Antarabangsa
Rejim Israel tembak mati remaja Palestin
Rejim penjajah Israel menembak mati seorang remaja Palestin ketika serbuan di kem pelarian di Tebing Barat yang diduduki pada Selasa.

- Rejim penjajah Israel menembak mati seorang remaja Palestin ketika serbuan di kem pelarian di Tebing Barat yang diduduki pada Selasa.
- Kementerian Kesihatan mengesahkan, Faris Abdel-Menem Hashash, 19, mengalami luka tembakan di dada, perut dan bahagian bawah badan.
- Dia ditembak di kem pelarian Balata berhampiran Nablus kemudian dibawa ke Hospital Pembedahan Rafidia dan disahkan meninggal dunia.
- Pasukan keselamatan Israel menyerbu kem itu pada petang Selasa, membawa kepada konfrontasi dengan penduduk yang membaling batu ke arah askar.
RAMALLAH – Rejim penjajah Israel menembak mati seorang remaja Palestin ketika serbuan di kem pelarian di Tebing Barat yang diduduki pada Selasa.
Kementerian Kesihatan mengesahkan, Faris Abdel-Menem Hashash, 19, mengalami luka tembakan di dada, perut dan bahagian bawah badan.
Dia ditembak di kem pelarian Balata berhampiran Nablus dan dibawa ke Hospital Pembedahan Rafidia.
Faris kemudiannya disahkan meninggal dunia.
Pasukan keselamatan Israel menyerbu kem itu pada petang Selasa, membawa kepada konfrontasi dengan penduduk yang membaling batu ke arah askar.
Pertempuran bersenjata juga dilaporkan ketika serbuan.
Menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS), sekurang-kurangnya lapan rakyat Palestin cedera akibat tembakan Israel, termasuk seorang kanak-kanak yang ditembak di kaki ketika berada di dalam rumahnya.
PRCS berkata, tentera Israel menghalang mereka daripada mendekati mangsa yang cedera.
Media Palestin melaporkan bahawa tentera Israel mengepung sebuah rumah di kem untuk menangkap seorang pejuang Palestin yang dilaporkan berada di dalamnya.
Rumah itu kemudiannya terbakar.
Bagaimanapun laporan tempatan melaporkan, tentera rejim Zionis meninggalkan kem itu tanpa membuat sebarang tangkapan sementara pejuang yang dikehendaki itu dilaporkan tidak cedera.
Tentera Israel tidak segera mengulas mengenai operasi itu.
Tentera dan peneroka haram Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 155 rakyat Palestin tahun ini, termasuk 25 kanak-kanak.
Sebanyak 121 kematian direkodkan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur dan 34 lagi di Semenanjung Gaza.
Sumber: Ismaweb
