Antarabangsa
Saudi KSrelief sumbang RM187 juta bantu Gaza
Agensi bantuan Saudi KSrelief memuktamadkan empat perjanjian kerjasama bersama organisasi antarabangsa untuk memberikan bantuan bernilai AS$40 juta (RM187 juta) kepada rakyat Palestin di Gaza.
- Agensi bantuan Saudi KSrelief memuktamadkan empat perjanjian kerjasama bersama organisasi antarabangsa untuk memberikan bantuan bernilai AS$40 juta (RM187 juta) kepada rakyat Palestin di Gaza.
- Penasihat di Mahkamah Diraja dan ketua penyelia KSrelief, Abdullah bin Abdulaziz Al-Rabeeah, memuktamadkan perjanjian dengan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) dan Program Makanan Sedunia (WFP).
- Pengarah Wilayah WHO, Ahmed Al-Mandhari, berkata situasi di Gaza adalah ujian sebenar bagi kemanusiaan, ahli politik dan organisasi kemanusiaan untuk mengurangkan penderitaan rakyat Palestin.
KAHERAH: Agensi bantuan Saudi KSrelief memuktamadkan empat perjanjian kerjasama bersama organisasi antarabangsa untuk memberikan bantuan bernilai AS$40 juta (RM187 juta) kepada rakyat Palestin di Gaza.
Penasihat di Mahkamah Diraja dan ketua penyelia KSrelief, Abdullah bin Abdulaziz Al-Rabeeah, memuktamadkan perjanjian dengan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) dan Program Makanan Sedunia (WFP).
Abdullah berkata, perjanjian itu akan mengurangkan penderitaan rakyat Palestin dan kesan bencana kemanusiaan yang melanda mereka.
Justeru beliau menggesa masyarakat antarabangsa dan organisasi global untuk memberi tekanan kepada Israel bagi membenarkan akses tanpa syarat terhadap bantuan itu.
Sementara itu, Pengarah Wilayah WHO, Ahmed Al-Mandhari, berkata situasi di Gaza adalah ujian sebenar bagi kemanusiaan, ahli politik dan organisasi kemanusiaan untuk mengurangkan penderitaan rakyat Palestin.
“Halangan terbesar kami ialah kewangan. KSrelief menyediakan kami hari ini dengan bantuan sebenar yang akan membantu menyokong usaha ini,” katanya yang dilaporkan Arab News.
Pesuruhjaya Agung UNRWA, Philippe Lazzarini pula menyifatkan keadaan di wilayah itu sebagai tragis.
“Saya baru tiba dari Gaza dan saya melawat pusat latihan yang bergabung dengan kami.
“Tiada bahan api, air atau pakaian. Saya pasti KSrelief akan memberikan mereka sokongan yang diperlukan dan berharap gencatan senjata itu benar dan ia akan dilaksanakan untuk membantu rakyat,” katanya.
Bagi ketua ICRC di Mesir, Alfonso Verdu Perez, berkata buat masa ini, Gaza adalah keutamaan mereka dan mengucapkan terima kasih kerana menyokong dalam melaksanakan kerja mereka.
“Pengarah pusat kami adalah rakyat Britain, dan dia memberitahu saya bahawa dia tidak pernah menyaksikan apa-apa seperti yang berlaku sekarang di Gaza. Nyawa terkorban dan 70 peratus kemudahan musnah.
“Kami mempunyai prinsip yang sama seperti KSrelief, dan kami tidak akan dapat menjalankan kerja tanpa sokongan, dan untuk itu, kami bersyukur,” katanya.
Abdullah memuktamadkan memorandum kerjasama bersama Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir untuk menyediakan sokongan logistik dan menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Perjanjian itu ditandatangani di Kaherah oleh Abdullah dan Menteri Perpaduan Sosial Mesir, Nevine El-Kabbaj dan pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir.
Memorandum itu bertujuan menyelaraskan kerja kemanusiaan dan bantuan, memudahkan penghantaran bantuan Saudi melalui udara dan laut, menyediakan gudang yang lengkap untuk menyimpan bantuan dan menjadualkan kemasukan bantuan ke Gaza. – AGENSI
Sumber: Berita Harian