Terkini
(VIDEO) Mega Street Dakwah bukan hanya sampai mesej Islam di jalanan – Siswa UniSZA
Program Mega Street Dakwah 2023 anjuran Multiracial Reverted Muslims (MRM) disifatkan penting dalam membetulkan salah faham tentang Islam, khususnya dalam kalangan bukan Islam.

KUALA LUMPUR – Program Mega Street Dakwah 2023 anjuran Multiracial Reverted Muslims (MRM) disifatkan penting dalam membetulkan salah faham tentang Islam, khususnya dalam kalangan bukan Islam.
Program dakwah jalanan itu juga dilihat membawa nilai tambah tertentu, termasuk kemahiran komunikasi individu kepada kelompok ramai.

Foto: Pelajar Jurusan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin Kaunseling, Muhamad Shafizal, 23.
Mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Muhamad Shafizal Haikal Azmi, 23, berkata program dijalankan di sekitar Bukit Bintang itu menemukannya dengan orang ramai daripada pelbagai latar belakang.
“Apabila kita berjumpa dengan orang ramai, terdapat dalam kalangan mereka yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dan ada juga yang tidak, sehingga memerlukan kita menggunakan aplikasi Google Translate untuk berkomunikasi.
“Jadi, apabila berhadapan dengan situasi begini, kita try and error. Alhamdulillah, kebanyakan mereka ini faham saja apa yang cuba disampaikan walaupun kadang-kadang kita bertutur bahasa Inggeris ke laut.
“Program ini melatih kita semua untuk lebih berani dalam berkomunikasi dan juga menambah baik bahasa Inggeris,” katanya kepada The Merdeka Times pada Program Mega Street Dakwah di Bukit Bintang, di sini kelmarin.
Muhamad Shafizal yang juga pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin Kaunseling itu antara 37 mahasiswa UniSZA terlibat dengan Mega Street Dakwah MRM.

Foto: Nurul Ezzanie Jasin, 23.
Nurul Ezzanie Jasin, 23, berkata pengalaman Mega Street Dakwah memberinya pendedahan untuk mengetahui tentang salah faham orang bukan Muslim terhadap Islam seperti pemahaman mengenai Nabi Isa.
“Bagi mereka ingat kita tidak suka Jesus Christ atau Nabi Isa sedangkan kedua-duanya ialah individu sama,” katanya.

Foto: Penjawat swasta, Abdussalam, 23.
Penjawat swasta, Abdussalam, 23, berkata program dakwah jalanan itu merupakan usaha memperkenalkan Islam kepada orang ramai.
“Awal-awal saya menyertainya dulu, adalah menjadi satu kebiasaan kalau pamplet (risalah) info dakwah diberikan, ditolak.
“Jadi, ia bukan senang dan memang mengambil masa serta perlukan kesungguhan mendalam,” katanya.
Program dakwah jalanan itu turut diadakan di Kota Bharu, Kelantan dengan kerjasama International Islamic Information & Dakwah Centre dan Gabungan Dakwah Malaysia dan Darul Fitrah Terengganu di Kuala Terengganu.

Foto: Program Mega Street Dakwah anjuran Multiracial Reverted Muslims (MRM).
Program itu juga mendapat kerjasama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) di Teluk Bahang, Pulau Pinang dan Dewan Muslimat PAS Negeri Johor di Kluang, Johor. – The Merdeka Times
