Terkini
Zuraida rayu batal perintah bayar RM10 juta kepada PKR
Datuk Zuraida Kamaruddin memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengarahkan bekas Naib Presiden PKR itu membayar saman RM10 juta kerana melanggar syarat bon yang mengikat kepada parti.
- Datuk Zuraida Kamaruddin memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengarahkan bekas Naib Presiden PKR itu membayar saman RM10 juta kerana melanggar syarat bon yang mengikat kepada parti.
- Menerusi notis rayuan difailkan firma guaman, Tetuan Zharif Nizamuddin di Mahkamah Rayuan kelmarin, Zuraida menzahirkan rasa tidak puas hati dengan keputusan Hakim Datuk Akhtar Tahir, yang membenarkan saman berkenaan, pada 23 Jun lalu.
- Akhtar dilaporkan membuat keputusan itu selepas mendapati hujahan Zuraida bahawa bon itu ditandatanganinya atas alasan dipaksa adalah tidak berasas.
- PKR memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan pada 28 September 2020 melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, selaku plaintif dengan menamakan Zuraida selaku defendan.
- Menerusi saman itu, PKR mendakwa Zuraida bersetuju membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.
KUALA LUMPUR: Datuk Zuraida Kamaruddin memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengarahkan bekas Naib Presiden PKR itu membayar saman RM10 juta kerana melanggar syarat bon yang mengikat kepada parti.
Menerusi notis rayuan difailkan firma guaman, Tetuan Zharif Nizamuddin di Mahkamah Rayuan kelmarin, Zuraida menzahirkan rasa tidak puas hati dengan keputusan Hakim Datuk Akhtar Tahir, yang membenarkan saman berkenaan, pada 23 Jun lalu.
“Rayuan kepada Mahkamah Rayuan terhadap keseluruhan keputusan terbabit,” menurut notis itu.
Akhtar dilaporkan membuat keputusan itu selepas mendapati hujahan Zuraida bahawa bon itu ditandatanganinya atas alasan dipaksa adalah tidak berasas.
Hakim itu berkata, dakwaan Zuraida bahawa RM10 juta adalah tidak seimbang dengan jumlah yang dibelanjakan untuk pencalonan pilihan raya juga tidak berasas.
Selain itu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Zuraida yang juga bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi membayar kos RM50,000 kepada PKR.
PKR memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan pada 28 September 2020 melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, selaku plaintif dengan menamakan Zuraida selaku defendan.
Menerusi saman itu, PKR mendakwa Zuraida bersetuju membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.
Pada 24 Februari 2020, Zuraida dalam satu kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen PKR yang lain mengumumkan peletakan jawatan, namun beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali Perikatan Nasional (PN).
PKR turut menuntut Zuraida membayar RM12,049,459.20 mengikut Seksyen 71 Akta Kontrak, faedah lima peratus setahun, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Sumber: Berita Harian