Connect with us

Terkini

Tiga punca utama Malaysia berdepan ‘drama bersiri’ kekurangan bekalan makanan – Pakar Ekonomi

Produktiviti sektor pertanian yang rendah antara punca utama berlakunya siri kekurangan bekalan makanan yang tidak berkesudahan di Malaysia, kata Pakar ekonomi, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Tiga punca utama Malaysia berdepan ‘drama bersiri’ kekurangan bekalan makanan - Pakar Ekonomi
Foto: Pakar Ekonomi, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali (kanan).
  • Produktiviti sektor pertanian yang rendah antara punca utama berlakunya siri kekurangan bekalan makanan yang tidak berkesudahan di Malaysia, kata Pakar ekonomi, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.
  • Apa sebenarnya punca siri kekurangan bekalan ini berulang, tak berkesudahan? Amat rugi sekali, sebuah negara yang cukup tanah, cukup hujan, mempunyai kedudukan geografi dan cuaca yang baik untuk pertanian, serta mempunyai sejarah sebagai negara bertani, sedar atau tidak ‘meninggalkan’ pertanian, khususnya pengeluaran makanan. 
  • “Pembangunan industri pembuatan diperhebatkan sebagai strategi utama untuk menjadikan negara ini maju. Tidak salah membangunkan industri, tetapi salah meninggalkan pertanian,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu lalu.

KUALA LUMPUR —  Produktiviti sektor pertanian yang rendah antara punca utama berlakunya siri kekurangan bekalan makanan yang tidak berkesudahan di Malaysia, kata Pakar ekonomi, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.

Noor Azlan berkata pengeluaran makanan tidak menjadi agenda utama negara di mana Tahap Sara Diri (SSL) juga tidak banyak berubah.

Katanya,  sekian lama pertanian sering dikaitkan dengan kemiskinan, aktiviti luar bandar, intensif buruh, tidak berteknologi, tidak menarik minat anak muda dan usahawan tempatan. 

Malah, nama universiti yang sejarah  penubuhan  dan kesohorannya  dalam bidang pertanian turut di tukar selain penyelidikan serta inovasi pertanian tidak membawa penyelesaian secara berkesan.

Apa sebenarnya punca siri kekurangan bekalan ini berulang, tak berkesudahan? Amat rugi sekali, sebuah negara yang cukup tanah, cukup hujan, mempunyai kedudukan geografi dan cuaca yang baik untuk pertanian, serta mempunyai sejarah sebagai negara bertani, sedar atau tidak ‘meninggalkan’ pertanian, khususnya pengeluaran makanan. 

“Pembangunan industri pembuatan diperhebatkan sebagai strategi utama untuk menjadikan negara ini maju. Tidak salah membangunkan industri, tetapi salah meninggalkan pertanian,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu lalu.

Noor Azlan berkata hampir 52.3 peratus keperluan makanan negara diimport susulan kita tidak berupaya mengeluarkan makanan sendiri selain hampir separuh kategori utama makanan Tahap Sara Diri (Self Suffiency Level (SSL)) adalah kurang dari 70 peratus. 

Beliau mengingatkan Malaysia perlu bersedia awal memandangkan pengeluaran makanan dunia turut terjejas akibat ketidak tentuan iklim dan konflik geo-politik, yang menyebabkan menjamin kecukupan makanan melalui import semakin mencabar. 

Faktor kedua Malaysia berdepan kekurangan bekalan makanan disebabkan oleh intervensi kerajaan yang keterlaluan secara jangka panjang hingga merencat pembangunan sektor pertanian.

Intervensi dan kewujudan birokrasi kerajaan yang keterlaluan akan merencatkan pembangunan sesebuah industri di mana pelabur swasta pula mengelak daripada industri yang dikawal secara keterlaluan.

“Hasrat kerajaan untuk memastikan rakyat  mampu mendapatkan bekalan makanan pada harga yang ‘rendah’ sering menjadi tawaran utama dalam  memenangi hati rakyat. 

“Intervensi ke atas pergerakan harga melalui kawalan harga adalah langkah yang ‘popular’ sebagai tanda  kerajaan bertindak. Hakikatnya, penetapan harga kawalan lebih rendah dari harga pasaran adalah satu dongengan.

“Harganya yang sangat tinggi. Subsidi mencecah RM80 bilion setahun bagi mengekalkan harga rendah dari harga pasaran. Hampir menyamai jumlah emolumen penggajian keseluruhan penjawat awam! Ini belanja hangus, tahun depan berulang lagi,” katanya.

Noor Azlan memetik ucapan penggulungan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebelum ini di Parlimen yang menyatakan tidak mustahil jumlah subsidi itu mencecah RM100 bilion sekiranya dibiarkan berterusan. 

Justeru, beliau menegaskan Malaysia perlu berubah dengan melaksanakan segera kaedah lain yang lebih berkesan dan tidak membebankan kedudukan fiskal negara.

Beliau mencadangkan sebaiknya harga dibiar bergerak secara adil berdasarkan kuasa pasaran yang asli sekali gus membiasakan rakyat dengan perubahan harga yang adil.

Sementara bantuan kepada yang memerlukan disalurkan secara bersasar tanpa mengganggu pergerakkan harga. 

“Ketiga, kemungkinan wujudnya ciri-ciri monopolistik di sepanjang rantaian bekalan mesti dihapuskan. Kerajaan seharusnya menumpu kepada pembangunan rantaian bekalan dan pasaran yang sihat dan adil bukan mengawal harga. 

“Persaingan yang optimum perlu diwujudkan bagi memastikan harga pasaran adalah harga adil.

“Harga yang tidak anjal kepada perubahan kuasa pasaran atau ‘anjal meningkat-tidak anjal menurun’ adalah petanda bahawa terdapat sifat-sifat monopolistik di peringkat tertentu rantaian bekalan penawaran,” kata Noor Azlan.

Beliau berkata tindakan pro-aktif membangunkan pasaran sihat mesti diutamakan, menghapuskan ciri-ciri monopolistik dan bukan hanya bertindak apabila harga dimanipulasikan. 

Kaji tahap persaingan di semua peringkat rantaian bekalan, khususnya bagi keperluan makanan asas, katanya. 

Pakar ekonomi itu turut berharap ‘drama bersiri’ kekurangan bekalan makanan asas di Malaysia akan menemui penghujungnya. — The Merdeka Times

Sumber : Facebook Noor Azlan Ghazali

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *