Antarabangsa
Wanita tiada nilai jika membuka aurat – Taliban
Taliban percaya wanita akan kehilangan “nilai” jika lelaki dapat melihat wajah mereka di khalayak ramai, kata ulama Afghanistan.
- Taliban percaya wanita akan kehilangan “nilai” jika lelaki dapat melihat wajah mereka di khalayak ramai, kata ulama Afghanistan.
- Terdapat kemungkinan fitnah dan boleh terjerumus ke dalam dosa jika wajah wanita kelihatan di khalayak ramai, kata Jurucakap Kementerian Amar Makruf Nahi Mungkar, Emeriyah Islam Afghanistan, Molvi Mohammad Saqid Akif.
- Katanya, Allah swt memberi penghormatan kepada wanita untuk berhijab dan itu ada nilainya.
- Utusan khas PBB, Gordon Brown pada Rabu lalu berkata, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) harus mendakwa pemimpin Taliban atas jenayah kemanusiaan kerana menafikan pendidikan dan pekerjaan golongan wanita.
- Akif berkata penguatkuasaan Syariah (Undang-Undang Islam) disambut baik rakyat Afghanistan dan golongan lelaki tidak lagi mengganggu wanita seperti zaman kerajaan terdahulu.
- Sejak mengambil alih Afghanistan pada 15 Ogos 2021 ekoran pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS), tiada negara di dunia yang mengiktiraf kerajaan Emeriyah Islam Afghanistan diterajui Taliban.
Taliban percaya wanita akan kehilangan “nilai” jika lelaki dapat melihat wajah mereka di khalayak ramai, kata ulama Afghanistan.
Jurucakap Kementerian Amar Makruf Nahi Mungkar, Emeriyah Islam Afghanistan, Molvi Mohammad Saqid Akif memberitahu The Associated Press pada Khamis, terdapat kemungkinan fitnah dan boleh terjerumus ke dalam dosa jika wajah seseorang wanita kelihatan di khalayak ramai.
“Amat teruk melihat wanita (tanpa hijab) di beberapa kawasan (bandar besar) dan ulama kita juga bersetuju bahawa wajah wanita harus disembunyikan” kata Akif dipetik Fox News.
Beliau berkata seorang wanita mempunyai nilai tersendiri dan nilai itu berkurangan apabila lelaki memandangnya.
Katanya, Allah swt memberi penghormatan kepada wanita untuk berhijab dan itu ada nilainya.
Di Afghanistan, kumpulan Islam itu dilaporkan dengan cepat mengenakan semula sekatan ke atas pemakaian wanita dan akses mereka kepada pendidikan.
Utusan Khas PBB, Gordon Brown pada Rabu lalu berkata, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) harus mendakwa pemimpin Taliban atas jenayah kemanusiaan kerana menafikan pendidikan dan pekerjaan golongan wanita.
Akif berkata penguatkuasaan Syariah (Undang-Undang Islam) disambut baik rakyat Afghanistan dan golongan lelaki tidak lagi mengganggu wanita seperti zaman kerajaan terdahulu.
Ketika ditanya sama ada wanita boleh pergi ke taman, beliau berkata mereka boleh pergi dengan syarat tertentu.
“Boleh pergi ke taman, kalau tiada lelaki di sana. Kalau ada lelaki, ia tidak dibenarkan oleh syariat” kata Akif.
Sejak mengambil alih Afghanistan pada 15 Ogos 2021 ekoran pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS), tiada negara di dunia yang mengiktiraf kerajaan Emeriyah Islam Afghanistan diterajui Taliban.
Ia ekoran dasar sekatan kerajaan Afghanistan dalam isu akses pekerjaan dan pendidikan wanita di negara bekas perang itu.
Negara itu juga berdepan krisis ekonomi dan kemanusiaan mendesak ekoran sekatan ekonomi dan politik oleh kuasa-kuasa Barat yang turut membekukan aset Afghanistan sejak dua tahun lalu.
Sumber: Fox News