Antarabangsa
(VIDEO) Dua wanita diarak bogel, seorang darinya dirogol beramai-ramai di Manipur
Sebuah video yang tular di media sosial menunjukkan dua wanita Kuki diarak berbogel oleh kumpulan perusuh Meitei pada 4 Mei lalu, sehari selepas tercetusnya pertempuran di Manipur, India.
Sebuah video yang tular di media sosial menunjukkan dua wanita Kuki diarak berbogel oleh kumpulan perusuh Meitei pada 4 Mei lalu, sehari selepas tercetusnya pertempuran di Manipur, India.
Pertelingkahan antara kumpulan Meitei dan Kuki yang berlaku sejak 3 Mei itu menyebabkan 140 terbunuh serta 50,000 orang kehilangan tempat tinggal.
Menurut laporan maklumat pertama (FIR) yang difailkan berhubung kejadian itu, insiden yang berlaku di kampung B Phainom, Kangpokpi menyaksikan salah seorang daripada wanita itu telah dirogol beramai-ramai, demikian lapor The Wire.
Video itu menunjukkan beberapa lelaki Meitei berjalan bersebelahan dua wanita terbabit menuju ke padang sambil meraba mangsa.
FIR dalam kes itu melibatkan tuduhan rogol dan bunuh terhadap sekumpulan “penjenayah tidak dikenali” berjumlah antara 800 hingga 1,000 orang.
Aduan itu turut menyatakan mereka terlibat didakwa datang dari pelbagai pertubuhan antaranya Organisasi Belia Meitei, Meetei Leepun, Kangleipak Kanba Lup, Arambai Tenggol, Schedule Tribe Demand Committee dan World Meitei Council.
Menteri Kesatuan Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Smriti Irani menciap video itu sehingga pembangkang mengeluarkan komentar mempersoalkan mengapa dua bulan perlu diambil untuk insiden itu mula diberikan perhatian.
Walaupun kumpulan Kuki menuduh Ketua menteri BJP di Manipur, N. Biren Singh sebagai pencetus keganasan, parti pembangkang turut membidas Perdana Menteri India, Narendra Modi yang berdiam diri mengenai konflik keganasan itu.
Independent melaporkan di peringkat awal keganasan yang tercetus antara kumpulan Meitei dan Kuki selepas beberapa orang Kuki membantah gesaan masyarakat Meitei yang kebanyakannya beragama Hindu untuk diberikan status kumpulan yang dilindungi.
Sejak itu, negeri itu terbahagi kepada dua yang terkesan menyaksikan kedua-dua kumpulan terbabit dalam serangan ke atas kediaman dan kenderaan masing-masing, membakar gereja dan kuil.
Sumber: The Wire dan Independent