Connect with us

Terkini

(VIDEO) ‘Tidak berdosa tolak parti Islam rekaan manusia’ – Mufti Pulau Pinang

Parti Islam adalah rekaan manusia dan bukan bersifat suci atau sakral, sekali gus tidak mengikat seorang Muslim.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

 'Tidak berdosa tolak parti Islam rekaan manusia' – Mufti Pulau Pinang
Foto: Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.
  • Parti Islam adalah rekaan manusia dan bukan bersifat suci atau sakral, sekali gus tidak mengikat seorang Muslim.
  • Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata adalah tidak berdosa atau menjadi kafir mana-mana orang Islam yang tidak menyokong parti Islam atau mengundi parti lain.
  • “Islam boleh ditegakkan secara bijaksana tanpa mencanangkannya kepada umum seperti melaksanakan keadilan sosial, meratakan kebajikan, membasmi kemiskinan, membanteras rasuah dan maksiat dan sebagainya,” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.
  • Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, menafikan dakwaan melabel dua wakil rakyat BN dan PH di Kelantan sebagai melawan perjuangan Islam.

GEORGETOWN: Parti Islam adalah rekaan manusia dan bukan bersifat suci atau sakral, sekali gus tidak mengikat seorang Muslim.

Atas keadaan itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata adalah tidak berdosa atau menjadi kafir mana-mana orang Islam yang tidak menyokong parti Islam atau mengundi parti lain.

Wan Salim berkata, sikap taksub kerap mendorong seseorang dalam menyamakan antara rekaan manusia dengan ciptaan Allah.

“Mana-mana individu atau kumpulan boleh mendakwa memperjuangkan Islam, tetapi dakwaan ini mestilah dibuktikan dengan jelas dalam realiti kehidupan.

“Perlu diingatkan, Islam tidak akan tegak dengan slogan semata-mata tetapi ia ditegakkan dengan amalan dalam kehidupan rakyat sejahtera dan berkebajikan di samping pentadbiran negara yang baik, bersih dan cekap.

“Islam boleh ditegakkan secara bijaksana tanpa mencanangkannya kepada umum seperti melaksanakan keadilan sosial, meratakan kebajikan, membasmi kemiskinan, membanteras rasuah dan maksiat dan sebagainya,” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, menafikan dakwaan melabel dua wakil rakyat BN dan PH di Kelantan sebagai melawan perjuangan Islam.

Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu menegaskan ucapan beliau hanya menyebut perjuangan Islam dan bukannya melawan Islam sebagai mana didakwa.

Wan Salim berkata, adalah penting segala ajaran Islam dihayati dalam urus tadbir negara dan kehidupan warganya dengan baik.

Dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, katanya, mencanangkan perjuangan bagi menegakkan Islam mungkin kurang bijaksana.

“Apa yang penting ialah umat Islam mempraktikkan ajaran Islam dalam diri masing-masing, maka secara automatik Islam akan tertegak dalam negara.

“Perlu dibezakan antara Islam dan parti Islam yang mana Islam adalah satu misi suci bersumberkan wahyu Ilahi.

“Setiap Muslim wajib terikat dengan agamanya di sudut akidah mahupun amalan dengan mematuhi segala hukum yang ditetapkan di dalam al-Quran dan Sunnah Nabawiyyah.

“Parti Islam hanya ciptaan manusia sebagai wadah memperjuangkan Islam atau melaksanakan segala ajaran menerusi pentadbiran negara,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Author