Antarabangsa
(VIDEO) Penderaan seksual terancang sekolah, gadis Muslim bawah umur trauma dirogol
Seorang pelajar perempuan didakwa dirogol dan didera secara seksual selama dua tahun oleh anak lelaki pengarah sekolah di Daerah Saharsa, Bihar, India.
Seorang pelajar perempuan didakwa dirogol dan didera secara seksual selama dua tahun oleh anak lelaki pengarah sekolah di Daerah Saharsa, Bihar, India.
Perkara itu terdedah pada 23 Ogos lalu apabila gadis terbabit mendapat serangan panik, merayu supaya dibantu sewaktu sedang tidur.
Remaja 16 tahun itu mendakwa anak pengarah sekolahnya dahulu, Samrat Vishwas, melakukan perkara itu dengan dibantu pengetua sekolah, Anita Mishra.
View this post on Instagram
Ketika insiden serangan seksual itu, Anita dilaporkan membawa gadis itu ke dalam kelas atau perpustakaan, menutup lampu, mengunci pintu dan mengawal keadaan sekeliling, sambil Samrat melakukan perbuatan terkutuk ke atas mangsa.
Mangsa yang menjelaskan pengalaman pahit itu berkata, “ia berlaku buat kali pertama ketika saya berada di kelas 6 pada tahun 2017. Puan Anita memanggil saya di dalam kelas yang kosong, (dia) keluar, lalu mengunci bilik dari luar.
“Dengan keberadaan Samrat dalam bilik itu, dia mula melakukan sentuhan yang tidak sepatutnya. Pada mulanya saya tidak faham apa yang dilakukan terhadap saya, tetapi kemudian dia mula menanggalkan pakaian dan merogol saya.
“Dia membuat rakaman video ketika itu dan apabila saya menentang, dia ugut untuk menularkan video itu serta memberitahu semua bahawa dia telah merogol saya. Perkara ini berterusan selama dua tahun,” kata mangsa dipetik Maktoob Media.
Mangsa berkata Samrat juga pernah memberitahu bahawa tiada siapa yang akan mempercayai mangsa dan ibu bapanya akan menghentikan pembelajarannya di situ jika serangan seksual itu diadukan.
Pada 23 Ogos lalu, gadis itu mengalami serangan panik dan dibawa segera ke Hospital Kecemasan Nobel oleh warden asramanya.
Keesokan harinya, selepas didiagnosis, dia dirujuk kepada pakar psikiatri yang memaklumkan dirinya dilanda kemurungan dan trauma teruk.
“Dia (mangsa) sering mengulangi Madam mujhe jaane do, ese mat karo, bhaiyya chorr do (puan, lepaskan saya, jangan buat macam ni, abang lepaskan saya). Walaupun selepas enam tahun dia masih ketakutan, trauma seumur hidup,” kata abang mangsa, Munawwar (bukan nama sebenar).
Munawwar mendakwa Samrat, Anita dan pihak sekolah itu terlibat secara kolektif dan mendakwa kebarangkalian ramai menjadi mangsa tetapi tidak menyuarakannya.
Polis Saharsa pada 28 Ogos lalu mendaftarkan kes di bawah seksyen 376 Kanun Keseksaan India dan 418 Pencegahan Kanak-kanak daripada Kesalahan Seksual (POCSO). Kedua-dua tertuduh Samrat Vishwas dan Anita Mishra ditahan pada hari yang sama.
Keluarga mangsa menggesa pihak pentadbiran untuk menubuhkan Pasukan Penyiasatan Khas (SIT) bagi menyiasat keseluruhan kes itu, termasuk pengurusan sekolah.
Mereka juga menuntut penutupan sekolah dan rampasan peranti elektronik milik Samrat dan Anita atas dakwaan skandal pemerdagangan manusia bertopengkan operasi sekolah.
Sumber: Maktoob Media