Connect with us

Terkini

Undang-undang tuntutan bayaran berita dalam talian perlu kajian menyeluruh – Pakar

Kerajaan perlu melaksanakan kajian menyeluruh jika mahu melaksanakan undang-undang berkaitan tuntutan bayaran bagi berita dalam talian di Malaysia berikutan perkembangan terkini yang berlaku di Kanada pada 3 Julai lepas.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Undang-undang tuntutan bayaran berita dalam talian perlu kajian menyeluruh – Pakar
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Kerajaan perlu melaksanakan kajian menyeluruh jika mahu melaksanakan undang-undang berkaitan tuntutan bayaran bagi berita dalam talian di Malaysia berikutan perkembangan terkini yang berlaku di Kanada pada 3 Julai lepas.
  • Cadangan Akta Berita Dalam Talian bertujuan memastikan syarikat teknologi gergasi seperti Google dan Meta (syarikat induk Facebook) membayar agensi media bagi setiap pautan dan carian bahan serta kandungan berita yang digunakan dalam platform syarikat terbabit.
  • Pada 1 Julai lepas, Alphabet Inc iaitu syarikat induk Google mengumumkan syarikat teknologi gergasi itu tidak akan membayar agensi media Kanada sebaliknya menyekat sebarang pautan berita di platform Google selepas Kanada meluluskan akta tersebut.
  • Bagaimanapun, rata-rata penganalisis berpendapat sudah tiba masanya untuk kerajaan menimbangkan cadangan melaksanakan akta berkenaan bagi memastikan industri media mampu kekal mampan sekali gus mengekang penularan berita palsu.

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu melaksanakan kajian menyeluruh jika mahu melaksanakan undang-undang berkaitan tuntutan bayaran bagi berita dalam talian di Malaysia berikutan perkembangan terkini yang berlaku di Kanada pada 3 Julai lepas.

Cadangan Akta Berita Dalam Talian bertujuan memastikan syarikat teknologi gergasi seperti Google dan Meta (syarikat induk Facebook) membayar agensi media bagi setiap pautan dan carian bahan serta kandungan berita yang digunakan dalam platform syarikat terbabit.

Pada 1 Julai lepas, Alphabet Inc iaitu syarikat induk Google mengumumkan syarikat teknologi gergasi itu tidak akan membayar agensi media Kanada sebaliknya menyekat sebarang pautan berita di platform Google selepas Kanada meluluskan akta tersebut.

Bagaimanapun, rata-rata penganalisis berpendapat sudah tiba masanya untuk kerajaan menimbangkan cadangan melaksanakan akta berkenaan bagi memastikan industri media mampu kekal mampan sekali gus mengekang penularan berita palsu.

Berkongsi pandangan mengenai implikasi kepada masyarakat sekiranya Malaysia melaksanakan akta itu dan berhadapan situasi sama seperti Kanada, pemerhati isu semasa Noor Mohamed Shakil Hameed berpendapat rakyat masih mampu memperoleh informasi sahih melalui platform media alternatif.

“Dalam era IR 4.0 (revolusi industri), AI (kecerdasan buatan), ChatGPT, ketersediaan maklumat di hujung jari, kadar celik IT (teknologi maklumat) dan informasi, saya percaya kita tidak berdepan masalah besar untuk mendapatkan maklumat yang sahih secara pantas dan tepat jika sekatan sebegini berlaku.

“Betul, kerajaan wajar meneliti perkara ini secara serius dan menilai baik buruknya. Mungkin sudah tiba masanya kerajaan pertimbangkan untuk melaksanakan akta seperti ini sebagai peluang menangani masalah penyebaran berita palsu dan fitnah yang semakin berleluasa,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.

Tokoh wartawan negara Tan Sri Johan Jaafar pula berkata pelaksanaan akta itu dilihat mampu memperkukuh pendapatan kewangan industri media tempatan dengan adanya bayaran link tax daripada syarikat teknologi gergasi.

Beliau berkata ekosistem industri media pada hari ini terjejas susulan monopoli oleh syarikat teknologi gergasi seperti Google dan Meta yang mengaut keuntungan berlipat ganda dengan menggunakan bahan serta kandungan berita yang diterbitkan oleh agensi media.

“Oleh itu, banyak syarikat media ‘gulung tikar’. Kita harus ingat dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini kita kehilangan tidak kurang daripada 10,000 pekerja media di Malaysia dengan tawaran Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dan sebagainya.

“Kita tiada pilihan melainkan memberi keutamaan untuk memastikan adanya Akta Berita Dalam Talian di Malaysia kerana ini adalah soal kelangsungan syarikat media. Jadi, saya gesa kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk berikan keutamaan kepada perkara ini,” katanya.

Pada 2021, kerajaan Australia berjaya melaksanakan sistem perundangan iaitu Platform Digital News Media and Digital Platforms Mandatory Bargaining Code yang menuntut syarikat teknologi gergasi iaitu Google dan Meta untuk membayar agensi media bagi pautan dan carian berita di platform terbabit.

Pendekatan perundangan sama turut diambil Kanada pada awal Julai lepas, namun keputusannya berbeza apabila syarikat induk Google iaitu Alphabet Inc mengambil langkah menyekat sebarang pautan dan carian berita di platform itu.

Mengulas mengenai senario ini, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berpandangan senario kejayaan Australia juga perlu berlaku dalam negara bagi memastikan industri media kekal mampan.

“Sudah tiba masanya kepentingan industri media dipelihara dan usaha ini dilakukan oleh negara seperti Australia, Kanada malah Amerika Syarikat juga sudah lakukan beberapa bentuk perundangan untuk memastikan syarikat teknologi gergasi ini membayar kepada industri media.

“Dalam konteks ASEAN, Malaysia mungkin boleh mewujudkan satu diplomasi media dalam kalangan negara rantau ini untuk berikan penunjuk aras yang jelas terhadap kandungan, kawalan dan kesinambungan industri media dalam negara,” katanya.

Noor Nirwandy yang juga pakar penganalisis keselamatan dan politik, berkata media tempatan juga berkemungkinan terdedah kepada pelbagai agenda asing yang dibawa oleh kedua-dua syarikat teknologi gergasi itu sekiranya isu ini tidak diberi perhatian sewajarnya.

Pada 28 Mei lepas, KKD dilaporkan sudah membawa pandangan wartawan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keperluan menggubal Rang Undang-undang (RUU) bagi menuntut syarikat teknologi gergasi seperti Google dan Meta membayar kandungan berita kepada syarikat media tempatan.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata usaha merealisasikan pandangan itu masih di peringkat awal berikutan adanya keperluan untuk mengambil kira perkembangan membabitkan pelaksanaan akta itu di beberapa negara. 

Sumber: Bernama

Author