Connect with us

Terkini

Cadangan bayaran balik PTPTN melalui potongan gaji tidak bebankan peminjam – PM

Cadangan untuk memperkenalkan kaedah pembayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui pemotongan gaji secara automatik dilihat sebagai satu cadangan praktikal dan tidak membebankan peminjam.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Cadangan bayaran balik PTPTN melalui potongan gaji tidak bebankan peminjam - PM
Foto: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  • Cadangan untuk memperkenalkan kaedah pembayaran balik PTPTN melalui pemotongan gaji secara automatik dilihat sebagai satu cadangan praktikal dan tidak membebankan peminjam.
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kaedah yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC) itu berdasarkan Income Contingent Loan (ICL) yang akan dilaksanakan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
  • “Sehingga Mei 2023, jumlah pinjaman yang belum dibayar berjumlah RM66.9 bilion. Jumlah ini sekiranya dibayar, boleh membiayai kira-kira 2.5 juta orang pelajar baharu,” katanya.

PUTRAJAYA: Cadangan untuk memperkenalkan kaedah pembayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui pemotongan gaji secara automatik dilihat sebagai satu cadangan praktikal dan tidak membebankan peminjam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kaedah yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC) itu berdasarkan Income Contingent Loan (ICL) yang akan dilaksanakan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Pada masa ini, PTPTN adalah penyumbang terbesar yang memungkinkan ramai rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Namun dengan kadar bayaran balik pinjaman adalah amat rendah, kita bimbang dengan kelestarian PTPTN untuk jangka masa panjang.

“Sehingga Mei 2023, jumlah pinjaman yang belum dibayar berjumlah RM66.9 bilion. Jumlah ini sekiranya dibayar, boleh membiayai kira-kira 2.5 juta orang pelajar baharu,” katanya.

Teks ucapan Anwar dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara di sini semalam.

Di samping itu, katanya, pemberian insentif kepada individu dan majikan yang membuat pembayaran balik juga akan menggalakkan lebih ramai peminjam melaksanakan tanggungjawab sivik mereka kepada anak bangsa yang ingin menyambung pengajian namun tidak berkemampuan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, NRC turut mengesyorkan mekanisme baharu pembiayaan di mana Universiti Awam (UA) terikat dengan kerajaan menerusi Perjanjian Tahap Perkhidmatan atau Service Level Agreement (SLA) untuk menghasilkan pelajar dan penyelidikan yang berkualiti tinggi.

“Daripada model geran blok, cadangan supaya kerajaan ‘membayar’ kepada Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) untuk perkhidmatan pendidikan berdasarkan formula pembiayaan berasaskan prestasi ini.

“Formula ini harus berdasarkan kebolehpasaran graduan, gaji siswazah, dan kualiti pendidikan. Institusi yang dapat menonjolkan prestasi yang baik akan diperuntukan kos yang lebih tinggi bagi setiap pelajar,” ujarnya.

Anwar berkata, secara dasarnya, beliau amat menyokong sebarang bentuk reformasi yang ingin dilaksanakan untuk terus maju ke hadapan terutama dalam konteks pembangunan negara yang merdeka dan mampan dari segi percambahan intelek, pembangunan modal insan, dan penguasaan ekonomi.

“Justeru, kerajaan bersedia untuk mempertimbangkan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh NRC yang akan diangkat menerusi KPT, terutamanya yang akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia amnya dan sektor pendidikan tinggi khususnya,” ujarnya.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Perutusan Tahun Baharu 2023 lalu menjelaskan, landskap pendidikan tinggi ketika ini dilihat lebih rumit dan mencabar.

Situasi tersebut mendorong kepada penubuhan Jawatankuasa NRC supaya ia dapat memberi saranan penambahbaikan dalam tempoh tiga bulan dengan 58 cadangan utama daripada 874 isu telah dikenal pasti.

Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala itu turut dianggotai oleh individu-individu berpengalaman dan berkepakaran dalam sektor pendidikan tinggi.

Sumber: Utusan Malaysia

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *