Terkini
Naratif kaum, agama tak salah selagi tepati Perlembagaan – PAS
Penggunaan naratif kaum dan agama di media sosial tidak semestinya menjadi kesalahan selagi menepati Perlembagaan, kata Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

- Penggunaan naratif kaum dan agama di media sosial tidak semestinya menjadi kesalahan selagi menepati Perlembagaan, kata Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.
- Beliau berkata isu yang diperkatakan seperti hak orang Melayu menyentuh sesuatu yang dijamin Perlembagaan, selain bahasa dan budaya Melayu yang menjadi teras kebudayaan nasional, dan Islam.
- Berkenaan naratif agama, Tuan Ibrahim menganggap ia sebagai “penjelasan agar tidak berlaku pelanggaran syariat dalam kehidupan”.
- “Bagi kami (PAS), Islam telah menggariskan batas dalam kehidupan dan semua pihak mesti menjaga batas syariat itu agar ia menepati dasar dan peraturan bernegara.”
- Beliau mengulas kajian Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) ke atas media sosial pada PRU15, yang mendapati bahan berkisar naratif kaum dan agama yang menyinggung perasaan ‘menguasai’ platform media sosial utama ketika PRU15.
PETALING JAYA: Penggunaan naratif kaum dan agama di media sosial tidak semestinya menjadi kesalahan selagi menepati Perlembagaan, kata Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata isu yang diperkatakan seperti hak orang Melayu menyentuh sesuatu yang dijamin Perlembagaan, selain bahasa dan budaya Melayu yang menjadi teras kebudayaan nasional, dan Islam.
Berkenaan naratif agama, Tuan Ibrahim menganggap ia sebagai “penjelasan agar tidak berlaku pelanggaran syariat dalam kehidupan”.
“Bagi kami (PAS), Islam telah menggariskan batas dalam kehidupan dan semua pihak mesti menjaga batas syariat itu agar ia menepati dasar dan peraturan bernegara.”
Beliau mengulas kajian Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) ke atas media sosial pada PRU15, yang mendapati bahan berkisar naratif kaum dan agama yang menyinggung perasaan ‘menguasai’ platform media sosial utama ketika PRU15.
Menurut kajian berkenaan, daripada 117,152 bahan yang dimuat naik di Facebook, Twitter, YouTube dan TikTok, 66,933 menyentuh isu kaum, manakala 24,484 membabitkan isu agama, dengan ahli politik dikesan sebagai pelaku utama yang menyumbang kepada naratif kaum.
Ia juga mendakwa PAS dan presidennya, Hadi Awang, berjaya mempengaruhi sejumlah besar pengundi dalam kalangan pengguna media sosial, menurut laporan Malaysiakini yang memetik kajian itu.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi mahu catatan ahli politik yang berbaur perkauman dan agama dipantau susulan dapatan kajian CIJ.
“Presiden menggunakan fakta dalam kerangka kaum dan bangsa yang selaras dengan apa yang dinyatakan oleh Allah dalam Al-Quran,” kata Tuan Ibrahim.
Beliau juga berkata dakwaan bahawa PAS berjaya mempengaruhi sejumlah besar pengundi itu sebenarnya rakyat menolak Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.
“Selama ini sokongan kepada PAS tidak sehebat PRU lalu, walaupun tulisan presiden bukanlah baru,” katanya.
Sumber: Free Malaysia Today
