Terkini
Orang Asli Temiar buat laporan polis berkenaan aktiviti pencerobohan tanah
Sekumpulan penduduk Orang Asli suku kaum Temiar dari Kampung Mendrod dan Kampung Jelgek B di Pos Brooke, membuat laporan polis pada Ahad lalu, kerana mendakwa berlaku pencerobohan tanah di kawasan tadahan air, berdekatan penempatan mereka.
- Sekumpulan penduduk Orang Asli suku kaum Temiar dari Kampung Mendrod dan Kampung Jelgek B di Pos Brooke, membuat laporan polis pada Ahad lalu, dakwa berlaku pencerobohan tanah di kawasan tadahan air, berdekatan penempatan mereka.
- Penduduk Kampung Mendrod Rama Ajom, 44, berkata mereka membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, ekoran tidak berpuas hati terdapat aktiviti pencerobohan di kawasan tersebut, yang dipercayai bagi tujuan penanaman pokok durian.
- Beliau berkata sekiranya aktiviti ini berterusan berlaku ia akan menyebabkan sumber tadahan air bukit digunakan kira-kira 500 penduduk menjadi tercemar, akibat daripada aktiviti perladangan yang dipercayai dilakukan oleh syarikat swasta sejak awal Januari lalu.
- “Malah, masalah ini telah dimaklumkan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), namun nampaknya ia seperti sia-sia sahaja, kerana dipercayai kerajaan negeri telah memberi kelulusan kepada syarikat terbabit untuk melakukan aktiviti perladangan,” katanya ketika ditemui pemberita di Bandar Baru, di sini hari ini.
- Jurucakap JAKOA ketika dihubungi mengambil maklum berhubung laporan dibuat penduduk dan akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat bagi menyelesaikan masalah dihadapi di kawasan Orang Asli terbabit.
GUA MUSANG, 25 Julai (Bernama) — Sekumpulan penduduk Orang Asli suku kaum Temiar dari Kampung Mendrod dan Kampung Jelgek B di Pos Brooke, membuat laporan polis pada Ahad lalu, kerana mendakwa berlaku pencerobohan tanah di kawasan tadahan air, berdekatan penempatan mereka.
Penduduk Kampung Mendrod Rama Ajom, 44, berkata mereka mengambil keputusan untuk membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, ekoran tidak berpuas hati apabila mendapati terdapat aktiviti pencerobohan di kawasan tersebut, yang dipercayai bagi tujuan penanaman pokok durian.
Beliau berkata sekiranya aktiviti ini berterusan berlaku ia akan menyebabkan sumber tadahan air bukit yang digunakan kira-kira 500 penduduk menjadi tercemar, akibat daripada aktiviti perladangan yang dipercayai dilakukan oleh syarikat swasta sejak awal Januari lalu.
“Sebelum ini, kita telah berunding dan membuat perbincangan dengan beberapa pihak termasuklah syarikat swasta yang terlibat, agar tidak melakukan aktiviti perladangan di kawasan sempadan dengan kampung kami.
“Malah, masalah ini telah dimaklumkan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), namun nampaknya ia seperti sia-sia sahaja, kerana dipercayai kerajaan negeri telah memberi kelulusan kepada syarikat terbabit untuk melakukan aktiviti perladangan,” katanya ketika ditemui pemberita di Bandar Baru, di sini hari ini.
Selain itu, wakil penduduk Kampung Jelgek B Ramli Ajom, 34, pula berkata, beliau sedih dan kecewa melihatkan semakin banyak tanah dibuka, yang akan memberi kesan ke atas kawasan tanah kubur adat dan kebun yang diusahakan penduduk.
Beliau berkata penempatan yang didiami mereka telah wujud lebih 60 tahun lalu, kini semakin terancam dengan aktiviti penerokaan tanah.
“Kami mewakili penduduk di dua buah kampung, berharap pihak berwajib seperti kerajaan negeri, Pejabat Tanah dan Jajahan, Jabatan Alam Sekitar dan JAKOA untuk bantu Orang Asli, di kawasan terlibat.
“Kita berharap jangan merosakkan sumber air Orang Asli apabila hendak buka kebun sayur. Teliti dahulu di mana kawasan sumber air kami sebelum membuat kerja perladangan,” katanya.
Sementara itu, jurucakap JAKOA ketika dihubungi mengambil maklum berhubung laporan yang dibuat oleh penduduk dan akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi di kawasan Orang Asli yang terbabit.
Sumber: Bernama