Connect with us

Terkini

Hukuman mati, penjara sepanjang hayat 11 banduan diganti kepada penjara 30 tahun

Mahkamah Persekutuan yang bersidang kali pertama selepas empat bulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati 2023, hari ini mengetepikan hukuman gantung dan pemenjaraan sepanjang hayat terhadap 11 banduan termasuk dua lelaki warganegara Thailand atas kesalahan mengedar dadah.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Hukuman mati, penjara sepanjang hayat 11 banduan diganti kepada penjara 30 tahun
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Mahkamah Persekutuan yang bersidang kali pertama selepas empat bulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati 2023, hari ini mengetepikan hukuman gantung dan pemenjaraan sepanjang hayat terhadap 11 banduan termasuk dua lelaki warganegara Thailand atas kesalahan mengedar dadah.
  • Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menggantikan kedua-dua hukuman itu dengan hukuman penjara seumur hidup iaitu 30 tahun manakala dua daripadanya dikenakan 12 kali sebatan kerana berumur di bawah 50 tahun.
  • Beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Malaya Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd. Diah dan Datuk Nordin Hassan memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan permohonan semakan mereka.

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan yang bersidang kali pertama selepas empat bulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati 2023, hari ini mengetepikan hukuman gantung dan pemenjaraan sepanjang hayat terhadap 11 banduan termasuk dua lelaki warganegara Thailand atas kesalahan mengedar dadah.

Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebaliknya menggantikan kedua-dua hukuman itu dengan hukuman penjara seumur hidup iaitu 30 tahun manakala dua daripadanya dikenakan 12 kali sebatan kerana berumur di bawah 50 tahun.

Beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Malaya Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd. Diah dan Datuk Nordin Hassan memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan permohonan semakan mereka.

Pada prosiding itu, mahkamah tertinggi negara mengetepikan hukuman mati masing-masing terhadap dua rakyat Thailand, Ouseng-Same-Ae, 55, dan Mama Sobri Useng, 52, dan menggantikannya dengan hukuman penjara 30 tahun.

Mereka terlepas hukuman sebatan kerana berumur melebihi 50 tahun.

Sementara itu, lima lagi banduan yang juga dijatuhi hukuman gantung turut mendapat `peluang kedua’ apabila mahkamah menggantikan hukuman itu dengan penjara 30 tahun.

Mereka ialah Teh Hock Leong, 52, Mohd. Salleh Yunos, 50, Wan Marzuki Wan Abdullah, 46, Wan Mohd. Azman Hassan, 50, dan Nazarrimi Sahib, 46.

Wan Marzuki dan Nazarrimi masing-masing dikenakan sebatan minimum 12 kali.

Sementara itu, empat yang dikenakan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat iaitu Zulkipli Arshad, 48, Wan Yuriilhami Wan Yaacob, 60, Ghazalee Kasim, 53, dan Mohamad Junaidi Hussin, 52, diringankan kepada penjara 30 tahun.

Keempat-empatnya yang sebelum ini dikenakan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi, memfailkan petisyen kepada Lembaga Pengampunan yang mana hukuman gantung diringankan kepada penjara sepanjang hayat.

Kesemua 11 lelaki itu disabitkan oleh Mahkamah Tinggi berlainan atas hukuman masing-masing kerana kesalahan mengedar dadah pada waktu dan tempat berbeza melibatkan berat dadah di antara 93.7 gram dan 50.6 kilogram.

Mereka telah ditahan di penjara di antara 21 tahun dan 24 tahun.

Pada prosiding hari ini, Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim dan Aida Khairuleen Azli yang hadir selaku responden, tidak membantah terhadap permohonan semakan itu.

Barisan peguam-peguam terdiri daripada Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly, Ghazali Ismail, Abdul Rashid Ismail, Anwar Ezzad Zainal, Cheah Poh Loon, Ameerul Aizat Noor Haslan, Muhamad Izwan Ishak dan Mohd. Hamizi Mohd. Yusof mewakili pemohon-pemohon berlainan.

Selain 11 permohonan hari ini, Mahkamah Persekutuan juga akan mendengar 14 lagi permohonan semakan pada Khamis ini.

Sementara itu, media hari ini melaporkan sebanyak 978 permohonan melibatkan 1,020 banduan hukuman mati dan penjara sepanjang hayat telah diterima untuk semakan di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, jumlah itu sehingga 9 November lalu selepas semua permohonan dikemukakan kepada mahkamah dalam tempoh masa 90 hari dari tarikh akta dikuatkuasakan.

Katanya, pecahan bilangan 978 itu membabitkan 861 permohonan bagi semakan hukuman mati dan 117 permohonan semakan pemenjaraan sepanjang hayat.

“Secara keseluruhannya terdapat seramai 1,020 banduan hukuman mati dan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat yang layak mengemukakan permohonan mereka,” ujarnya.

Akta berkenaan yang berkuat kuasa mulai 4 Julai lalu menghapuskan hukuman mati bagi 12 kesalahan termasuk pengedaran dadah, pembunuhan, penderhakaan dan keganasan.

Selain itu, Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 3 April dan Dewan Negara pada 11 April serta mula berkuatkuasa mulai 12 September lalu. 

Sumber: Utusan Malaysia

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *