Connect with us

Terkini

Benarkah murid darjah 6 hilang arah tuju kerana UPSR dimansuhkan?

Murid darjah enam dikatakan semakin hilang motivasi dan minat belajar kerana tiada hala tuju selepas peperiksaan awam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Guru pempengaruh di media sosial, Mohd Fadli Salleh.
  • Murid darjah enam dikatakan semakin hilang motivasi dan minat belajar kerana tiada hala tuju selepas peperiksaan awam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan.
  • Situasi itu menyebabkan sebahagian guru dan ibu bapa mulai keresahan tentang masa hadapan generasi ini pada masa akan datang.
  • Bagaimanapun, perkara itu menjadi tanda tanya sama ada hilangnya motivasi murid adalah disebabkan UPSR dimansuhkan ataupun ibu bapa serta generasi itu sendiri gagal memainkan peranan mereka.
  • Perkara itu dibangkitkan guru pempengaruh di media sosial, Mohd Fadli Salleh yang berkongsikan luahan rakan sekerja beliau melalui hantaran di Facebook di sini hari ini.

KUALA LUMPUR — Murid darjah enam dikatakan semakin hilang motivasi dan minat belajar kerana tiada hala tuju selepas peperiksaan awam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan.

Situasi itu menyebabkan sebahagian guru dan ibu bapa mulai keresahan tentang masa hadapan generasi ini pada masa akan datang.

Bagaimanapun, perkara itu menjadi tanda tanya sama ada hilangnya motivasi murid adalah disebabkan UPSR dimansuhkan ataupun ibu bapa serta generasi itu sendiri gagal memainkan peranan mereka.

Perkara itu dibangkitkan guru pempengaruh di media sosial, Mohd Fadli Salleh yang berkongsikan luahan rakan sekerja beliau melalui hantaran di Facebook di sini hari ini.

“Li (Fadli) teruk wei merudum motivasi murid tahun Enam. Tak macam dulu… Bagi kerja tak pernah nak buat. Jenis ‘pailang’, ada duit, suruh kawan salinkan kerja dia. Bagi upah or ugut. Buat kelas tambahan tak datang. Marah lebih, tak datang sekolah.

“Beza jauh wei banding dulu zaman ada UPSR. Mereka ini memang tak nampak apa hala tuju mereka. Tak tau apa nak jadi dengan generasi ini,” kata Fadli memetik perbualan di antaranya dengan rakan sekerja yang mengajar murid tahun enam.

Fadli berkata beliau bersama rakannya dahulu sering mengadakan kelas tambahan dan ‘mengejar’ murid, bagaimanapun situasi itu dilihat berbeza ketika ini apabila penerimaan murid tidak lagi sama.

“Entah siapa yang dok kacau dan buat perubahan tanpa teliti dengan cermat hingga sistem pendidikan kita hingga habis jadi makin cacamarba sebegini rupa. Entahlah,” katanya yang juga guru Matematik.

Hantaran itu disokong beberapa ibu bapa dan guru yang turut mengalami situasi hampir sama apabila murid sekolah rendah kebelakangan ini dilihat kian ‘hanyut’ dengan gajet dan media sosial hingga hilang minat untuk belajar.

Situasi itu menyebabkan murid terbabit gagal menguasai beberapa topik seperti sifir sehingga menyukarkan guru di sekolah menengah untuk menghabiskan silibus.

“Sangat setuju. Saya guru Tahun Enam, guru kelas Tahun Enam…(murid) datang sekolah ikut la nak ke tak. Mujur lepas beri amaran pertama nampak perubahan. Kerja sekolah tak buat, kena duduk cek satu-satu buku baru nak buat. 

“Belum lagi tengok buat karangan, murid UPSR dulu, kelas hujung pun boleh jawab karangan juga, ini ujian tak nak jawab. Cikgu mengajar sampai dah hilang motivasi kadang-kadang tengok attitude murid,” kata pengguna Facebook, Shakira Ishak di ruangan komen.

“Tersangat betul, bila exam dihapuskan murid Tahun Enam (anak saya) lebih bersantai dan leka. Jika tiada tekanan dari ibu bapa memang buku tak buka..mereka dah set dalam fikiran tiada exam. Kenapa study? Pendidikan sekarang perlu dirisaukan, anak-anak generasi menjadi mangsa,” kata pengguna Facebook, Norshasilah Ahmad.

Bagaimanapun, terdapat kelompok berpandangan faktor murid hilang motivasi atau minat belajar bukan hanya disebabkan UPSR dimansuhkan.

Sebaliknya, ia kerana beberapa faktor lain seperti cara didikan ibu bapa atau kurang mengambil cakna pada pencapaian dan pembelajaran anak-anak selain isu silibus tinggi, gajet dan sebagainya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying memaklumkan kepada Dewan Rakyat, UPSR dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tidak akan dikembalikan buat masa ini.

Kementerian itu dilaporkan akan memberi tumpuan kepada pendekatan lebih holistik melibatkan pembangunan pelajar iaitu menerusi Model Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Berasaskan Bilik Darjah (PBD).

Peperiksaan UPSR merupakan peperiksaan penilaian murid Tahun Enam dimansuhkan pada 2021, manakala peperiksaan PT3 dibatalkan pada 2022. — The Merdeka Times

Sumber: Facebook Mohd Fadli Salleh

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *