Connect with us

Terkini

Umrah Sang Mualaf: Ziarah ke makam Rasulullah SAW dan Taman Syurga Raudhah

TERLALU banyak yang saya pelajari dan alami sepanjang seminggu berada di bumi Rasul, Madinah al-Munawarrah. 

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Research And Development MRM

Published

on

Umrah Sang Mualaf: Ziarah ke makam Rasulullah SAW dan Taman Syurga Raudhah
Foto: Gambar sekadar hiasan.

TERLALU banyak yang saya pelajari dan alami sepanjang seminggu berada di bumi Rasul, Madinah al-Munawarrah. 

Saya amat berterima kasih kepada barisan pelajar Malaysia dari Universiti Islam Madinah yang menjadi penterjemah kami sepanjang di kota Madinah al-Munawarrah. 

Alhamdulillah, kini saya sudah berada dalam perjalanan ke Kota Makkah untuk mengerjakan ibadah umrah.

Saya teringat pada hari pertama saya tiba di kota Madinah, saya terus mengajak dua orang sahabat yang juga peserta Program Tetamu Penjaga Dua Kota Suci untuk menziarahi makam insan yang semua Muslim cintai, Baginda Rasulullah SAW. 

Sama seperti saya, mereka juga kali pertama menunaikan umrah apatah lagi berada di kota Madinah ini. 

Betapa terujanya kami pada waktu itu meneroka seisi Masjid Nabawi mencari makam Rasulullah SAW seolah-olah kami bukan berada di negara asing langsung. 

Pengalaman ini cukup bermakna buat kami bertiga yang baru pertama kali datang ke kota Madinah. 

Saya selalu mendengarkan kisah-kisah mereka yang pernah pergi ke sini bercerita bahawa betapa rindunya mereka dengan kota suci ini. Subhanallah. Perasaan yang sama juga saya rasai pada waktu ini. 

Dari pintu ke pintu kami bertiga meneroka sehinggalah kami tiba di makam Baginda Rasulullah SAW. 

Perasaan saya ketika itu seolah-olah saya sedang berhadapan dengan Baginda dengan segala kemuliaannya dan kedudukannya yang tinggi. Teringat saya pada firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab:56.  

Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.

Kami meluangkan sedikit masa di makam sambil berselawat ke atas Baginda Rasulullah SAW sebagai sanjungan dan kemulian kepada Baginda.  

Sejahtera atasmu wahai Rasulullah. Sejahtera atasmu wahai Nabi Allah. Sejahtera atasmu wahai insan pilihan Allah. Sejahtera atasmu wahai insan pilihan Tuhan seluruh alam. Semoga Allah memberi balasan kepadamu bagi pihak kami wahai Rasulullah, sebaik-baik balasan yang Allah berikan kepada Nabi dan Rasul bagi pihak umatnya.”  

“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah yang tiada sekutu bagi-Nya. Dan aku bersaksi bahawa engkau adalah hamba-Nya dan Rasul dari kalangan makhluk-Nya. Aku bersaksi juga bahawa engkau telah menyampaikan risalah, menunaikan amanah, menasihati ummah dan berjihad untuk Allah sebenar-benar jihad.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Nikmat Allah yang cukup besar untuk diri sang Mualaf ini. 

Seusai saya solat Maghrib di Masjid Nabawi, saya tidak melepaskan peluang untuk memasuki Raudhah. Suatu sudut yang disebut oleh Rasulullah SAW sebagai taman syurga (Raudhatul Jannah) dalam satu riwayatnya. Rasulullah SAW bersabda: 

“Tempat yang terletak di antara di antara rumahku dan mimbarku adalah salah satu di antara taman-taman syurga.” (Sahih Muslim, No 1391)

Raudhah adalah tempat yang mulia dan yang mustajab doanya di dalam Masjid Nabawi. Sebab itulah terlalu ramai para pencinta Rasulullah SAW yang menziarahi Masjid Nabawi akan berusaha sehabis baik mereka untuk memasuki sudut Raudhah ini. 

Di sinilah sekitar 1400 tahun yang lalu, di mana lokasi Rasulullah SAW beribadat, solat, menerima wahyu daripada Allah SWT, berdakwah dan juga tempat ibadat para sahabat Nabi SAW.  

Dan saya merasakan pada saat itu saya berada di tempat yang paling dekat dengan Nabi Allah terakhir. Subhanallah. Sebelah kiri saya terletaknya rumah Baginda Rasulullah SAW dan sebelah kanan pula terletaknya mimbar baginda.  –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *