Connect with us

Terkini

KKM sedia berdepan sebarang pandemik termasuk penyakit X – Dr Zaliha

Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa bersedia berdepan apa saja kemungkinan pandemik yang akan berlaku pada masa depan, termasuk ancaman yang dinamakan penyakit X.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

KKM sedia berdepan sebarang pandemik termasuk penyakit X - Dr Zaliha
Foto: Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
  • Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa bersedia berdepan apa saja kemungkinan pandemik yang akan berlaku pada masa depan, termasuk ancaman yang dinamakan penyakit X.
  • Menterinya, Dr Zaliha Mustafa, berkata KKM sentiasa membuat pemantauan bagi mengesan sebarang penyakit baharu yang muncul, selain Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang turut memberikan amaran.
  • “Ia dinamakan X kerana kita tidak tahu penyakit apa tetapi kita di KKM sentiasa bersedia atas apa saja kemungkinan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Kompleks Dewan Bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan Wad Tambahan Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, hari ini. 
  • Semalam, media melaporkan, pakar kesihatan global percaya ancaman pandemik besar seterusnya semakin hampir dan boleh meragut sehingga jutaan nyawa berbanding COVID-19.
  • Ia digelar sebagai penyakit X oleh WHO, yang dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa bersedia berdepan apa saja kemungkinan pandemik yang akan berlaku pada masa depan, termasuk ancaman yang dinamakan penyakit X.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa, berkata KKM sentiasa membuat pemantauan bagi mengesan sebarang penyakit baharu yang muncul, selain Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang turut memberikan amaran.

“Ia dinamakan X kerana kita tidak tahu penyakit apa tetapi kita di KKM sentiasa bersedia atas apa saja kemungkinan.

“Kita ada pemantauan dan pengawasan jika ada apa-apa kemungkinan penyakit baharu yang mungkin boleh menyebabkan pandemik pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Kompleks Dewan Bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan Wad Tambahan Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, hari ini. 

Turut hadir, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Semalam, media melaporkan, pakar kesihatan global percaya ancaman pandemik besar seterusnya semakin hampir dan boleh meragut sehingga jutaan nyawa berbanding COVID-19.

Ia digelar sebagai penyakit X oleh WHO, yang dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa.

Justeru, WHO menyarankan penyediaan segera vaksin sebagai tindak balas cepat selepas dunia berada pada situasi ‘tidak bersedia’ ketika menghadapi COVID-19 pada awal 2020.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha yang baru pulang daripada menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-78 di New York, berkata isu penyakit X tidak dibincangkan pada mesyuarat antara Menteri Kesihatan dari 194 negara yang hadir.

Mengenai gesaan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) supaya KKM segera menangani isu kesihatan mental dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan dalam perkhidmatan awam yang disifatkan amat membimbangkan, Dr Zaliha berkata, perkara itu sentiasa menjadi keutamaan.

“Sejak daripada pandemik, isu kesihatan mental dilihat semakin ketara. Khusus kepada petugas kesihatan, memang ada unit khas jika mereka ada apa saja permasalahan di tempat kerja dan sebagainya, mereka boleh ke unit ini untuk mendapatkan kaunseling.

“Nak dikatakan ‘red alert’ (amat membimbangkan), saya tidaklah menyebut sampai ‘red alert’ tetapi benda itu memang sentiasa ada dan kita sentiasa terbuka menerima apa saja pandangan, termasuk daripada MMA bagi memberi cadangan penambahbaikan kepada sistem kita,” katanya.

Sementara itu, berhubung Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan 13 Oktober ini, Dr Zaliha memaklumkan, KKM berharap akan mendapat peruntukan lebih tinggi, berbanding RM36.3 bilion yang diterima dalam Belanjawan 2023.

Beliau berkata, pihaknya sudah bertemu dengan Kementerian Kewangan bagi menyatakan keutamaan yang perlu diletakkan dalam belanjawan itu, termasuk bagi usaha yang sedang dilaksanakan KKM, yang memerlukan belanjawan berterusan.

“Antara peruntukan yang kita minta teruskan tahun ini, kita ada 436 klinik daif yang sudah dikemukakan untuk ditambah baik. Pada tahun depan, ada lebih 300 klinik lagi (untuk ditambah baik).

“Bagi yang lain, untuk Skim Perubatan Madani dan ada lagi peruntukan lain,” katanya.

Mengenai projek yang diserahkan Kementerian Kerja Raya (KKR) kepada KKM, hari ini, ia adalah sebahagian daripada projek pembangunan semula HKL, membabitkan bangunan lama dan membina semula Kompleks Dewan Bedah Urologi baharu, yang akan mula beroperasi secara berperingkat pada akhir bulan depan.

Bangunan setinggi tujuh tingkat, dikenali sebagai Blok B Institut Urologi dan Nefrologi (IUN) itu menempatkan kemudahan baharu, seperti Dewan Bedah, ICU Urologi dan Nefrologi serta Unit Hemodialisis.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *