Antarabangsa
Dua pelajar sekolah Katolik wanita maut dalam insiden tembakan di Pakistan
Dua pelajar sekolah Katolik wanita terbunuh selepas seorang pegawai polis yang ditugaskan mengawal keselamatan melepaskan tembakan ke arah bas yang membawa pelajar dan guru di barat laut Pakistan.
- Dua pelajar wanita Sekolah Awam Sangota, Lembah Swat, wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan, maut ditembak.
- Kejadian berlaku pada Selasa, 16 Mei lalu.
- Seorang pegawai polis, Alam Khan yang ditugaskan mengawal keselamatan bertindak melepaskan tembakan ke arah bas yang membawa pelajar dan guru.
Dua pelajar sekolah Katolik wanita terbunuh selepas seorang pegawai polis yang ditugaskan mengawal keselamatan melepaskan tembakan ke arah bas yang membawa pelajar dan guru di barat laut Pakistan.
Memetik laporan Crux, kejadian berlaku pada 16 Mei lalu di Sekolah Awam Sangota yang terletak di Lembah Swat, wilayah Khyber Pakhtunkhwa.
Seorang pegawai keselamatan di sekolah itu, Alam Khan ditahan selepas dia melepaskan tembakan ke arah bas yang meninggalkan sekolah sekitar jam 2 petang.
Tindakannya itu membunuh dua pelajar, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun, dan mencederakan lima yang lain.
Menurut pegawai kanan polis tempatan Nasir Satti, Alam sedang bertugas untuk bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan serangan militan.
Bagaimanapun, Nasir menolak kemungkinan insiden tembakan itu ada hubung kait dengan kemungkinan terbabit.
Pertubuhan amal Katolik, Aid to the Church in Need (ACN) melaporkan kenyataan awal Polis Daerah Swat menyebut Alam mengalami “sakit mental” dan pernah digantung tugas “dua kali kerana berkelakuan ganas”.
Uskup Agung dari Islamabad, Joseph Arshad mengeluarkan kenyataan menyeru supaya Alam dihukum tanpa mengira status mentalnya bagi “mengelak tragedi sama di masa depan”.
Sekolah Awam Sangota mempunyai reputasi pendidikan berkualiti tinggi di wilayah Malakand.
Kejadian pada Selasa lalu bukanlah kali pertama sekolah itu menghadapi serangan ganas.
Pada 2008, ia pernah dibom Taliban kerana memberi pendidikan kepada kanak-kanak perempuan dalam bahasa Inggeris dan biarawati yang mengendalikan sekolah itu dituduh menukar agama gadis muda Islam kepada Kristian.
Sekolah itu dibuka semula pada 2012 selepas dibina semula oleh Tentera Pakistan.
Sumber: Crux