Terkini
Wanita dari Sarawak gagal batalkan nama daripada Daftar Mualaf
Seorang wanita dari Sarawak gagal dalam permohonan untuk semakan kehakiman bagi membatalkan namanya daripada Daftar Mualaf.
- Seorang wanita dari Sarawak gagal permohonan semakan kehakiman membatalkan namanya daripada Daftar Mualaf.
- Peguam Persekutuan, Mohammad Sallehuddin Md Ali, berkata Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membenarkan bantahan awal Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap permohonan wanita berusia 26 tahun itu dengan kos RM3,000 perlu dibayar kepada AGC.
- “Mahkamah menolak permohonan wanita itu atas alasan antaranya permohonannya tidak tertakluk kepada semakan kehakiman, berdasarkan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.
- “Hanya Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan ini,” katanya ketika dihubungi media, hari ini.
- Pada 20 April lalu, wanita itu memfailkan permohonan menamakan Pendaftar Mualaf Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
KUALA LUMPUR: Seorang wanita dari Sarawak gagal dalam permohonan untuk semakan kehakiman bagi membatalkan namanya daripada Daftar Mualaf.
Peguam Persekutuan, Mohammad Sallehuddin Md Ali, berkata Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membenarkan bantahan awal Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap permohonan wanita berusia 26 tahun itu dengan kos RM3,000 perlu dibayar kepada AGC.
“Mahkamah menolak permohonan wanita itu atas alasan antaranya permohonannya tidak tertakluk kepada semakan kehakiman, berdasarkan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.
“Hanya Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan ini,” katanya ketika dihubungi media, hari ini.
Prosiding hari ini turut dihadiri peguam Iqbal Harith Liang bagi mewakili wanita terbabit.
Pada 20 April lalu, wanita itu memfailkan permohonan dengan menamakan Pendaftar Mualaf Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Pemohon yang dilahirkan pada 9 Julai 1997 dan ibu serta bapanya beragama Kristian, memohon pengisytiharan bahawa Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) memberikan bidang kuasa kepada responden pertama (Pendaftar Mualaf) untuk mengisytiharkan bahawa seseorang itu bukan lagi beragama Islam.
Beliau juga memohon responden pertama mempertimbangkan permohonan pemohon supaya namanya dibatalkan daripada Daftar Mualaf dan membuat keputusan serta-merta dan memohon pengisytiharan bahawa penolakan atau kelewatan responden pertama memutuskan permohonan pemohon dalam surat bertarikh 30 Januari, 20 Februari dan 17 Mac 2023 adalah tidak rasional dan tidak munasabah.
Dalam afidavit sokongannya, wanita itu berkata pada awal 2017, pemohon bertemu seorang lelaki Melayu beragama Islam yang mempelawanya berkahwin dan bagi membolehkan perkahwinan mereka dari sudut pentadbiran, beliau memeluk agama Islam pada 18 Ogos 2017 dan didaftarkan sebagai mualaf oleh responden pertama.
Bagaimanapun, perkahwinan itu tidak berlaku selepas hubungan mereka terputus di tengah jalan.
Pada 27 Januari tahun lalu, pemohon berikrar dalam afidavit bahawa beliau mahu keluar daripada agama Islam dan kembali menganut Kristian.
Pada 30 Januari, 20 Februari dan 17 Mac lalu, pemohon melalui peguamnya mengeluarkan surat kepada responden pertama untuk memohon namanya dibatalkan daripada Daftar Mualaf dan pada tarikh pemfailan permohonan itu, responden pertama belum memberikan sebarang keputusan berhubung permohonannya.
Sumber: Berita Harian