Antarabangsa
Ibu tuntut keadilan kematian anak ditembak rejim Israel
Ibu kepada seorang kanak-kanak Palestin yang meninggal dunia selepas ditembak tentera Israel minggu lalu menuntut keadilan ke atas kematian anaknya.
- Ibu kepada seorang kanak-kanak Palestin yang meninggal dunia selepas ditembak tentera Israel minggu lalu menuntut keadilan ke atas kematian anaknya.
- Marwa al-Tamimi menegaskan perkara itu ketika menghadiri pengebumian Mohammad al-Tamimi di Tebing Barat yang diduduki dan menuntut setiap orang yang menembak suami serta anaknya bertanggungjawab.
- Mohammad meninggal dunia pada Isnin akibat tembakan di kepala sementara bapanya, Haitham al-Tamimi ditembak di bahu.
TEBING BARAT – Ibu kepada seorang kanak-kanak Palestin yang meninggal dunia selepas ditembak tentera Israel minggu lalu menuntut keadilan ke atas kematian anaknya.
Marwa al-Tamimi menegaskan perkara itu ketika menghadiri pengebumian Mohammad al-Tamimi di Tebing Barat yang diduduki dan menuntut setiap orang yang menembak suami serta anaknya bertanggungjawab.
Mohammad meninggal dunia pada Isnin akibat tembakan di kepala sementara bapanya, Haitham al-Tamimi ditembak di bahu.
“Apabila saya mahu memeriksa anak saya, saya memberitahu (tentera) bahawa anak saya terbunuh. Mereka berkata ‘berhenti atau kami akan tembak,” kata Marwa seperti dilapor Reuters.
Dalam satu kenyataan susulan insiden itu, tentera Israel mendakwa, pihaknya membalas tembakan yang dilepaskan oleh penyerang ke arah penempatan Yahudi.
Katanya, dua rakyat Palestin termasuk seorang kanak-kanak cedera.
“IDF kesal dengan bahaya kepada bukan pejuang dan komited untuk melakukan segala-galanya dalam kuasa mereka bagi mencegah kejadian seperti itu,” katanya.
Menurut pejabat Palestin Pertahanan untuk Kanak-Kanak Antarabangsa-Palestin (DCIP), Mohammad adalah salah seorang daripada 27 kanak-kanak Palestin yang terbunuh akibat aktiviti tentera dan peneroka haram Israel di Tebing Barat yang diduduki dan Gaza sejak Januari.
Angka kematian Israel pula menunjukkan, tiga kanak-kanak Israel terbunuh dalam tempoh yang sama.
“Tanpa akauntabiliti, jenayah Israel terhadap rakyat dan anak kita akan berterusan tanpa henti,” kata Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh menerusi akaun Twitter pada Selasa.
Sementara itu, Pejabat Amerika Syarikat (AS) untuk Hal Ehwal Palestin menggesa Israel menilai semua penggunaan kekerasan maut yang membabitkan korban awam.
Ia mengulangi kenyataan delegasi Kesatuan Eropah (EU) kepada Palestin dan utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk proses damai Timur Tengah yang mendesak Israel bertanggungjawab terhadap pihak yang menyebabkan kematian Mohammad. – Agensi
Sumber: Ismaweb