Connect with us

Terkini

Tahap perpaduan rakyat semakin baik

Sebanyak 812 kes dilaporkan tahun lalu menerusi sistem e-Sepakat membabitkan isu agama, keselamatan, perkauman dan kenyataan berbaur kebencian.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
  • Sebanyak 812 kes dilaporkan tahun lalu menerusi sistem e-Sepakat membabitkan isu agama, keselamatan, perkauman dan kenyataan berbaur kebencian.
  • Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata, walaupun kes dilaporkan agak tinggi, kajian yang Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) mendapati perpaduan kini berada di tahap baik serta terkawal dengan skor 0.629 bagi tahun sama.
  • Bagaimanapun, katanya, masih ada cabaran boleh menggugat perpaduan negara jika tidak ditangani dengan baik dan berhemah.
  • “Kita lihat ia pada tahap terkawal, malah dua panel dalam sesi wacana hari ini (semalam) mengakui skornya semakin menaik meliputi pelbagai sektor termasuk kaum dan agama.”
  • “Sehubungan itu, kita harap skor berkenaan terus menaik sehingga mencapai sasaran 0.7,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ‘Wacana Perpaduan: Mendepani Defisit Sosial’ di sini, hari ini.

BANGI: Sebanyak 812 kes dilaporkan tahun lalu menerusi sistem e-Sepakat membabitkan isu agama, keselamatan, perkauman dan kenyataan berbaur kebencian.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata, walaupun kes dilaporkan agak tinggi, kajian yang Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) mendapati perpaduan kini berada di tahap baik serta terkawal dengan skor 0.629 bagi tahun sama.

Bagaimanapun, katanya, masih ada cabaran boleh menggugat perpaduan negara jika tidak ditangani dengan baik dan berhemah.

“Kita lihat ia pada tahap terkawal, malah dua panel dalam sesi wacana hari ini (semalam) mengakui skornya semakin menaik meliputi pelbagai sektor termasuk kaum dan agama.

“Sehubungan itu, kita harap skor berkenaan terus menaik sehingga mencapai sasaran 0.7,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ‘Wacana Perpaduan: Mendepani Defisit Sosial’ di sini, hari ini.

Beliau berkata, wujud pelbagai sebab yang boleh menggugat iaitu faktor globalisasi, perkembangan teknologi, akses kepada maklumat serta penggunaan media sosial secara meluas yang dapat mengubah landskap pembangunan negara.

Tambahnya, sesi Dialog Perpaduan pada 2014 hingga 2018 turut mengenal pasti 10 defisit sosial merangkumi pelbagai isu dan cabaran dibangkitkan oleh masyarakat.

“Defisit sosial yang dikenal pasti ini adalah berkaitan kaum, agama, kelas sosial, pendidikan, bahasa, jurang generasi, gender, politik Persekutuan, ruang antara bandar-desa dan media,” katanya.

Defisit sosial membawa maksud kekurangan dalam konteks sosial yang memerlukan usaha berterusan bagi meningkatkan tahap perpaduan.

Kekurangan itu disebabkan oleh jurang perbezaan persepsi dan pendapat dalam kalangan kelompok berbeza seperti individu, keluarga dan masyarakat.

Jika tidak diuruskan dengan baik, Aaron berkata, defisit sosial boleh membantutkan usaha mencapai matlamat dihajati.

Beliau berkata, defisit sosial yang sudah dikenal pasti boleh menjadi alat analisis bagi membantu agensi atau sektor awam dan swasta mengenal pasti isu berbangkit dalam organisasi atau komuniti.

“Sebagai contoh, alat analisis ini boleh membantu memperincikan dengan lebih tepat sasaran penyelesaian dan kaedah sesuai untuk meredakan konflik.

“Ia seperti kejadian sebelum ini membabitkan rusuhan Plaza Low Yat pada 2015 yang dengan mudah dilabelkan sebagai rusuhan kaum.

“Hakikatnya, ia hanyalah mengenai kecurian telefon dan jual beli yang disalah erti sebagai isu perkauman. Rusuhan itu menyebabkan negara kerugian RM70,000 dan 18 orang ditahan atas kesalahan jenayah merusuh,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *