Cina terdahulu.
Katanya, secara umum masyarakat Cina di negara China pada ketika itu merupakan masyarakat petani yang miskin walaupun negaranya besar.
Disebabkan kemiskinan, amat sukar mereka berkumpul bersama ahli keluarga melainkan berlakunya acara perkahwinan dan kematian.
Justeru, masyarakat Cina pada waktu itu menetapkan hari yang sesuai untuk mereka berkumpul setiap tahun iaitu selepas musim menuai di mana mereka telah mendapat hasil tuaian mereka. Ia jatuh pada hari Tahun Baru Cina.
Pada waktu inilah akan berkumpulnya sanak saudara dan ahli keluarga untuk menyambutnya bersama. Tradisi ini masih diteruskan sehingga kini.
Melihat kepada hakikat sambutan tahun baru Cina, Firdaus Wong yang juga seorang Cina Muslim itu menyatakan bahawa perayaan Tahun Baru Cina boleh dikatakan sebagai perayaan adat.
Namun walaupun ia perayaan adat, beliau menzahirkan kekhuatiran tentang sebahagian Muslim yang menyambut sesuatu perayaan yang bukan lahir daripada agama Islam secara berlebihan.
“Adakah kita perlu membuat terlalu gah, terlalu meriah sehingga mengalahkan hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidiladha,” katanya.
Ini kerana secara asasnya Islam menyuruh berpegang kepada Islam dan merasa bangga dengan pegangan Islam serta menampilkan jati diri Muslim sehingga dapat dibezakan daripada golongan kafir. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah Fussilat, 41:33.
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!”. – The Merdeka Times
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.