Terkini
MAPIM desak negara OIC segera laksana enam tuntutan terhadap Israel
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mendesak negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) melaksanakan enam tindakan terhadap Israel susulan sekatan penuh yang dilakukan mereka ke atas Gaza, termasuk memutuskan semua hubungan diplomatik dengan negara itu.
- Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mendesak negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) melaksanakan enam tindakan terhadap Israel susulan sekatan penuh yang dilakukan mereka ke atas Gaza, termasuk memutuskan semua hubungan diplomatik dengan negara itu.
- Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata pihaknya percaya Israel boleh ditundukkan dari segi politik dan ekonomi jika negara Islam bersatu serta menamatkan pencabulan di Palestin.
- Katanya, MAPIM turut mendesak negara OIC mengheret Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
- “Rakyat di Barat perlu menekan kerajaan mereka untuk menghentikan sokongan politik dan dana kepada Israel,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mendesak negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) melaksanakan enam tindakan terhadap Israel susulan sekatan penuh yang dilakukan mereka ke atas Gaza, termasuk memutuskan semua hubungan diplomatik dengan negara itu.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata pihaknya percaya Israel boleh ditundukkan dari segi politik dan ekonomi jika negara Islam bersatu serta menamatkan pencabulan di Palestin.
Katanya, MAPIM turut mendesak negara OIC mengheret Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
“Negara OIC perlu memfailkan jenayah Israel ke mahkamah antarabangsa untuk didakwa mengikut undang-undang antarabangsa atas jenayah kemanusiaan, pembunuhan beramai-ramai dan pencabulan hak asasi manusia antarabangsa.
“Selain itu, negara OIC perlu bergabung tenaga dengan komuniti sivil Amerika Syarikat (AS) dan di Eropah yang menentang pendanaan keganasan Israel terhadap Palestin.
“Rakyat di Barat perlu menekan kerajaan mereka untuk menghentikan sokongan politik dan dana kepada Israel,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sabtu lalu, tentera Hamas mengisytiharkan serangan terbesar ke atas pencerobohan rejim Israel di Palestin dengan lebih 5,000 roket dibedil dari Genting Gaza ke wilayah Israel melalui ‘Operation al-Aqsa Flood’.
Perkembangan terkini daripada konflik kemanusiaan yang berterusan di Palestin mengakibatkan lebih 20,000 rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal, ratusan kematian dilaporkan, ribuan cedera dan ribuan lagi dilaporkan hilang.
Terbaharu, Israel bertindak mengumumkan sekatan penuh, termasuk menyekat akses terhadap makanan, air, bahan api dan elektrik ke Gaza.
Mohd Azmi berkata, negara OIC juga perlu menamatkan perdagangan sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan Israel.
Beliau berkata, mereka juga harus menuntut Mesir supaya tidak tunduk kepada Israel dan membuka sempadan Rafab antara Mesir dan Gaza bagi laluan bantuan kemanusiaan antarabangsa.
“Langkah ke enam yang perlu dilakukan negara OIC ialah mengeluarkan kenyataan global untuk memboikot dan menguatkuasakan sekatan ke atas Israel, dengan diperakui oleh semua negara OIC.
“Negara anggota OIC harus menangani isu Palestin bukan sahaja dengan kata-kata tetapi juga dalam tindakan. Ia mesti diterjemahkan melalui impak yang kuat untuk mengasingkan dan menekan Israel secara maksimum,” katanya.
Mohd Azmi berkata, tindakan sekatan dibuat Israel itu adalah pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa, sama dengan jenayah perang dan hukuman kolektif.
Katanya, pengisytiharan perang oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bermatlamat menjadikan Gaza sebagai kawasan kemusnahan paling dahsyat adalah ikrar jenayah untuk memusnahkan wilayah itu.
“Kepungan selama 17 tahun ke atas Gaza memberi kesan buruk terhadap kehidupan seharian penduduk. Malangnya, negara Islam hanya melakukan sedikit sahaja usaha untuk menekan Israel supaya menarik balik sekatan.
“Selain memberi bantuan kemanusiaan yang disalurkan, itupun hanya dengan kebenaran Israel dan Mesir, keadaan di Gaza menjadi kawasan yang tidak berdaya huni untuk didiami. Kini Israel mengenakan sekatan penuh yang ketat untuk melumpuhkan Gaza,” katanya.
Sumber: Berita Harian