Connect with us

Terkini

Malaysia salur RM1 juta bantu rakyat Palestin

Kerajaan akan menyalurkan RM1 juta menerusi Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang dikendalikan Kementerian Luar.

Wartawan TMT

Published

on

Malaysia salur RM1 juta bantu rakyat Palestin
Foto: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
  • Kerajaan akan menyalurkan RM1 juta menerusi Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang dikendalikan Kementerian Luar.
  • Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyaluran bantuan itu adalah tindakan segera kerajaan Malaysia untuk membantu rakyat Palestin.
  • “Sebagai tanda solidariti saya menyeru Ahli Yang Berhormat yang berada di luar dan dalam dewan ini untuk turut sama-sama menghulurkan sumbangan dalam tabung yang disediakan di luar dewan atas persetujuan Speaker,” katanya ketika menggulung ucapan perkembangan semasa konflik Palestin-Israel melalui Sesi Penerangan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyalurkan RM1 juta menerusi Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang dikendalikan Kementerian Luar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyaluran bantuan itu adalah tindakan segera kerajaan Malaysia untuk membantu rakyat Palestin.

“Sebagai tanda solidariti saya menyeru Ahli Yang Berhormat yang berada di luar dan dalam dewan ini untuk turut sama-sama menghulurkan sumbangan dalam tabung yang disediakan di luar dewan atas persetujuan Speaker.

“Saya harap tabung itu dapat diisi dan hasil kutipan kita serahkan kepada Kementerian Luar,” katanya ketika menggulung ucapan perkembangan semasa konflik Palestin-Israel melalui Sesi Penerangan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Zahid juga berkata, kerajaan akan menggesa kesemua badan serantau dan antarabangsa untuk mengadakan Sidang Mesyuarat khas dengan segera membabitkan konflik Palestin-Israel.

“Sidang Mesyuarat khas itu akan dilakukan secara konsisten dan pada setiap masa, bukan hanya setelah konflik berdarah tercetus.

“Ia akan digerakkan di setiap platform, lapangan, keadaan dan masa,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua Ahli Dewan Rakyat atas sokongan padu dan solidariti diberikan dalam isu yang menimpa Palestin itu.

“Amat jelas suara-suara keramat yang dilontarkan tadi oleh Indera Mahkota, Ledang, Muar, Machang, Kinabatangan, Ipoh Timur, Pendang, Sik, Alor Setar, Kangar, Jelutong, Ayer Hitam, Hulu Langat, Tampin, Sri Gading, Pasir Puteh dan Pasir Mas, menunjukkan Ahli Dewan semua bersatu hati, senada dan satu suara.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur sesungguhnya kita semua sentiasa bersatu dalam memperjuangkan hak kemanusiaan khususnya terhadap golongan yang ditindas, dizalimi dan teraniaya,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa Dasar Luar Malaysia mengenai isu Palestin adalah jelas dan konsisten serta tidak akan berubah selagi hak mutlak Palestin tidak dikembalikan.

Katanya, Malaysia juga tidak akan menormalisasikan hubungan dengan Israel.

“Konsistensi ini adalah jelas dan tidak berubah termasuk sewaktu Yang Berhormat (YB) Indera Mahkota menerajui Kementerian Luar Negeri.

“Begitu juga dengan kecaman ke atas rejim Zionis yang mengamalkan dasar apartheid, jika diamati, setiap kenyataan yang dikeluarkan oleh Malaysia adalah konsisten mengecam rejim Zionis sebagai pengamal dasar apartheid,” katanya.

Tambahnya, jika dunia bersatu hati dan bersepakat menghapuskan dasar apartheid di Afrika Selatan, mengapa dan kenapa pendekatan yang sama tidak boleh dibuat ke atas rejim Zionis?

“Ini yang ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, setiap kali mengenai dasar berat sebelah dan tidak adil oleh kuasa-kuasa barat,” katanya.

Terdahulu pada awal sesi penerangan, Ahmad Zahid, berkata Malaysia kekal berpendirian bahawa rakyat Palestin perlu dikembalikan hak mutlak bebas daripada pendudukan haram Israel, dikembalikan tanah yang dirampas dan hak membentuk negara yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Katanya, perjuangan membebaskan tanah dan hak rakyat Palestin akan tetap menjadi salah satu tunjang keutamaan dasar luar kerajaan Malaysia.

“Malaysia terbuka dan akan terus menyokong segala usaha konkrit dan realistik untuk mencari jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap konflik Palestin-Israel.

“Ia juga termasuk memberi sokongan terhadap keabsahan rakyat Palestin membentuk sebuah negara yang bebas dari pencerobohan Israel yang berterusan dalam meluaskan penempatan Yahudi di Tebing Barat,” katanya.

Ahmad Zahid, berkata pendirian lantang dan tegas Malaysia kerap kali dinyatakan secara jelas dan terang di setiap lapangan, keadaan dan masa. Ia termasuk di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan PBB.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut menyarankan semua pihak menggunakan #SolidarityForPalestine di media sosial masing-masing.

“Insya-Allah hari Jumaat ini kita tidak memerlukan mana-mana parti politik atau mana-mana pertubuhan menganjurkan perhimpunan menyokong Palestin.

“Kita bersama-sama untuk turun bagi mendukung perhimpunan Palestin,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Antarabangsa

Senator Muslimah Australia pertahan Palestin letak jawatan Parti Buruh

Senator Muslimah Australia, Fatima Payman pada Khamis mengumumkan peletakan jawatannya daripada parti pemerintah Australia “dengan berat hati tetapi dengan kesedaran jelas”.

Wartawan TMT

Published

on

Foto : Senator Muslimah Australia, Fatima Payman
  • Senator Muslimah Australia, Fatima Payman pada Khamis mengumumkan peletakan jawatannya daripada parti pemerintah Australia “dengan berat hati tetapi dengan kesedaran jelas”.
  • Keputusan itu diambil selepas Parti Buruh menggantungnya untuk selama-lamanya kerana berikrar memberontak terhadap barisan parti dan menyokong usul mengiktiraf negara Palestin.
  • Payman yang mewakili negeri Australia Barat, mengundi pada akhir Jun untuk menyokong usul dikemukakan Parti Hijau bagi mengiktiraf Palestin, bertentangan dengan kehendak Parti Buruh dan Perdana Menteri, Anthony Albanese.
  • “Kita semua melihat imej berdarah kanak-kanak kecil kehilangan anggota badan, dipotong tanpa ubat bius dan kelaparan ketika Israel meneruskan serangannya, disiarkan secara langsung di seluruh dunia,” kata Payman dalam sidang akhbarnya pada Khamis dipetik Al Jazeera.
  • Payman yang dilahirkan di Afghanistan dan tiba di Australia sejak bayi berkata sejarah peribadinya sendiri memberi inspirasi kepada pilihannya untuk tidak berundur dalam isu Palestin, walaupun menerima tekanan daripada pemimpin parti.

Senator Muslimah Australia, Fatima Payman pada Khamis mengumumkan peletakan jawatannya daripada parti pemerintah Australia “dengan berat hati tetapi dengan kesedaran jelas”.

Keputusan itu diambil selepas Parti Buruh menggantungnya untuk selama-lamanya kerana berikrar memberontak terhadap barisan parti dan menyokong usul mengiktiraf negara Palestin.

Payman yang mewakili negeri Australia Barat, mengundi pada akhir Jun untuk menyokong usul dikemukakan Parti Hijau bagi mengiktiraf Palestin, bertentangan dengan kehendak Parti Buruh dan Perdana Menteri, Anthony Albanese.

“Kita semua melihat imej berdarah kanak-kanak kecil kehilangan anggota badan, dipotong tanpa ubat bius dan kelaparan ketika Israel meneruskan serangannya, disiarkan secara langsung di seluruh dunia,” kata Payman dalam sidang akhbarnya pada Khamis dipetik Al Jazeera.

Payman yang dilahirkan di Afghanistan dan tiba di Australia sejak bayi berkata sejarah peribadinya sendiri memberi inspirasi kepada pilihannya untuk tidak berundur dalam isu Palestin, walaupun menerima tekanan daripada pemimpin parti.

“Keluarga saya tidak melarikan diri dari negara yang dilanda perang untuk datang ke sini sebagai pelarian bagi saya berdiam diri apabila melihat kekejaman dikenakan kepada orang yang tidak bersalah,” katanya.

Payman akan terus berada di Senat sebagai wakil bebas. – The Merdeka Times

 

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending