Antarabangsa
Berpuluh lokasi dibom dalam 10 minit, mayat terpaksa ditinggalkan – Pasukan Pertahanan Awam Gaza
Pasukan pertahanan awam di Gaza kini berdepan dua pilihan; menghabiskan masa mencari mayat atau meninggalkan mangsa korban disebabkan runtuhan dan bergegas ke kawasan lain untuk menarik keluar mereka yang masih hidup.
- Pasukan pertahanan awam di Gaza kini berdepan dua pilihan; menghabiskan masa mencari mayat atau meninggalkan mangsa korban disebabkan runtuhan dan bergegas ke kawasan lain untuk menarik keluar mereka yang masih hidup.
- Mereka berkata ratusan mangsa maut terperangkap di bawah struktur bangunan runtuh, manakala Kementerian Kesihatan Palestin menganggarkan ribuan rakyat Palestin yang terbunuh dan cedera dalam serangan udara Israel.
- Pertahanan awam memaklumkan kepada Middle East Eye bahawa mereka terpaksa mengutamakan usaha menyelamatkan mangsa masih hidup berbanding mendapatkan mayat mereka yang terkambus disebabkan kekurangan peralatan menyelamat dan penyasaran berulang kali anggotanya.
Pasukan pertahanan awam di Gaza kini berdepan dua pilihan; menghabiskan masa mencari mayat atau meninggalkan mangsa korban disebabkan runtuhan dan bergegas ke kawasan lain untuk menarik keluar mereka yang masih hidup.
Mereka berkata ratusan mangsa maut terperangkap di bawah struktur bangunan runtuh, manakala Kementerian Kesihatan Palestin menganggarkan ribuan rakyat Palestin yang terbunuh dan cedera dalam serangan udara Israel.
Pertahanan awam memaklumkan kepada Middle East Eye (MEE) bahawa mereka terpaksa mengutamakan usaha menyelamatkan mangsa masih hidup berbanding mendapatkan mayat mereka yang terkambus disebabkan kekurangan peralatan menyelamat dan penyasaran berulang kali anggotanya.
“Setibanya di tempat yang disasarkan, jika didapati masih ada yang hidup di bawah runtuhan, kami terus gali sehingga mereka dikeluarkan.
“Tetapi jika kami yakin mereka sudah menemui ajal, kami (terpaksa) pergi ke tapak sasaran lain,” kata Khalil Saifan, seorang anggota pertahanan awam kepada MEE.
“Pengeboman berlaku di beberapa tempat berbeza pada satu masa yang sama, berpuluh-puluh lokasi disasarkan dalam 10 minit dan kami mempunyai peralatan serta anggota yang sangat terhad untuk bertindak.
“Jadi kami perlu memilih di antara menghabiskan berjam-jam mengeluarkan mayat, atau mengutamakan mangsa yang cedera terperangkap di bawah timbunan sebelum mereka juga turut terbunuh.” katanya.
Krisis ini diburukkan lagi dengan kekurangan bahan api yang diperlukan jentolak pasukan pertahanan awam untuk mengeluarkan mangsa dari timbunan bangunan.
Al Jazeera melaporkan angka korban di Palestin mencecah lebih 10,000 rakyat Palestin di Gaza dan 152 terbunuh di Tebing Barat sepanjang sebulan perlakuan genosid tentera haram Israel ke atas penduduk Palestin sejak 7 Oktober lalu.
Sumber: Middle East Eye