Antarabangsa
Ghana perlu lebih RM13 bilion daripada IMF sokong ekonomi terjejas
Ghana menjangkakan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) akan meluluskan pinjaman tahap pertama sebanyak AS$600 juta (RM2.7 bilion) seawal Rabu ini, sekali gus membuka jalan untuk pengeluaran dalam masa seminggu.
- Ghana menjangkakan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) akan meluluskan pinjaman tahap pertama sebanyak AS$600 juta (RM2.7 bilion) seawal Rabu ini, sekali gus membuka jalan untuk pengeluaran dalam masa seminggu.
- Bercakap kepada Reuters semalam, Menteri Negara di Kementerian Kewangan, Mohammed Amin Adam berkata Ghana memerlukan AS$3 bilion (RM13.4 bilion) daripada tabung dana antarabangsa itu untuk menyokong ekonominya yang terjejas.
- Jumaat lalu, Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva, berkata pemiutang rasmi Ghana menyediakan jaminan pembiayaan yang diperlukan untuk Lembaga Eksekutif IMF meluluskan pinjaman itu.
ACCRA: Ghana menjangkakan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) akan meluluskan pinjaman tahap pertama sebanyak AS$600 juta (RM2.7 bilion) seawal Rabu ini, sekali gus membuka jalan untuk pengeluaran dalam masa seminggu.
Bercakap kepada Reuters semalam, Menteri Negara di Kementerian Kewangan, Mohammed Amin Adam berkata Ghana memerlukan AS$3 bilion (RM13.4 bilion) daripada tabung dana antarabangsa itu untuk menyokong ekonominya yang terjejas.
Jumaat lalu, Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva, berkata pemiutang rasmi Ghana menyediakan jaminan pembiayaan yang diperlukan untuk Lembaga Eksekutif IMF meluluskan pinjaman itu.
“Kami menjangkakan kelulusan pada Rabu. Dengan pengeluaran itu, akan ada AS$600 juta sebagai tahap pertama sejurus selepas kelulusan,” kata Adam melalui telefon, sambil menambah Ghana berharap untuk menerima dana dalam masa seminggu selepas keputusan lembaga itu.
Beliau berkata tahap kedua sebanyak AS$600 juta dijangka diluluskan selepas semakan pertama program itu berjaya, pada November atau Disember, dengan selebihnya sebanyak AS$360 juta selepas semakan separuh tahunan.
Dana itu akan meningkatkan tabung Ghana dan membantunya mencapai sasaran rizab asing berjumlah bersamaan tiga bulan import menjelang 2026, katanya.
Seperti beberapa pasaran baru muncul yang lebih kecil dan berisiko termasuk Sri Lanka dan Zambia, Ghana perlu menstruktur semula hutang selepas kewangan negara itu terjejas akibat kejatuhan ekonomi akibat COVID-19 dan pencerobohan Russia ke atas Ukraine.
Kira-kira AS$5.4 bilion (RM24.19 bilion) hutang kepada pemiutang rasmi diperuntukkan untuk penstrukturan semula, menurut data kerajaan, serta AS$14.6 bilion (RM65.39 bilion) hutang kepada pemiutang swasta luar negara.
Adam berkata beliau menjangkakan rundingan dengan kedua-dua kumpulan pemiutang akan berjalan lancar sebaik IMF menandatangani pinjaman itu.
Sumber: Berita Harian