Connect with us

Antarabangsa

Usaha kekang perkahwinan kanak-kanak masih merisaukan – UNICEF

Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang diterbitkan semalam mendedahkan jumlah kes perkahwinan membabitkan golongan kanak-kanan mencatatkan penurunan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Usaha kekang perkahwinan kanak-kanak masih merisaukan – UNICEF
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang diterbitkan semalam mendedahkan jumlah kes perkahwinan membabitkan golongan kanak-kanan mencatatkan penurunan.
  • UNICEF menganggarkan, seramai 640 juta wanita sudah berkahwin ketika berusia 18 tahun ke bawah, selain mengunjurkan seramai 12 juta kanak-kanak perempuan akan dikahwinkan setiap tahun.
  • Ia turut menganggarkan kira-kira sembilan juta kanak-kanak perempuan akan berkahwin menjelang 2030, selain UNICEF menyuarakan kebimbangan usaha membanteras isu itu akan terencat ekoran faktor COVID-19, konflik global dan perubahan iklim.
  • “Kita mungkin perlu menunggu sehingga 300 tahun lagi untuk amalan ini benar-benar tidak dipraktikkan lagi,” – Ketua Penulis UNICEF, Claudia Cappa.

NEW YORK: Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang diterbitkan semalam mendedahkan jumlah kes perkahwinan membabitkan golongan kanak-kanan mencatatkan penurunan.

Laporan itu bagaimanapun mengakui amalan berkenaan diunjur terus dipraktikkan selama 300 tahun lagi, selain menjelaskan ia hanya boleh dihentikan menerusi usaha bersepadu semua pihak terbabit.

UNICEF menganggarkan, seramai 640 juta wanita sudah berkahwin ketika berusia 18 tahun ke bawah, selain mengunjurkan seramai 12 juta kanak-kanak perempuan akan dikahwinkan setiap tahun.

Namun, trend itu mencatatkan penurunan apabila sebanyak 25 peratus wanita berusia 20 hingga 24 tahun didapati berkahwin sebelum mereka berusia 18 tahun, pada 1997.

Jumlah itu menurun kepada 23 peratus pada 2021, selain terus mencatatkan penurunan kepada 19 peratus, tahun lalu.

Ia turut menganggarkan kira-kira sembilan juta kanak-kanak perempuan akan berkahwin menjelang 2030, selain UNICEF menyuarakan kebimbangan usaha membanteras isu itu akan terencat ekoran faktor COVID-19, konflik global dan perubahan iklim.

Katanya, COVID-19 saja dijangka mengakibatkan pertambahan 10 juta perkahwinan bawah umur antara 2020 hingga 2030.

Mengulas laporan itu, Ketua Penulisnya, Claudia Cappa, mengakui terdapat perkembangan positif mengenai isu perkahwinan membabitkan kanak-kanak, terutama sejak 10 tahun lalu, selain menjelaskan ia masih boleh diperbaiki.

“Kita mungkin perlu menunggu sehingga 300 tahun lagi untuk amalan ini benar-benar tidak dipraktikkan lagi,” katanya sambil menambah majoriti perkahwinan membabitkan remaja perempuan berusia 12 hingga 17 tahun.

Sementara itu, Ketua UNICEF, Catherine Russell, dalam kenyataan berkata, dunia diselubungi pelbagai krisis yang mengehadkan harapan dan impian kanak-kanak, terutama perempuan untuk mendapatkan pendidikan.

Dari segi geografi, Asia Selatan mencatatkan penurunan perkahwinan kanak-kanak, namun ia masih mencatatkan 45 peratus daripada 640 juta perkahwinan seumpamanya, dengan India merekodkan kadar terbesar satu pertiga daripada jumlah itu.

Apa yang amat merisaukan UNICEF sekarang ialah keadaan di sub-Sahara Afrika, yang mencatatkan peningkatan kes perkahwinan kanak-kanak susulan krisis perubahan iklim, peperangan, kekurangan makanan dan keselamatan.

Menurut laporan agensi antarabangsa itu, kanak-kanak perempuan di rantau itu menghadapi risiko tertinggi, dengan seorang dalam setiap tiga orang dikahwinkan sebelum mencapai usia 18 tahun.

Ia juga menjangkakan jumlah perkahwinan kanak-kanak akan meningkat 10 peratus menjelang 2030. – AFP

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *