Connect with us

Terkini

Insiden bayi maut tertinggal dalam kereta, majikan main peranan penting

Majikan memainkan peranan untuk memastikan sindrom terlupa bayi dalam kalangan pekerja yang sudah berkeluarga tidak berulang lagi.

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Insiden bayi maut tertinggal dalam kereta, majikan main peranan penting
Foto: Pakar Psikologi Organisasi, Dr Alizi Alias.
  • Majikan memainkan peranan untuk memastikan sindrom terlupa bayi dalam kalangan pekerja yang sudah berkeluarga tidak berulang lagi.
  • Pakar Psikologi Organisasi, Dr Alizi Alias berkata, terdapat tiga faktor utama yang mengundang kepada perkara tersebut iaitu stres, kurang tidur dan rutin yang berubah.
  • Mengulas lanjut tentang faktor stres yang mendorong kepada masalah tersebut, ia terdiri daripada kerja lebih masa, perubahan tugas mendadak, beban kerja yang tinggi, ketidakamanan pekerjaan dan kurang autonomi.
  • Turut termasuk, persekitaran fizikal kerja yang tidak membantu dan kekurangan sumber serta peralatan untuk kerja tidak efisien.

KUALA LUMPUR- Majikan memainkan peranan untuk memastikan sindrom terlupa bayi dalam kalangan pekerja yang sudah berkeluarga tidak berulang lagi.

Pakar Psikologi Organisasi, Dr Alizi Alias berkata, terdapat tiga faktor utama yang mengundang kepada perkara tersebut iaitu stres, kurang tidur dan rutin yang berubah.

Mengulas lanjut tentang faktor stres yang mendorong kepada masalah tersebut, ia terdiri daripada kerja lebih masa, perubahan tugas mendadak, beban kerja yang tinggi, ketidakamanan pekerjaan dan kurang autonomi.

Turut termasuk, persekitaran fizikal kerja yang tidak membantu dan kekurangan sumber serta peralatan untuk kerja efisien.

“Majikan juga perlu mengurus faktor yang menyebabkan pekerja tidak cukup tidur seperti bekerja lebih masa di pejabat, membawa kerja pulang ke rumah dan menyiapkannya hingga malam.

“Masalah lain termasuk kerja pejabat yang tiada peluang untuk rehat pendek berkala dan memerlukan perjalanan kerap,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times, semalam.

Tambah Dr Alizi, majikan perlu mengurangkan perubahan rutin yang kerap dalam kalangan pekerja.

Namun beliau memahami, tidak semua majikan dapat berbuat demikian disebabkan faktor tertentu.

“Jika terpaksa memberikan kerja kepada pekerja yang menyebabkan perubahan rutin, wujudkan amalan integrasi kerja-keluarga seperti mewujudkan taska di tempat kerja atau berhampiran tempat kerja yang dikongsi bersama beberapa syarikat.

“Mewujudkan sistem mengingatkan pekerja tentang keberadaan anak mereka apabila berlaku perubahan rutin kerja, menawarkan pilihan jam fleksibel bekerja dari rumah, membiasakan latihan sedar-akal (mindfulness) di tempat kerja termasuk zikir yang difahami dan menenangkan untuk pekerja Muslim supaya pekerja sentiasa tenang serta sedar keadaan sekeliling ketika waktu penting seperti ketika keluar kereta di parkir,” katanya.

Dr Alizi berkata, apabila majikan mampu untuk mengamalkan tiga perkara di atas, ia bukan sahaja dapat menamatkan fenomena sindrom terlupa bayi itu tetapi juga masalah lain di tempat kerja. 

Baru-baru ini media melaporkan seorang bayi perempuan berusia lapan bulan meninggal dunia selepas kira-kira 10 jam ditinggalkan di dalam kereta oleh ibunya di tempat letak kereta di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras.

Menurut sumber, ibu mangsa yang juga seorang doktor tiba di hospital itu untuk bekerja dan tidak menyedari dia meninggalkan kanak-kanak itu, sehingga pukul 5.30 petang.— The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *