Antarabangsa
Kuwait cetak 100,000 mushaf al-Quran bahasa Sweden untuk tegaskan toleransi Islam
Kerajaan Kuwait mengumumkan rancangan untuk menerbitkan 100,000 mushaf al-Quran dalam bahasa Sweden untuk diedarkan di negara Skandinavia itu sebagai tindak balas kepada insiden pembakaran al-Quran di Stockholm pada hari raya Aidiladha bulan lalu.

- Kerajaan Kuwait mengumumkan rancangan untuk menerbitkan 100,000 mushaf al-Quran dalam bahasa Sweden untuk diedarkan di negara Skandinavia itu sebagai tindak balas kepada insiden pembakaran al-Quran di Stockholm pada hari raya Aidiladha bulan lalu.
- Menurut laporan Middle East Monitor, Majlis Menteri Kuwait membuat keputusan itu semalam semasa mesyuarat mingguannya dengan inisiatif dikemukakan Perdana Menteri, Sheikh Ahmad Nawaf Al-Ahmad Al-Sabah, yang menugaskan Pihak Berkuasa Awam bagi Penjagaan Awam untuk mencetak dan menerbitkan mushaf al-Quran.
- Menurut Agensi Berita Kuwait (KUNA), langkah itu datang dalam rangka “menegaskan toleransi agama Islam dan menyebarkan nilai Islam dan kewujudan bersama dalam kalangan semua manusia”.
Kerajaan Kuwait mengumumkan rancangan untuk menerbitkan 100,000 mushaf al-Quran dalam bahasa Sweden untuk diedarkan di negara Skandinavia itu sebagai tindak balas kepada insiden pembakaran al-Quran di Stockholm pada hari raya Aidiladha bulan lalu.
Menurut laporan Middle East Monitor, Majlis Menteri Kuwait membuat keputusan itu semalam semasa mesyuarat mingguannya dengan inisiatif dikemukakan Perdana Menteri, Sheikh Ahmad Nawaf Al-Ahmad Al-Sabah, yang menugaskan Pihak Berkuasa Awam bagi Penjagaan Awam untuk mencetak dan menerbitkan mushaf al-Quran.
Menurut Agensi Berita Kuwait (KUNA), langkah itu datang dalam rangka “menegaskan toleransi agama Islam dan menyebarkan nilai Islam dan kewujudan bersama dalam kalangan semua manusia”.
Penerbitan al-Quran terjemahan itu dijangka siap tidak lama lagi dan dengan penyelarasan dengan Kementerian Luar Negeri, al-Quran itu akan diedarkan ke masjid, perpustakaan, sekolah dan institusi lain di seluruh Sweden.
Kerja penterjemahan itu dijalankan seorang penterjemah Sweden yang terkenal dan memeluk Islam, mendiang Knut Bernstrom.
Kuwait adalah antara negara Arab dan majoriti Islam yang mengutuk insiden pembakaran al-Quran yang dibenarkan pihak berkuasa Sweden dengan Kementerian Luar Negeri menyatakan, “langkah provokatif serius ini menyinggung perasaan umat Islam di seluruh dunia”.
“Negara Kuwait mengingatkan masyarakat antarabangsa dan semua negara berkenaan tentang tanggungjawab mereka untuk bertindak menentang kebencian dan ekstremisme agama serta menghentikan tindakan bermusuhan yang menyasarkan kesucian umat Islam.
“Pelaku perbuatan bermusuhan itu harus dibawa ke muka pengadilan dan dihalang daripada menggunakan prinsip kebebasan sebagai muslihat untuk mewajarkan permusuhan terhadap Islam atau mana-mana agama suci,” kata kementerian itu.
Kuwait juga dilaporkan turut serta dalam menyediakan draf resolusi bersama Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk dibentangkan di hadapan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) bagi menghadapi kebencian agama dan mencemarkan kesucian agama.
Sumber: Middle East Monitor
