Connect with us

Terkini

(VIDEO) Sindrom terlupa anak: Bebanan kerja buatkan ibu bapa hilang fokus

Sindrom terlupa anak dalam kenderaan semakin tidak asing dalam kalangan ibu bapa di negara ini terutama yang sudah berkerjaya.

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan.
  • Sindrom terlupa anak dalam kenderaan semakin tidak asing dalam kalangan ibu bapa di negara ini terutama yang sudah berkerjaya.
  • Menurut statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), rekod sindrom tersebut mencatatkan sebanyak 309 kes pada 2021, 298 kes (2020) dan 305 kes (2019).
  • Belum ditambah dengan kes baru-baru ini yang mana orang ramai dikejutkan dengan kes kematian bayi lapan bulan selepas ditinggalkan dalam kereta ibunya di sebuah tempat letak kereta di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras, Kuala Lumpur.
  • Dapatan yang bukan sedikit itu mengundang The Merdeka Times untuk mencari punca berlakunya perkara tersebut.

AMPANG – Sindrom terlupa anak dalam kenderaan semakin tidak asing dalam kalangan ibu bapa di negara ini terutama yang sudah berkerjaya.

Menurut statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), rekod sindrom tersebut mencatatkan sebanyak 309 kes pada 2021, 298 kes (2020) dan 305 kes (2019).

Belum ditambah dengan kes baru-baru ini yang mana orang ramai dikejutkan dengan kes kematian bayi lapan bulan selepas ditinggalkan dalam kereta ibunya di sebuah tempat letak kereta di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras, Kuala Lumpur.

Kekerapan insiden ini mengundang The Merdeka Times untuk mencari punca berlakunya perkara tersebut.

Tinjauan awam di sini mendapati, rata-rata ibu bapa menyuarakan perkara tersebut berpunca daripada bebanan kerja melampau.

Menurut Shahida Muhamad, 40, tugasan kerja yang kritikal dan pertukaran syif bagi sesetengah pekerjaan seperti doktor menjadikan ibu bapa kekurangan rehat dan kehilangan fokus.

“Macam saya seorang doktor, memang setiap 24 jam kami perlu berfikir terutama jika berlaku ‘oncall’. Jadual shif kami juga setiap beberapa hari memang bertukar. 

“Jadi, ada rakan saya dia punya penat sudah sampai satu tahap terlupa jalan balik ke rumah sebab fikir terlalu banyak,” katanya  ketika ditemui di sini pada Isnin.

Dia yang bertugas sebagai doktor di Hospital Universiti Islam Antarabangsa berkata, bagi memastikan untuk tidak tertinggal anak di dalam kereta dia akan menggunakan mod peringatan dalam aplikasi Waze ketika menghantar anaknya ke mana-mana.

“Kalau saya bayi pula memang saya akan letakkan di tempat duduk depan bukan letak di belakang supaya tak terlupa,” katanya ibu kepada dua cahaya mata itu.

Sementara itu, Zainul Fadhil, 39 berkata, bagi mengelakkan daripada tertinggal anak di dalam kereta dia akan sentiasa berkomunikasi sesama mereka.

Tambahnya, perkara tersebut dapat memastikannya untuk tidak kehilangan fokus terhadap penjagaan anak dalam kenderaan.

“Kalau saya hantar anak ke sekolah pula, saya akan gunakan motor, jadi memang tiada isu anak tertinggal dalam kereta,” kata kakitangan swasta tersebut.

Dalam pada itu, Mohd Fazli Abu Bakar, 42 berkata, isu yang berlaku sangat berkait rapat dengan kos sara hidup yang tinggi sekarang.

Ekoran daripada perkara tersebut, ia membuatkan ibu bapa terpaksa bekerja keras sehingga terabai fokus kepada anak-anak.

“Kalau hidup di Kuala Lumpur sekarang, rata-rata memang terpaksa buat dua kerja, kalau satu kerja tak cukup.

“Apatah lagi sekarang ramai juga mereka yang daripada kalangan golongan berpendapatan tinggi jatuh ke peringkat berpendapatan rendah,” katanya yang merupakan seorang guru.- The Merdeka Times.

Author