Antarabangsa
Peserta Miss Universe Indonesia dakwa gangguan seksual oleh penganjur
Beberapa peserta Miss Universe Indonesia memfailkan aduan polis berhubung dakwaan penderaan seksual oleh penganjur.
- Beberapa peserta Miss Universe Indonesia memfailkan aduan polis berhubung dakwaan penderaan seksual oleh penganjur.
- Peserta diminta untuk menanggalkan pakaian di bahagian atas badan untuk tujuan pemeriksaan dan bergambar dua hari sebelum pertandingan peringkat akhir pada 3 Ogos lalu.
- Polis Jakarta dan Pertubuhan Miss Universe (MUO) Indonesia memberi jaminan untuk menyiasat dakwaan itu dengan lebih lanjut.
- Terdahulu, Pertubuhan Miss Universe (MUO) memutuskan hubungan dengan francais Indonesia dan membatalkan pertandingan di Malaysia tahun ini.
Beberapa peserta Miss Universe Indonesia memfailkan aduan polis berhubung dakwaan penderaan seksual oleh penganjur.
Peserta diminta menanggalkan pakaian di bahagian atas badan untuk tujuan pemeriksaan dan bergambar dua hari sebelum pertandingan peringkat akhir pada 3 Ogos lalu, kata salah seorang peguam dipetik BBC News.
Penganjur didakwa memberitahu peserta bahawa ‘pemeriksaan badan’ itu bertujuan memeriksa parut, selulit atau tatu di badan mereka.
“Saya merasakan hak saya telah dicabuli,” kata salah seorang peserta.
“Ia telah menjejaskan mental saya. Saya juga mengalami masalah tidur,” katanya ketika bercakap kepada media bersama pengadu lain.
Polis Jakarta dan Pertubuhan Miss Universe (MUO) Indonesia memberi jaminan untuk menyiasat dakwaan itu dengan lebih lanjut.
Bekas Miss Indonesia, Maria Harfanti berkata insiden peserta disuruh menanggalkan pakaian itu adalah di luar kebiasaan walaupun penganjur sering meminta indeks jisim badan (BMI) peserta untuk semakan.
Terdahulu, MUO dilaporkan memutuskan hubungan dengan francais Indonesia dan membatalkan pertandingan di Malaysia tahun ini, juga dianjurkan syarikat sama iaitu PT Capella Swastika Karya.
MUO yang beroperasi di Amerika Syarikat membuat satu kenyataan melalui emel pada Sabtu lalu bahawa ia memutuskan kontraknya dengan PT Capella Swastika Karya dan pengarah kebangsaan, Poppy Capella, yang memegang lesen Miss Universe Malaysia.
Tambahnya, MUO sedang melihat dasar dan prosedur untuk mengelakkan kejadian serupa, malah tiada lagi keperluan ukuran badan untuk menyertai pertandingan ratu cantik di seluruh dunia.