Terkini
DAP nafi mahu masuk campur urusan agama Islam
Parti Tindakan Demokratik (DAP) hari ini menafikan dakwaan cuba mencampuri urusan agama Islam susulan saranan Ahli Parlimen Beruas dari parti itu, Datuk Ngeh Koo Ham supaya kerajaan melantik pakar perundangan bukan Islam dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN (Dewan Undangan Negeri) Untuk Menggubal Undang-undang Islam.
- Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata kenyataan Ahli Parlimen Beruas dari DAP, Datuk Ngeh Koo Ham itu merupakan satu kekhilafan mengenai punca kuasa penubuhan jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dun Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
- “Saya amat sedar bahawa kenyataan Dato’ Ngeh akan menimbulkan polemik kononnya DAP cuba mencampuri urusan agama Islam. Ini tidak benar sama sekali. DAP menghormati kebijaksanaan DYMM Tuanku Sultan Selangor dalam membuat sebarang keputusan mengenai urusan MKI.
- “Masyarakat bukan Islam juga tidak perlu bimbang dalam perkara ini kerana sekiranya sebarang pindaan undang-undang yang melibatkan hak bukan Islam, ia perlu diperhalusi dan diputuskan oleh Jemaah Menteri dan seterusnya proses seperti biasa perlu dilaksanakan di Parlimen,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
- Koo Ham semalam menyarankan Kerajaan Madani melantik pakar perlembagaan bukan Islam bagi membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dun Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
KUALA LUMPUR — Parti Tindakan Demokratik (DAP) hari ini menafikan dakwaan cuba mencampuri urusan agama Islam susulan saranan Ahli Parlimen Beruas dari parti itu, Datuk Ngeh Koo Ham supaya kerajaan melantik pakar perundangan bukan Islam dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN (Dewan Undangan Negeri) Untuk Menggubal Undang-undang Islam.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata kenyataan Koo Ham itu merupakan satu kekhilafan mengenai punca kuasa penubuhan jawatankuasa tersebut.
Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, beliau sedar kenyataan Koo Ham itu berupaya menimbulkan polemik kononnya DAP berusaha mencampuri urusan agama Islam.
Katanya, perkara itu sama sekali tidak benar.
“Saya amat sedar bahawa kenyataan Dato’ Ngeh akan menimbulkan polemik kononnya DAP cuba mencampuri urusan agama Islam. Ini tidak benar sama sekali. DAP menghormati kebijaksanaan DYMM Tuanku Sultan Selangor dalam membuat sebarang keputusan mengenai urusan MKI (Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam).
“Masyarakat bukan Islam juga tidak perlu bimbang dalam perkara ini kerana sekiranya sebarang pindaan undang-undang yang melibatkan hak bukan Islam, ia perlu diperhalusi dan diputuskan oleh Jemaah Menteri dan seterusnya proses seperti biasa perlu dilaksanakan di Parlimen.
“DAP komited terhadap prinsip hormat-menghormati antara satu sama lain dan keharmonian antara agama dan kaum merupakan tanggungjawab kita bersama,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, Koo Ham menyarankan Kerajaan Madani melantik pakar perlembagaan bukan Islam bagi membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dun Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
Ahli Parlimen DAP itu berkata dalam mengharmonikan undang-undang syariah dengan Perlembagaan, adalah penting pandangan orang bukan Islam diambil kira supaya hak dan perlindungan yang diberikan Perlembagaan kepada orang bukan Islam serta asas negara ini tidak terjejas.
Saranan itu mendapat reaksi negatif daripada Ketua Armada Bersatu Malaysia dan UMNO yang membantah perkara tersebut.
Anthony Loke menjelaskan jawatankuasa itu ditubuhkan MKI yang dipengerusikan Sultan Selangor dan bertujuan menasihati majlis berkenaan cadangan memperkasakan bidang tugas mahkamah syariah.
“Sebarang cadangan oleh jawatankuasa tersebut yang melibatkan sebarang pindaan undang-undang perlu dibawa ke Jemaah Menteri untuk proses penggubalan rang undang-undang seperti biasa.
“Perlu ditegaskan bahawa penubuhan Jawatankuasa Khas ini bukan ditentukan oleh Jemaah Menteri tetapi oleh MKI dan mereka melapor secara langsung kepada MKI,” katanya. — The Merdeka Times
Sumber : Facebook Anthony Loke Siew Fook