Connect with us

Antarabangsa

(VIDEO) Angka kematian kebakaran di Hawaii meningkat, terdapat mayat hancur berderai

Angka kematian akibat kebakaran hutan terburuk di Hawaii, Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh lebih seabad, sudah melepasi 100 orang dan dijangka meningkat.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Angka kematian kebakaran di Hawaii meningkat, terdapat mayat hancur berderai
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Angka kematian akibat kebakaran hutan terburuk di Hawaii, Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh lebih seabad, melepasi 100 orang dan dijangka meningkat.
  • Hakikat itu meningkatkan lagi kritikan bahawa tindakan perlahan kerajaan menyumbang kepada kehilangan lebih ramai nyawa dalam tragedi itu.
  • Orang ramai marah kerana sistem amaran bencana tidak berfungsi, menyebabkan ramai mangsa tidak sempat menyelamatkan diri kerana terperangkap dalam rumah atau kenderaan dan rentung terbakar.
  • “Mayat yang kami temui rentung teruk kerana kepanasan api mencapai tahap boleh mencairkan logam. Apabila kami mengangkat mayat… ia hancur berderai,” kata Ketua Polis Maui, John Pelletier.
  • Keadaan itu menyukarkan proses mengenal pasti identiti mangsa. Beliau merayu ahli keluarga terdekat tampil memberikan sampel ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) bagi mempercepatkan proses pengecaman.
  • Kebakaran hutan di Maui berlaku ketika fenomena cuaca melampau melanda Amerika Utara pada musim panas ini, dengan kebakaran hutan masih berterusan di seluruh Kanada dan gelombang haba pula tercetus di barat daya AS.

KAHULUI: Angka kematian akibat kebakaran hutan terburuk di Hawaii, Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh lebih seabad, sudah melepasi 100 orang dan dijangka meningkat.

Hakikat itu meningkatkan lagi kritikan bahawa tindakan perlahan kerajaan menyumbang kepada kehilangan lebih ramai nyawa dalam tragedi itu.

Pihak berkuasa berkata, setakat semalam, 93 orang disahkan maut, namun amaran turut dikeluarkan bahawa angka itu mungkin meningkat apabila pasukan penyelamat bersama anjing pengesan meneruskan tugas berat mencari mangsa di Lahaina.

Orang ramai juga marah kerana sistem amaran bencana tidak berfungsi, menyebabkan ramai mangsa tidak sempat menyelamatkan diri kerana terperangkap dalam rumah atau kenderaan dan rentung terbakar.

Pekan pantai bersejarah di Pulau Maui hampir musnah sepenuhnya susulan api marak dengan pantas pada awal pagi Rabu. Mangsa yang terselamat berkata, tiada amaran diberikan berhubung tragedi itu.

Ketika ditanya semalam, mengapa tiada satu pun siren pulau itu diaktifkan, Senator Hawaii, Mazie Hirono, berkata beliau akan menunggu hasil siasatan yang diumumkan peguam negara.

“Saya tidak akan memberikan sebarang alasan berhubung tragedi ini.

“Kami benar-benar memberi tumpuan bagi menanganinya terutama keperluan untuk menyelamat, terutama di lokasi ramai terkorban,” kata seorang ahli Demokrat kepada CNN.

Lebih 2,200 bangunan rosak atau musnah susulan kebakaran yang memusnahkan Lahaina. Menurut anggaran rasmi, tragedi itu mengakibatkan kerosakan bernilai AS$5.5 bilion (RM23.3 bilion) dan menyebabkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal.

“Mayat yang kami temui rentung teruk kerana kepanasan api mencapai tahap boleh mencairkan logam. Apabila kami mengangkat mayat… ia hancur berderai,” kata Ketua Polis Maui, John Pelletier.

Tambahnya, keadaan itu menyukarkan proses mengenal pasti identiti mangsa. Justeru, beliau merayu ahli keluarga terdekat tampil untuk memberikan sampel ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) bagi mempercepatkan proses pengecaman.

Pelletier berkata, anjing pengesan perlu masuk ke kawasan pencarian yang luas dalam usaha mengesan ratusan lagi mangsa yang belum ditemui.

“Kami akan lakukannya sepantas yang boleh. Bagaimanapun, untuk pengetahuan anda, tiga peratus (mangsa), itulah yang sedang diusahakan untuk dicari menerusi anjing ini,” katanya.

Menurut kumpulan penyelidik, Persatuan Perlindungan Kebakaran Kebangsaan, kebakaran hutan berkenaan adalah yang terburuk di Amerika Syarikat sejak 1918, di mana 453 orang mati di Minnesota dan Wisconsin.

Kebakaran hutan di Maui berlaku ketika fenomena cuaca melampau melanda Amerika Utara pada musim panas ini, dengan kebakaran hutan masih berterusan di seluruh Kanada dan gelombang haba pula tercetus di barat daya AS.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *